Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bercakap antara solat jamak? Saya tertegur anak saudara dan bergurau dan baru teringat solat jamak Isyak belum dibuat.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Berkenaan solat jamak ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#2355: Dua Solat Jamak Yang Terpisah Dengan Perbuatan Lain[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan antara syarat sah jamak solat adalah berturut-turut iaitu dilakukan dua solat secara berturut-turut dan tidak diselangi dengan apa-apa perbuatan. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Baghawi bahawa : al-Muwalah (Berturut-turut) adalah merupakan syarat sah solat jamak. Tidak boleh melakukan solat sunat antara dua solat tersebut dan juga tidak boleh duduk lama antaranya. Sekiranya dia memanjangkan tempoh antara kedua-dua solat jamak tersebut maka terbatallah jamak dan hendaklah dia melakukan solat kedua pada waktunya (Lihat al-Tahzib Fi Fiqh Imam al-Syafi’e, 2/316)

Namun dalam situasi di atas kami katakan sekiranya tempoh terpisah antara dua solat jamak itu hanya sebentar maka ia tidak ada masalah. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi: Tidak ada masalah sekiranya waktu yang terpisah antara solat jamak itu hanya sekejap. (Lihat Minhaj al-Talibin,hlm.46)

Lajnah Ifta ‘Urduniyyah menyatakan Jarak masa antara dua solat jamak adalah  singkat seperti waktu yang cukup untuk melaksanakan dua rakaat solat yang ringan dengan wuduk, azan, dan iqamah, kita menganggarnya sekitar tujuh minit. Jika jarak melebihi waktu seperti ini, maka itu dianggap jarak yang panjang. Jika seorang yang sedang solat ragu-ragu apakah jarak yang terpisah itu sudah lama atau masih pendek, maka dia tidak boleh menggabungkan kedua solat tersebut.[1]

Justeru kami katakan, tiada masalah untuk bercakap jika tempoh tersebut tidak terlalu lama. Jika sebaliknya, maka ia tidak diperbolehkan kerana ia menyebabkan terbatalnya solat jamak. Begitu juga, ketika itu saudara terlupa dan bukan disengajakan, maka ianya dimaafkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam

[1] https://maktabahalbakri.com/2392-kekeliruan-dalam-mempraktikkan-solat-jamak/

[2] https://maktabahalbakri.com/2355-dua-solat-jamak-yang-terpisah-dengan-perbuatan-lain/

 

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply