Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum makan burung hantu? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan mengenai burung hantu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, burung hantu ialah sejenis burung malam, jampuk.[1] Burung hantu ialah sejenis burung yang biasanya hidup bersendirian dan mencari makan pada waktu malam. Burung hantu digelar “pengawal malam taman kita” kerana ia memakan rodensia yang berbahaya pada waktu malam. Walaupun ia burung pemangsa – iaitu, burung yang membunuh dan memakan haiwan lain – ia tidak dianggap mempunyai perkaitan yang rapat dengan burung pemangsa lain.

Ahli sains mengenal pasti kira-kira 145 spesies burung hantu. Burung hantu hidup di seluruh kawasan dunia yang beriklim tropika, sederhana, dan subartik, dan boleh didapati di kebanyakan pulau lautan. Spesies burung hantu yang paling kecil ialah burung hantu halus yang terdapat di barat daya Amerika Syarikat dan barat Mexico. Burung ini kira- kira 15 sentimeter panjang. Spesies yang paling besar ialah burung hantu kelabu besar, yang hidup di hutan tebal Kanada dan Alaska, sehingga ke kawasan utara yang ditumbuhi pokok. Panjangnya kira-kira 75 sentimeter dan sayapnya berukuran dari 137 hingga 152 sentimeter.

Seseorang boleh dengan serta-merta mengenali mana-mana burung hantu melalui kepalanya yang besar dan lebar, dengan lingkaran bulu berbentuk piring di sekeliling matanya. Lingkaran bulu ini dikenali sebagai cakera muka. la berfungsi untuk memantulkan bunyi ke lubang telinga burung hantu. Bagi sesetengah spesies, cakera mukanya dan lubang telinganya sangat besar. Mata kebanyakan burung hantu adalah besar dan mengarah ke hadapan, tidak seperti mata kebanyakan burung. Atas sebab inilah, burung hantu boleh melihat sesuatu objek dengan kedua-dua matanya pada masa yang sama. Sebagaimana manusia, burung hantu mempunyai penglihatan binokular. Tetapi tidak seperti manusia, burung hantu tidak boleh menggerakkan matanya di dalam rongga. Oleh itu, ia mesti menggerakkan kepalanya untuk melihat sesuatu objek yang bergerak. Bulu mata di bahagian atas pelupuk mata burung hantu panjang dan boleh menutup matanya. Mata burung hantu menjadikan burung ini kelihatan bijak, dan oleh sebab itu burung hantu merupakan simbol kebijaksanaan sejak lama dahulu. Orang Yunani percaya bahawa burung hantu adalah kudus bagi Athena, dewa bijaksana mereka. Sebenarnya, burung gagak Eurasia, gagak, jackdaw (sejenis burung gagak), dan banyak burung lain berkemungkinan lebih bijak daripada burung hantu. Badan burung hantu pendek, bulat; paruhnya bercangkuk dan kuat; dan kakinya kuat dan berkuku tajam yang dikenali sebagai cakar. Sesetengah burung hantu mempunyai jambak bulu di kepalanya. Jambak ini sering dikenali sebagai “telinga” atau “tanduk”. Bulu burung hantu panjang, lembut, gebu, dan sering menjadikan burung hantu kelihatan lebih besar daripada saiznya yang sebenar. Bulu burung ini biasanya berwarna sebam, dan membolehkannya bersepadu dengan persekitarannya.

Cara hidup. Burung hantu boleh terbang dengan agak laju. Bulunya meredamkan bunyi kibasan sebagaimana bunyi kebanyakan burung semasa terbang. Burung hantu boleh terbang dan menyambar mangsanya tanpa didengari. Sesetengah burung hantu boleh melihat dengan cukup baik pada waktu siang untuk mencari makanan sebaik pada waktu malam. Burung hantu lain mencari makanan hanya pada waktu malam. Kebanyakan burung hantu I yang mencari makanan pada waktu malam mempunyai penglihatan yang tajam dalam keadaan gelap. Walau bagaimanapun, sesetengah burung hantu mempunyai pendengaran yang sangat sensitif sehinggakan ia kurang bergantung pada penglihatannya. Burung hantu seperti ini boleh mengenal pasti kedudukan tikus, vole dan mamalia kecil yang lain, dan menangkapnya dalam keadaan gelap-gelita dengan cara mendengar bunyi kosak-kosek tikus yang lari di celah-celah daun di dalam hutan.

