Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah diadakan pameran hantu atau jin?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: ““Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Surah al-Mukminun: 115)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan tulisan sahabat kami Dr Mohd Aizam bin Mas’od:

Suatu ketika dahulu kita pernah dikejutkan dengan satu pameran yang amat memeranjatkan. Kalau sebelum ini hanya ilustrasi khayalan yang menjadi tatapan pengunjung. Kini segala-galanya adalah realiti dan nyata di depan mata. Jin dan hantu tidak lagi dikategorikan sebagai ghaib tetapi benteng ghaib itu telah runtuh gara-gara Pameran Jin, Hantu, Keranda dan… di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

Pelbagai persoalan menjadi tanda tanya setiap pengunjung yang sempat berkunjung ke pameran ini. Benarkah begini sebenarnya rupa jin dan hantu seperti apa yang mereka percayai selama ini. Kalau dahulu, tu hanya menjadi kepercayaan secara ghaib. Kini segala-galanya sudah menjelma diruang mata. Timbul pula persoalan lain, adakah begini caranya untuk umat Islam disuruh menambahkan keyakinan kepada perkara ghaib?

Pemangku Pengarah Muzium Sultan Alam Shah, Mohd Lutfi Nazar menerusi kenyataannya di akhbar Utusan Malaysia pada 9 Julai 2006 menyebut: “apa yang dipamerkan di sini semuanya adalah benar dan nyata belaka, percayalah…sama ada jin atau makhlus halus yang anda lihat di sini bukanlah replika”.

Pengasas Muzium Nurul A’la, Sufian Abu Bakar pula mengatakan bahawa semua makhluk-makhluk ini ditangkap kebiasaannya ketika sedang menyamar. Menurut beliau lagi jenglot ular yang dipamerkan itu ditangkap ketika jin itu cuba menyamarkan diri sebagai ular.

Turut dipamerkan adalah jenglot jantan dan jenglot betina yang didakwa berasal daripada jin. Persoalannya benarkah makhluk ini benar-benar jelmaan jin? Jika benar, adakah terdapat dalil-dalil syarak yang boleh menyokong dakwaan tersebut? Atau ia hanyalah sekadar dakwaan untuk menghilangkan dahaga masyarakat yang semakin berminat dengan perkara-perkara yang diistilahkan ‘misteri”?

Merujuk kepada perbahasan ulama. Al-Hafiz Ibnu Hajar al- Asqalani dalam Fath al-Bari menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Manaqib al-Syafi’l dengan sanadnya daripada al-Rab bahawa dia mendengar Imam al-Syafi’ berkata: “Barangsiapa mengaku melihat jin maka kami batalkan syahadatnya kecuali (yang mengaku itu) Nabi”.

Menurut Ibnu Hajar lagi, ini berlaku bagi orang yang mengaku melihat mereka dalam bentuk asli. Sedangkan orang yang mengaku melihat mereka setelah menyerupai bentuk-bentuk binatang maka ia tidak boleh dibantah kerana ia merupakan sesuatu yang mutawatir (diterima ramai).

Dalam membicarakan soal keupayaan jin menyerupakan diri, terdapat banyak nas-nas Hadith yang berkisar soal tersebut. Menurut Ibnu Taimiyah dalam kitab beliau Risalat al-Jinni, jin boleh menyerupai bentuk manusia dan binatang seperti ular, kala jengking, unta, sapi, kambing, kuda, bighal, keldai, burung dan anak Adam.

Walau bagaimanapun kita perlu sedar jin tidak sekali-kali boleh menyerupakan diri melainkan dengan izin Allah SWT. Kitab Aakaamul Mirjan menukil kata-kata Qadhi Abu Ya’la Muhammad al-Farra’ yang menyebut bahawa syaitan tidak mempunyai keupayaan untuk mengubah penciptaan mereka (daripada api) dan beralih kepada beberapa bentuk, namun Allah SWT mengajar kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan yang apabila diucapkan dan dilakukan maka Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain. Sesungguhnya dia tidak dapat mengubah bentuknya sendiri kerana ia boleh menghancurkan kehidupannya.

Namun begitu kenyataan Qadhi Abu Ya’la ini perlu diperhalusi lagi dengan melihat siapakah dalam kalangan jin yang selalu menyerupakan diri?

Ibnu Hajar meriwayatkan daripada Ibnu Abi Syaibah, bahawa beberapa hantu pemah diceritakan kepada Umar al-Khattab lalu beliau berkata: “Sesungguhnya seseorang (jin) tidak boleh berubah daripada bentuknya yang telah diciptakan Allah SWT, tetapi mereka memiliki tukang. tukang sihir (kalangan jin) seperti tukang-tukang sihir kalian kerana itu bila kalian melihat hal tersebut maka azanlah”.

