Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum kalau saya bekerja di kedai karpet yang ada kalanya turut memasang karpet di kuil? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asalnya kita dilarang daripada terlibat dalam apa-apa perkara yang boleh dianggap sebagai membantu orang bukan Islam dalam perkara maksiat dan kekufuran mereka. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur ulama berpendapat, tidak boleh seseorang Muslim bekerja untuk orang kafir zimmi (yang ada hak tinggal dalam negara Islam) di gereja mereka sebagai tukang kayu, tukang bina atau selainnya kerana ia dikira menolong maksiat (kekufuran) bahkan asas utama agama mereka batil. Larangan itu kerana ia adalah upah yang mengandungi membesarkan agama mereka dan syiar agama mereka. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 38/158).

Begitu juga ketika membahaskan penglibatan orang Islam dalam pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam, ada dalam kalangan mereka yang mengharamkannya kerana ia termasuk dalam perkara yang diharamkan Allah SWT. Jadi, seorang Muslim tidak boleh terlibat dalam pembinaan gereja, penternakan babi atau kilang arak, dan dihukum bagi Muslim yang terlibat dengan hal yang demikian. Begitu juga menyewakan dan menjual rumah atau bangunan untuk dijadikan gereja. (Lihat Mawahib al-Jalil, 5/424; al-Mudawwanah al-Kubra, 3/435).

Bahkan diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi‘i membenci seorang Muslim yang bekerja sebagai tukang bina gereja atau pekerjaan yang berkaitan dengan rumah ibadat orang-orang kafir. (Lihat al-Umm, 4/213). Begitu juga al-Qalyubi berpendapat haram untuk terlibat dengan pembinaan gereja seperti menyumbang harta bagi tujuan tersebut, kecuali dalam hal-hal dharurah. Urusan pembinaan gereja ini disamakan dengan pengajian kitab Taurat dan Injil serta melukis gambar-gambar haiwan yang dilarang penglibatan padanya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 3/71).

Namun, ada dalam kalangan mereka yang mengharuskannya kerana pekerjaan itu sendiri bukanlah maksiat seperti pendapat Ibn ‘Abidin dan Ibn Nujaim. (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 6/391; al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/23).

Walau bagaimanapun, Dr. Yusuf al-Qaradhawi[1] selepas mengemukakan kedua-dua pendapat tersebut berserta penghujahan mereka, menyimpulkan bahawa membina gereja bagi orang bukan Islam dalam kalangan ahli zimmah atau untuk warganegara bukan beragama Islam yang dianggap oleh fuqaha sebagai penduduk wilayah Islam (Dar al-Islam) adalah tidak mengapa sekiranya mereka betul-betul memerlukan dan berhajat kepadanya disebabkan oleh pertambahan bilangan mereka dan kekurangan tempat untuk mereka beribadat, serta pihak pemerintah telah memberi keizinan kepada mereka untuk berbuat demikian. Tanpa menafikan ramai dalam kalangan ulama yang tidak menyukai perkara itu bagi Muslim, kerana dia telah membantu sesuatu yang diyakini dalam agamanya sebagai batil dan sesat. Perbuatan membantu itu telah termasuk dalam apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 (seperti yang telah disebutkan di atas).

Justeru, jelaslah bahawa memasang karpet di kuil atau rumah-rumah ibadat orang bukan Islam yang lain turut diharamkan (mengikut majoriti ulama dan pendapat yang terpilih) sebagaimana diqiyaskan kepada pembinaan, pembaikian, pertukangan atau apa juga penglibatan kerja-kerja lain. Qiyasan tersebut berdasarkan wujudnya illah (sebab hukum) yang sama.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asalnya terlibat dalam pemasangan karpet di rumah ibadat bukan Islam adalah tidak dibolehkan kerana hal tersebut termasuk dalam perbuatan dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat dan kesyirikan, di samping seolah-olah membesarkan agama mereka dan syiar agama mereka. Sekiranya hal tersebut berterusan, maka dia hendaklah mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Tuhannya. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba yang tidak dapat dielakkan sedangkan asas pekerjaannya iaitu pemasangan karpet adalah baik dan halal, maka diharapkannya mendapat pengampunan Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan pekerjaannya yang diharamkan itu. Soalan yang hampir sama pernah diajukan kepada Dr. Solah al-Sawi dan beliau menjawab seperti mana yang kami telah nyatakan di atas. (Lihat Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, 5/445).

Seterusnya pendapatannya yang sepadan dengan pekerjaannya yang diharamkan boleh disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam yang umum seperti keperluan jambatan, tempat pengajian, masjid-masjid, keperluan jalan raya dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam. Hal ini sebagaimana fatwa Imam al-Ghazali yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/351).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa pada asalnya seseorang Muslim tidak boleh melibatkan diri dalam apa-apa pekerjaan yang dilihat seolah-olah membantu agama lain. Oleh itu, penglibatan dalam pemasangan karpet di kuil mahupun rumah ibadat bukan Islam adalah dilarang di dalam Islam sejajar dengan kaedah syarak yang mengharamkan segala bentuk kesyirikan dan menegah daripada apa jua bentuk kerjasama serta bantuan yang menjurus ke arah kesyirikan. Ia bertujuan untuk menutup ruang yang menampakkan seolah-olah orang Islam mengiktiraf agama mereka.

Maka, sebagai seorang Muslim hendaklah sedaya mungkin mengelakkan diri daripada terlibat dalam pekerjaan seperti itu dengan cara menarik diri ataupun mencari rakan sekerja bukan Islam yang lain bagi menggantikannya bagi situasi itu sahaja, sekalipun pada asalnya pekerjaannya itu (iaitu pemasangan karpet) adalah baik dan halal.

Walau bagaimanapun, jika tetap juga tidak dapat dielakkan dalam beberapa keadaan tertentu, maka kami berpendapat tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ketergelincirannya itu, dengan bertaqlid (berpegang) kepada pendapat mereka yang mengharuskannya. Lebih-lebih lagi, memasang karpet di kuil atau rumah ibadat agama lain bukanlah pekerjaan kebiasaannya, sebaliknya ia hanyalah projek-projek tertentu yang terpaksa mereka terlibat dengannya dan tidak dapat dielakkan.

Kemudian, sebaik-baiknya dia keluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan pekerjaannya yang haram itu, lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/4225. Diakses pada 19 April 2023.

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply