Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, sebahagian orang mengatakan bahawa kiblat doa bukanlah kaabah, jadi dimanakah kiblat doa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu’.”
(Surah Ghafir: 60)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, doa yang disebutkan di dalam ayat meliputi doa mas’alah dan doa ibadah. Doa mas’alah itu apabila seseorang berdoa: ‘Ya Allah, ampuni aku’. Dan doa ibadah pula apabila seseorang beribadah kepada Allah SWT dengan melakukan apa yang disyariatkan-Nya, dengan melakukan ibadah ini juga mengandungi pengharapan seseorang seseorang untuk bebas daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 414)
Abu Bakar al-Jaza’iri di dalam tafsirnya menyebutkan: “Yakni (Allah SWT berfirman): ‘Mintalah kepada-Ku, nescaya akan Aku berikan kepadamu, dan taatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan memberi balasan kepadamu, kerana kamu adalah hamba-hamba-Ku dan Akulah Tuhanmu’.” (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/546)
Dapat difahami bahawa berdoa dan meminta kepada Allah SWT merupakan suatu tuntutan bagi seorang muslim, kerana Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa memberikan segala apa yang kita hajatkan, dan Allah SWT jualah satu-satunya tempat untuk kita memohon pertolongan. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang sering kita bacakan dalam setiap solat kita:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
(Surah al-Fatihah: 5)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, timbulnya kekeliruan dalam sesetengah masyarakat setempat berkenaan kiblat doa, sebahagian mengatakann bahawa seseorang perlu menghadap kiblat ketika berdoa, manakala sebahagian lainnya menganggap bahawa kiblat doa adalah langit.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kiblat didefinisikan sebagai arah ke Kaabah di Mekah, yakni arah yg dihadap oleh orang Islam ketika bersembahyang.
Kami cuba bawakan sebuah riwayat yang menyebutkan
السَّمَاءُ قِبْلَةُ الدُّعَاءِ
Maksudnya: “Langit adalah kiblat doa.”
Syeikh al-Albani menghukumkan status riwayat ini sebagai dha‘if di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah (13/443). Begitu juga yang disebutakan oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman dalam Silsilah al-Ahadith al-Da‘īfah wa al-Maudh‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrij (hlm. 233).
Syeikh al-Albani juga menyebutkan bahawa beliau tidak menjumpai asal untuk riwayat ini, kecuali apa yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Nata’ij al-Afkar dalam Bab ‘Adab Berdoa’ (1/259-260), katanya: “Aku tidak menjumpai sesuatu yang jelas mengenainya yang khusus untuknya.” Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan juga bahawa Al-Ruyani berdoa sambil mengangkat pandangannya ke langit, sepertimana yang disebutkan dalam hadith daripada ‘Umar, dan dalam hadith daripada Thauban: “Langit adalah kiblat doa.” Syeikh al-Albani berkata: “Boleh jadi inilah yang dimaksudkan oleh mereka yang mengatakannya (langit adalah kiblat doa).”
Syeikh al-Albani juga mengatakan bahawa beliau tidak menjumpai riwayat Thauban seperti yang disebutkan, dan tidak juga dijumpai di dalam mana-mana kitab-kitab hadith. Bahkan yang zahir pada kalam Ibn Abdil al-Izz di dalam Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah (hlm. 327) dan selainnya bahawa riwayat ini merupakan kalam sebahagian al-Mu‘awwilah (ahli ta’wil) dan al-Mu‘attilah (mereka yang menafikan nas-nas syara‘ yang sorih) yang mengingkari bahawa Allah itu Maha Tinggi atas sekalian hamba-hamba-Nya, beristiwa’ di atas ‘Arasy-Nya, dan menafikan fitrah manusia yang menghadap ke langit dengan jiwa raganya ketika berdoa. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah, 13/443)
Kemudian, Ibn Abdil al-Izz memberikan 3 isi penting ketika menjawab pandangan yang mengatakan bahawa ‘langit adalah kiblat doa’. Beliau mengatakan:
Pertama: Tidak ada seorang pun dari kalangan Salaf ummat ini yang menyebutkan bahawa langit adalah kiblat doa, dan tidak juga Allah memberikan keistimewaan kepada langit sebagai kiblat doa.
Kedua: Kiblat doa adalah kiblat solat, oleh yang demikian diharuskan bagi orang yang berdoa untuk menghadap kiblat. Dan Rasulullah SAW sendiri sering menghadap kiblat ketika berdoa dalam banyak keadaan.