Dalam Syarah Sahih Muslim, ketika Imam Nawawi mensyarahkan Hadith Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu tetapi tukang-tukang sihir (in)”, beliau menukilkan pendapat para ulama yang mengatakan bahawa hantu itu adalah para tukang sihir jin iaitu kalangan jin yang mengelabui dan membuat halusinasi.

Terdapat beberapa kesimpulan yang dapat dirumuskan berdasarkan fakta yang telah disebutkan iaitu:

Pertama, jin adalah termasuk perkara ghaib yang wajib kita imani berdasarkan nas qat’i (muktamad) dan bukan berasaskan pemerhatian (nazar wa istidlal). la disebutkan oleh al-Qur’an dalam banyak tempat bahkan terdapat satu surah yang dinamakan surah al-Jin.

Kedua, adalah suatu yang mustahil dan tidak mungkin kita boleh melihat jin dalam bentuk asalnya yang nyata.

Ketiga, walaupun jin dikategorikan sebagai makhluk yang boleh menyerupai makhluk lain tetapi ia berlaku dengan keizinan Allah SWT melalui bacaan dan amalan tertentu. Bermakna bukan semua jin boleh menyerupa semudah yang disangka.

Keempat, jin yang menyerupa (atau hantu) merupakan jin-jin yang disifatkan sebagai tukang-tukang sihir. Ini bermaksud golongan jin juga mempunyai kepakaran dalam menggunakan ilmu-ilmu hitam untuk menyerupakan diri mereka dengan pelbagai bentuk sebagaimana manusia juga mempunyai tukang-tukang sihir.

Selaras dengan kesimpulan di atas, Panel Kajian Aqidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermesyuarat pada 17 hingga 19 Julai 2006 bersetuju memberikan pandangan seperti berikut:-

  • Supaya hebahan dibuat oleh pihak berkuasa agama kepada masyarakat bagi maksud melaksanakan kaedah Usul Fiqh, Sadd al- Zarai’ bermaksud memintas jalan-jalan kerosakan. Dengan kaedah ini diharap kerajaan dapat menyekat pengaruh negatif seperti mempercayai kepada unsur tahayul dan dongeng tersebar luas kepada masyarakat yang ditakuti boleh melemahkan pemikiran dan kemajuan umat Islam.
  • Menyarankan agar pihak penganjur hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mendapatkan pandangan sebelum mengadakan apa-apa bentuk program yang menyentuh persoalan kepercayan dan aqidah umat Islam antaranya seperti pameran atau pembikinan filem (audio-visual) yang melibatkan perkara-perkara yang ghaib dan sebagainya agar ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh JAKIM.

Jika beginilah pemahaman para ulama tentang jin, apakah reaksi kita terhadap apa yang dipaparkan dalam pameran tersebut? Dalam menjawab isu ini JAKIM telah menyediakan satu garis panduan yang begitu jelas.

Menurut buku Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio-Visual Berhubung Unsur-Unsur yang Bercanggah Dengan Aqidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah dilarang untuk mempamerkan perkara-perkara berbentuk khurafat dan tahyul.

Khurafat ialah sesuatu perkara mempesonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut yang menyimpang dari ajaran Islam sedangkan tahyul pula iaitu semua cerita sama ada khayalan atau rekaan yang meliputi cerita-cerita yang mempesonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.

Oleh itu adalah menjadi sesuatu yang perlu diwaspadai, betapa banyak kesesatan yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada keterlaluan dalam membicarakan persoalan ghaib.

Demikianlah gara-gara perkara ghaib dalam masyarakat Melayu yang sering dianggap sebagai sesuatu yang mistik. Lantaran itu sehingga hari ini masyarakat Melayu masih terus diselubungi misteri.

Keputusan Fatwa Berkaitan

Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke 74 yang bersidang mengenai Pameran Misteri Jin, Hantu dan Keranda di Muzium Shah Alam memutuskan supaya pameran-pameran seperti ini dicegah dengan tujuan menyekat agar pengaruh negatif seperti kepercayaan terhadap unsur tahayul dan dongeng tersebar luas kepada masyarakat yang ditakuti boleh melemahkan pemikiran dan kemajuan umat Islam.

(Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 410-414)

Sesungguhnya, kita sebagai orang yang beriman dipohon untuk menyelamatkan diri dari syaitan dan iblis, begitu juga dengan bisikannya.

 وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ‎﴿٩٧﴾‏ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. “Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

(Surah al-Mukminun: 97-98)

Begitu juga, dalam surah al-Nas mengajar kita berlindung daripada gangguan dan was-was syaitan:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

(Surah al-Nas: 1-6)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply