Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kita menegakkan nilai dan erti keadilan pada jiwa kita dan kehidupan kita?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kata dasar adil ditakrifkan Kamus Dewan sebagai menyebelahi pihak yang benar serta meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Perkataan adil diserap dari bahasa Arab iaitu عَدْل (`adl) yang diertikan sebagai penyukatan, penimbangan dan penilaian atau penuntutan apa yang kekurangan daripada apa yang dilayakkan (seseorang) (الْمِكْيَال وَالْمِيزَان وَالْحكم أَو الطّلب غَيره بِمَا هُوَ أولى عِنْده), ia juga boleh ditafsirkan sebagai apa yang diwujudkan dalam diri sebagai lurus serta melawan penindasan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
(Surah al-Nahl: 90)
Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sadi, hlm. 447)
Ulama berpendapat tidak sempurna keadilan manusia bersama khaliq atau Allah SWT kecuali seseorang itu berlaku adil sesama makhluk. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT:
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.”
(Surah al-Hadid: 25)
Apa yang dapat kita lihat Rasulullah SAW telah berlaku adil dan memerintahkan para sahabat serta penggantinya berlaku adil. Ia juga melibatkan kepada seluruh makhluk termasuk kaum keluarga denagn anak masing-masing.
Kisah Nu’man binBashir di mana Rasulullah SAW menyuruh untuk berlaku adil dalam pembahagian harta sesama anak-anak Bashir. Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
لاَ أَشْهَدُ عَلَى جَوْرٍ
Maksudnya: “Aku tidak bersaksi atas kezaliman.”
Riwayat Muslim (1623), al-Nasa’ie (3680), Ibn Majah (2375) dan Ahmad (18410)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445