Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah berlaku Ibn Abbas atau perbincangan dengan puak-puak Khawarij?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami merujuk kepada buku guru kami al-Aqidah al-Islamiyyah Arkanuha, Haqa’iquha Mufsidatuha oleh Dr Mustafa Sa’id al-Khin dan Syeikh Muhyiddin Dib Misto.

Hiwar Ibn Abbas R.Anhuma dengan Golongan Khawarij

Kami kemukakan di sini kisah hiwar atau dialog antara Ibn Abbas dengan golongan Khawarij.

Saidina Ali RA telah mengutus ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma kepada golongan Khawarij untuk berbahas tentang fahaman yang menjadi pegangan mereka dengan harapan golongan cerdik pandai mereka rujuk kepada kebenaran.

Dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibnu Kathir menegaskan bahawa ‘Ali mengutus Abdullah bin Abbas kepada golongan Khawarij. Apabila dia berada di tengah-tengah askar mereka, lalu Ibnu al-Kauwa’ bangun berpidato, katanya, “Wahai mereka yang berpegang kepada al-Qur’an, inilah ‘Abdullah bin ‘Abbas. Sesiapa yang tidak mengenalinya maka akulah yang memperkenalnya. Dia ialah seorang daripada mereka yang menyangkal ayat-ayat al-Qur’an tanpa mengetahuinya, dan sebab merekalah turun ayat:

 بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

Maksudnya: “Bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.” 

(Surah al-Zukhruf: 58)

Oleh itu, kamu kembalikanlah dia kepada yang mengutusnya dan janganlah berbincang dengannya tentang ayat-ayat al-Qur’an!” Golongan Khawarij menjawab, “Demi Allah, kami akan berbincang dengannya. Jika dia benar, kami akan mengikutnya, dan jika dia salah kami akan mendedahkan kesalahannya.”

Lalu mereka membincangkan ayat-ayat al-Quran dengan ‘Abdullah selama tiga hari. Perbincangan ini berakhir dengan 4,000 orang daripada mereka rujuk semula dan bertaubat. Antaranya ialah al-Kauwa sendiri yang membawa mereka menemui ‘Ali di Kufah

Abu ‘Abbas al-Mubarrad dalam kitabnya al-Kamil menyebutkan peristiwa perdebatan antara Ibnu ‘Abbas dengan golongan Khawarij itu. Katanya, “Para ‘ilmuan dalam pendekatan yang berbeza-beza menyebutkan peristiwa tersebut bahawa mengutus Ibnu Abbas golongan Khawarij.” Ali untuk berdebat dengan Ibnu Abbas berkata, “Apakah dendam kamu terhadap Amirul Mu’minin?” 

“Dia adalah pemimpin orang yang beriman. Oleh sebab mengakui Majlis Tahkim dia terkeluar daripada iman. Justeru dia hendaklah bertaubat selepas pengakuannya itu, barulah kami boleh menta’atinya semula,” jawab mereka. Kata Ibnu ‘Abbas lagi, “Tidak mungkin seorang yang mantap imannya mengakui dirinya kafir!” Jawab golongan Khawarij, “Sesungguhnya dia mengakui Majlis Tahkim!”

Hujjah Ibnu ‘Abbas: “Sesungguhnya Allah menyuruh kita bertahkim dalam masalah membunuh binatang buruan ketika berihram sebagaimana firman Allah SWT:

يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Yang akan ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang ‘adil di antara kamu…”

(Surah al-Ma’idah: 95)

apatah lagi persoalan kepimpinan yang mengelirukan umat Islam?” Jawab Khawarij, “Dia telah dihukum tetapi tidak menyetujuinya!”

“Persoalan pengadilan adalah kepimpinan. Apabila seseorang pemimpin itu fasiq dia wajib diderhakai. Demikian jugalah jika dua orang pengadil menjatuhkan hukuman yang berlainan, hukuman kedua-duanya hendaklah ditolak. Jelas, Ibnu Abbas.

Setelah mendengar hujah Ibnu Abbas itu, Khawarij pun berkata sesama mereka, “Janganlah kamu jadikan hujjah orang Quraisy menewaskan kamu. Mereka adalah daripada golongan yang disebutkan Allah dalam al-Qur’an,

 بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

Maksudnya: “Bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.” 

(Surah al-Zukhruf: 58)

Begitu juga, firman Allah SWT:

وَتُنذِرَ بِهِ قَوْمًا لُّدًّا

Maksudnya: “Dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil ungkal dalam kekufurannya.”

(Surah Maryam: 97) 

(Lihat Rughbah al-‘Amal, 7/79 dan al-Kamil al Mubarrad, 3/1079-1080)

Dalam kitab al-Hilyah oleh Abu Nu’aim ada menyebutkan riwayat daripada Ibnu Abbas yang berkata, “Apabila golongan al-Haruriyah menarik diri daripada menyokong ‘Ali, aku pun berkata kepadanya. “Wahai Amir al-Mu’minin, lekaslah sempurnakan solat! Semoga aku dapat menemui dan berbincang dengan mereka.”

Ali berkata, “Aku khuatir akan tindakan mereka ke atasmu.” “InsyaAllah, tidak,” jawab Ibnu ‘Abbas.

Lantas aku menyarung pakaian yang sebaik-baiknya yang kumiliki dan menemui mereka yang sedang berehat pada waktu tengah hari. Aku tidak pernah melihat kaum yang sangat gigih berusaha selain mereka. Tangan mereka berkematu bagaikan lutut unta dan wajah mereka pula kelihatan kesan-kesan sujud. Aku menemui mereka dan mereka pun berkata, “Selamat datang wahai Ibnu ‘Abbas! Apakah tujuan kamu ke mari?”