Burung hantu memakan kebanyakan mamalia. Burung hantu yang lebih besar menangkap arnab dan tupai, dan burung hantu yang lebih kecil menangkap tikus dan tikus kesturi. Biasanya burung hantu menangkap makanannya hidup-hidup, tetapi sekali-sekala ia menyambar haiwan yang baru saja terbunuh di tepi jalan. Sesetengah burung hantu juga memburu burung lain dan serangga. Ada juga burung hantu yang menyambar ikan dari air cetek. Seperti burung helang, burung hantu mengoyak-ngoyak mangsanya yang besar sebelum dimakan. Tetapi jika mangsanya kecil, ia terus menelannya. Ia kemudian memuntahkan untilan tulang, bulu dan sisik yang tidak boleh dihadam. Untilan ini boleh ditemui di bawah sarangnya dan di tempat ia bertenggek. Burung hantu adalah antara haiwan yang paling berguna bagi petani. Ia memusnahkan rodensia yang berbahaya, seperti vole dan tikus, dan juga arnab, yang sering merosakkan tanaman. Burung ini jarang-jarang memakan ayam itik, yang biasanya tidur dan berada di dalam reban semasa burung hantu keluar mencari makanan.

Burung hantu tidak membuat sarang yang cantik. Sarangnya, biasanya sarang lama burung helang atau gagak, atau berupa struktur kasar pada lubang pokok, gua, dan lubang di tanah, bangsal, rumah tinggal, atau menara loceng. Kebanyakan burung hantu betina bertelur sebanyak tiga atau empat biji, tetapi sesetengahnya bertelur paling sedikit sebiji atau paling banyak 12 biji. Telurnya hampir bulat dan putih dengan warna kuning pucat atau biru. Kedua-dua burung hantu jantan dan betina saling membantu menjaga telur dan anaknya. Anak burung hantu mempunyai bulu tebal berwarna putih. la tinggal di dalam sarang selama 10 hingga 12 minggu. Burung hantu yang lebih besar menjaga sarang daripada penceroboh. Kadang-kadang ia mencederakan manusia dengan cakarnya.

Jenis burung hantu. Terdapat dua famili burung hantu: burung hantu bangsal dan burung hantu tipikal. Terdapat 10 spesies burung hantu bangsal. la hidup di kebanyakan tempat kecuali di kawasan yang lebih sejuk. Burung hantu bangsal mempunyai taburan yang meluas. la ditemui di kawasan yang terletak antara latitud 40° utara hingga 40° selatan, yang menganjur ke arah utara, hingga ke kawasan barat laut Eropah, dan ke selatan hingga ke penghujung Amerika Selatan. Burung hantu bangsal yang biasa berukuran kira- kira 46 sentimeter. Burung hantu bangsal yang biasa selalunya bersarang di dalam gua atau geronggang pokok. la juga boleh bersarang di menara loceng atau di tempat-tempat gelap di dalam bangsal, yang daripadanya burung ini dinamakan. Di sesetengah kawasan di Eropah, petani membina “pintu burung hantu” khas di bangunan di ladang mereka untuk menggalakkan burung hantu bersarang di situ. Burung hantu kecil cenderung menjadikan serangga mangsanya.

Burung hantu pengorek lubang Amerika hidup di kawasan lapang dan berumput. Di Amerika Utara, ia sering bersarang di lubang-lubang yang ditinggalkan oleh anjing prairi. Burung hantu pengorek lubang mempunyai kaki yang panjang yang membantunya bergerak di tanah, dan boleh melihat dengan baik pada waktu siang. la hidup dengan memakan serangga dan juga mamalia kecil termasuk anak anjing prairi. Burung hantu pengorek lubang berkicau.