Ketiga: Kiblat itu bermaksud tempat yang mana seseorang akan menghadap ke arahnya, sepertimana orang menghadap ke arah kaabah ketika menunaikan solat dan berdoa, dan berzikir serta menyembelih. Begitu juga dihadapkan ke arah kaabah orang yang sedang nazak dan orang dikebumikan.
Adapun arah yang seseorang itu hadapkan tangannya atau dongakkan kepalanya, maka ia tidaklah dinamakan sebagai kiblat, tidak secara hakikat dan tidak juga secara majaz (kiasan). Berdoa juga merupakan ibadah, maka jika langit merupakan kiblat doa pasti akan ada perintah dari syara‘ untuk menghadapkan wajah ke langit ketika berdoa. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 2/392)
Melihat kepada perbuatan doa itu sendiri yang merupakan salah satu bentuk ibadah dalam Islam, sebaiknya kita mengamalkannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Terdapat beberapa hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW berdoa sambil menghadap ke arah kiblat.
Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :
خَرَجَ النَّبِيُّ ﷺ إِلَى هَذَا المُصَلَّى يَسْتَسْقِي، فَدَعَا وَاسْتَسْقَى، ثُمَّ اسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ وَقَلَبَ رِدَاءَهُ
Maksudnya: “Rasulullah S.A.W telah keluar pada suatu hari menuju ke tanah lapang untuk baginda melakukan istisqa’ (doa meminta agar Allah turunkan hujan). Lalu beliau berdoa dan beristisqa’ kemudian menghadap ke arah kiblat dan baginda membalikkan rida’ Baginda.”
Riwayat Al-Bukhari (6343)
Diriwayatkan juga daripada Abdullah bin ‘Abbas dan Umar al-Khattab R.Anhum, katanya:
نَظَرَ النَّبِيُّ ﷺ إِلَى أَصْحَابِهِ وَهُمْ ثَلَاثُ مِائَةٍ وَنَيِّفٌ وَنَظَرَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ فَإِذَا هُمْ أَلْفٌ وَزِيَادَةٌ فَاسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ ﷺ الْقِبْلَةَ ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ
Maksudnya: “Nabi SAW melihat ke arah para sahabatnya seramai 300 lebih orang, kemudian Baginda melihat ke arah kaum musyrikin seramai seribu lebih. Lalu Nabi SAW menghadap ke arah kiblat, kemudian menadahkan kedua tangannya (untuk berdoa).”
Riwayat Muslim (1763)
Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa sunat menghadap ke arah kiblat (kaabah) ketika berdoa dan menadahkan kedua tangan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/84)
Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi‘i dan Imam al-Buhuti al-Hanbali juga menyatakan bahawa mereka yang berdoa disunatkan untuk menghadap ke arah kiblat (kaabah) ketika berdoa. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/105; Kasyaf al-Qina‘, 1/367)
Terdapat juga sebuah riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, katanya:
اسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ ﷺ الكَعْبَةَ، فَدَعَا عَلَى نَفَرٍ مِنْ قُرَيْشٍ
Maksudnya: “Nabi SAW menghadap ke arah Kaabah, kemudian Baginda mendoakan ke atas sekumpulan orang Quraisy.”
Riwayat al-Bukhari (3960) dan Muslim (1794)
Kesimpulan
Berdoa kepada Allah SWT merupakan satu ibadah yang dituntut. Dan sebaik-baiknya seseorang tersebut apabila berdoa adalah dengan menghadap ke arah kiblat, yakni Kaabah. Adapun perbuatan mendongakkan kepala menghadap ke arah langit, kemudian mengangkat tangan ketika berdoa, maka ia tidaklah menjadikan langit tersebut sebagai kiblat berdasarkan maksud kiblat yang kami bawakan.
Sebaliknya, mengangkat tangan semasa berdoa ini merupakan salah satu adab yang baik ketika memanjatkan doa kepada Allah SWT. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak.”
Riwayat al-Tirmizi (3556)
Tidak menjadi masalah jika kita berdoa menghadap ke arah selain daripada kiblat, akan tetapi ia sebahagian daripada adab ketika berdoa dan juga untuk mengikuti sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Doa itu sendiri membawa maksud memohon sesuatu, maka sebaiknya kita memperlihatkan adab yang sesuai dengan amalan kita.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا دُعَاءَنَا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ العَلِيمُ
Maksudnya: “Wahai tuhan kami, kabulkanlah doa-doa kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445