Ibnu ‘Abbas menjawab bahawa kedatangannya adalah untuk berbincang dengan mereka tentang wahyu yang turun mengenai para sahabat Rasulullah yang lebih memahami ta’wilnya. Sebahagian puak Khawarij ingin berbincang dengannya, sedangkan yang lain pula melarangnya.

“Beritahulah aku apakah sebab kamu mendendami sepupu Rasulullah, yang juga menantunya dan antara yang mula-mula beriman dengannya, serta para sahabat Baginda yang sama-sama menyokongnya? Tanya Ibnu Abbas dengan tegas. Mereka menjawab, “Kami berdendam disebabkan tiga perkara.” “Apakah dia?” Tanya Ibnu Abbas. Jawab mereka,” ‘Ali bertahkim kepada manusia dalam urusan agama Allah sedangkan Allah SWT berfirman:

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ

Maksudnya: “…hanya Allah jualah yang menetapkan hukum:…”

(Surah al-An’am: 57)

Balas Ibnu Abbas, “Apa lagi?” “’Ali berperang tetapi tidak menawan musuhnya dan tidak pula mengambil harta rampasan. Jika musuh itu kafir, harta mereka halal dirampas, tetapi kalau mereka beriman, darah mereka haram ditumpahkan,” terang mereka. 

Tanya Ibnu Abbas, “Lepas itu apa lagi?”

“Dia telah mengenepikan dirinya sebagai pemimpin orang beriman. Oleh itu, dia pemimpin orang kafir!” Jelas mereka.

Ibnu Abbas berkata, “Apakah pendapat kamu sekiranya aku bacakan ayat-ayat al-Qur’an yang jelas serta sunnah Nabi yang tidak kamu ingkari, adakah kamu akan rujuk semula?” “Ya,” jawab mereka.

Ibnu Abbas berhujjah, “Adapun da’waan kamu mengatakan bahawa Ali melantik orang perantaraan dalam menyelesaikan hukum Allah, sebenarnya bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۚ وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاءٌ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang- binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa diantara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendalah (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang akan ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu,”

(Surah al-Ma’idah: 95)

dan firman Allah SWT,

 وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا

Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka, iaitu) keluarga lelaki dan seorang perempuan,”

(Surah an-Nisa’: 35)

Dalam kedua-dua ayat ini, Allah menegaskan, tidakkah tindakan mereka yang cuba menyelesaikan masalah pertumpahan darah, kehilangan nyawa dan cuba mengusahakan perdamaian di kalangan mereka lebih utama daripada seekor arnab yang berharga seperempat dirham?”

Jawab mereka, “Ya Allah, tentulah peristiwa pertumpahan darah serta mengusahakan perdamaian!” 

“Adakah kamu rujuk daripada pegangan kamu?” Seru Ibnu ‘Abbas.

“Ya!” Sahut mereka.

Ibnu Abbas menyambung, “Adapun ‘Ali berperang tetapi tidak menawan musuh dan merampas harta mereka. Lantaran itu adakah kamu akan menawan ibu kamu dan menghalalkannya sebagaimana kamu menghalalkan orang lain? Kalau begitu halnya kamu juga kafir. Jika kamu menganggapnya bukan ibu kamu, kamu jadi kafir juga dan terkeluar daripada Islam.

Hal ini berdasarkan firman Allah,

النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗ

Maksudnya: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri dan isteri- isternya adalah menjadi ibu mereka

(Surah al-Ahzab: 6)

Sebenarnya kamu berada di antara dua keadaan yang salah. Oleh itu, pilihlah yang kamu kehendaki. Adakah kamu rujuk daripada pegangan kamu itu?” Seru Ibnu Abbas. “Ya!” Sahut mereka.

Ibnu ‘Abbas seterusnya berkata, “Berhubung dengan tuduhan kamu bahawa ‘Ali mengenepikan dirinya sebagai Amir al-Mu’minin, selari dengan peristiwa Rasulullah memanggil kaum Quraisy pada hari Hudaibiyah supaya menulis satu perjanjian antara Baginda dengan mereka.

Sabda Rasulullah, tulislah bahawa inilah perjanjian yang dipersetujui oleh Muhammad Rasulullah.

Lalu mereka menjawab, sekiranya kami mengakui bahawa engkau Rasulullah, sudah pasti kami tidak akan menyekat engkau daripada mengunjungi Baitullah, dan tidak akan memerangi engkau, tetapi tulislah Muhammad bin ‘Abdullah.

Demi Allah sesungguhnya aku adalah Rasulullah meskipun kamu mendustakannya. Oleh itu tulislah Muhammad bin ‘Abdullah, wahai ‘Ali!” sabda Rasulullah.

Berdasarkan peristiwa tersebut, Rasulullah adalah lebih mulia daripada ‘Ali,” tegas Ibnu Abbas. “Oleh itu adakah kamu rujuk daripada pegangan kamu?” Tanya Ibnu Abbas. “Ya!” Jawab mereka.

Berikutan itu, 20,000 orang antara mereka telah rujuk semula. Sementara 4,000 orang lagi tetap dengan pendirian mereka, dan diperangi. (Lihat Al-Hilyah al-Aulia’ Abu Nu’aim 1/138-320)

Mafhum daripada kisah ini, salah faham yang berlaku daapt dibetulkan dan diluruskan dengan hikmah dan ilmu Ibnu Abbas. 

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445

Leave a Reply