Burung hantu helang Eurasia dan burung hantu berjambul besar, yang terdapat di Amerika Utara, adalah burung yang besar dan kuat, sehingga 70 sentimeter panjang, dengan jambul telinga, dan mata berwarna jingga. Burung ini hidup di dalam hutan, gurun berbatu dan di kawasan ditumbuhi hutan. la boleh menangkap mangsa sebesar anak rusa, arnab, dan burung perburuan.

Burung hantu pancing ialah burung yang bertenaga, yang mempunyai paruh yang besar dan kuat. Kakinya tidak berbulu dan dilitupi sisik kasar, yang digunakan untuk mencengkam ikan yang ditangkapnya. Terdapat beberapa spesies yang hidup di Afrika dan Asia. Ia mencari makanan terutamanya pada waktu malam.

Burung hantu kelabu besar adalah satu daripada burung hantu yang terbesar di dunia. Ia berukuran sehingga 76 sentimeter panjang. Kepalanya besar dengan bulu sepusat yang berjalur berbentuk bulatan. la biasanya membiak di dalam sarang yang tidak digunakan lagi oleh burung pemangsa yang besar, seperti goshawk, di hutan konifer yang tebal. Burung hantu kelabu yang besar sangat menjaga sarang dan anaknya. Makanan utamanya adalah vole.

Burung hantu bertelinga panjang didapati di kawasan Hemisfera Utara. Ia lebih suka hidup di hutan konifer atau hutan campuran. Ia boleh dikenal pasti dengan jaluran bulu panjang di dadanya dan bulu di sekeliling telinganya, yang kelihatan lebih rapat berbanding dengan burung hantu helang. Burung hantu ini mengeluarkan bunyi “oooo” yang diulang tiga kali setiap beberapa saat.

Burung hantu bertelinga pendek juga didapati di kawasan Hemisfera Utara. la hidup di kawasan lapang, rawang, padang rumput, dan kawasan mur. la sering mencari makan pada waktu siang dan terbang rendah di tanah seperti anjing hendak berburu. Burung ini boleh dikenal pasti melalui sayapnya yang lebar dan kibasan sayapnya yang perlahan. Bunyinya “toot toot toot” dan sering diulang-ulang. Burung hantu bertelinga pendek bersarang di tanah.

Burung hantu salji tinggal di kawasan Artik. Yang betina lebih besar daripada yang jantan, dan berukuran sehingga kira-kira 65 sentimeter panjang. Yang jantan hampir berwarna putih seluruhnya, manakala yang betina lebih banyak mempunyai jaluran bulu berwarna coklat. Burung hantu salji memakan lemming, sejenis tikus (rodensia kecil), dan juga mamalia serta burung lain. Apabila terdapat banyak lemming, burung ini bertelur sehingga sebanyak 14 biji. Apabila lemming sedikit, burung hantu salji mungkin tidak bertelur langsung. Burung hantu salji bertelur di dalam lubang, atau di belebas batu. Bunyinya menggauk menyakitkan telinga, hampir sama seperti bunyi burung raven. Dari segi pengelasan saintifik, kebanyakan burung hantu tergolong dalam famili Strigidae. Ia termasuk burung hantu pengorek lubang Speotyto cunicularia, burung hantu helang Bubo bubo, burung hantu berjambul besar B. virginianus, burung hantu kelabu besar Strix nebulosa, burung hantu bertelinga panjang Asio otus, dan burung hantu bertelinga pendek A. flammeus. Burung hantu bangsal termasuk dalam famili Tytonidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 4/541-545)

Hukum memakan burung hantu

Pada asasnya, syarak melarang daripada memakan burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu makanannya. Hal ini adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan, di dalam hadith ini mengandungi pengharaman untuk memakan binatang buas yang mempunyai taring dan setiap burung yang mempunyai kuku mencengkam (yang digunakan untuk memburu) kerana kedua-dua jenis haiwan itu memakan bangkai dan tidak dianggap sebagai makanan yang baik-baik oleh orang Arab. (Lihat Fath al-‘Allam bi Syarh al-I‘lam bi Ahadith al-Ahkam, hlm. 543)

Menurut Ibn Qudamah, pendapat yang mengharamkan burung yang memiliki kuku mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah pendapat majoriti ulama seperti Imam al-Syafi‘i, Abu Thaur dan ashab al-Ra’yi.

Manakala Imam Malik, al-Laith, al-Auza‘i dan Yahya bin Sa‘id pula berpendapat, tidak ada satupun burung yang diharamkan untuk dimakan. Mereka berhujah dengan keumuman ayat al-Quran yang mengharuskannya dan perkataan Abu al-Darda’ dan Ibn Abbas bahawa: “Apa yang didiamkan Allah mengenai hukumnya, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan.”

Kemudian, Ibn Qudamah menjelaskan pula mengenai dalil dan hujah jumhur ulama, di mana hadith di atas telah mengkhususkan keumuman ayat (yang mengharuskan haiwan). Jadi, termasuk dalam pengecualian tersebut semua burung yang mempunyai kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu (bagi mendapatkan makanan) seperti helang, baz (البازِىِّ – sejenis helang), falkon, syahin (الشَّاهِين – sejenis falkon), basyaq (الباشَقِ – sparrowhawk), hida’ah (الحِدَأَة – kite), burung hantu dan burung-burung lain yang menyerupainya.   (Lihat al-Mughni, 13/322-323).

Justeru, burung hantu termasuk dalam jenis burung yang mempunyai kuku mencengkam yang memburu mangsanya sebagai makanan. Ini jelas sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas bahawa burung hantu mendapatkan makanan dengan memburu mangsanya seperti vole, tikus, dan juga arnab.

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan dengan menukilkan daripada Abu ‘Asim yang menyebutkan bahawa burung hantu adalah haram dimakan seperti mana burung rakham (الرَّخَم – vulture). Begitu juga burung dhuwa‘ (الضُّوَعُ – Nightjars)[2] adalah haram mengikut pendapat yang paling sahih antara dua pendapat. Al-Rafi‘i menyebutkan, ini menunjukkan bahawa burung dhuwa‘ (الضُّوَعُ – Nightjars) adalah selain burung hantu (الْبُوم). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/21).

Begitu juga menurut al-Damiri, burung hantu dan semua jenisnya adalah haram dimakan. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Rafi‘i bahawa Abu ‘Asim menyebutkan, burung hantu haram dimakan seperti burung rakham (الرَّخَم – vulture). Begitu juga hukumnya bagi burung dhuwa‘ (الضُّوَعُ – Nightjars).

Namun, diriwayatkan daripada Imam al-Syafi‘i satu pendapat bahawa burung dhuwa‘ adalah halal. Ini menunjukkan bahawa burung dhuwa‘ bukanlah burung hantu. Akan tetapi dinyatakan dalam al-Sihah bahawa burung dhuwa‘ ialah sejenis burung malam daripada jenis burung hantu. Malah, al-Mufaddhal menyatakan, ia adalah burung hantu jantan. Oleh itu, apabila terdapatnya perbezaan pendapat dalam  burung dhuwa‘, maka penting untuk diambil kira dalam hal burung hantu kerana jantan dan betina daripada jenis yang sama, tidak ada perbezaan dalam soal halal dan haram. Bahkan dinyatakan dalam al-Raudhah bahawa masyhurnya burung dhuwa‘ daripada jenis burung hantu. Maka, oleh sebab itu, kami menghukumkannya sebagai haram (untuk dimakan). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/527; Raudhah al-Talibin, 3/273-274).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa burung hantu dan semua jenis-jenisnya adalah haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis burung yang mempunyai kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu mangsanya sebagai makanan. Terdapat larangan yang jelas daripada Nabi SAW mengenai hal tersebut iaitu haram untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.

Selain itu juga, ia turut dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor kerana apabila ia memburu binatang lain sebagai makanan, secara tidak langsung ia juga telah memakan bangkai. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83). Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula menyatakan, makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=burung+hantu. Diakses pada 18 Ogos 2023.

[2] Sejenis burung malam seperti burung hantu. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الضوع/. Diakses pada 18 Ogos 2023). Begitu juga burung dhuwa‘ didefinisikan sebagai burung malam daripada jenis burung hantu. Bahkan al-Mufaddhal berpendapat, ia adalah burung hantu jantan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22).

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445

Leave a Reply