Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami hikmah kenapa Rasulullah SAW berpoligami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.

Ramai orang bertanya, apa rahsia sebenarnya serta hikmah kenapa Rasulullah SAW berpoligami bahkan lebih daripada empat? Kami katakan, jawapannya seperti berikut:

  • Rasulullah SAW berkahwin lebih daripada empat termasuk dalam khasa’is atau keistimewaan yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Ini tidak diizinkan kepada mana-mana lelaki untuk berkahwin secara poligami melebihi daripada empat dalam satu-satu masa. Adapun Rasulullah SAW ketika wafat Baginda SAW, isteri-isteri yang masih hidup bersamanya seramai sembilan orang.
  • Adapun isteri-isteri Baginda SAW tidak dibenarkan berkahwin selepas wafatnya Baginda SAW dengan sesiapa pun bahkan mereka digelar sebagai Ummahat al-Mukminin. Ini semata-mata sebagai memuliakan mereka kerana mereka telah memilih Allah SWT, rasul-Nya dan hari akhirat bila mana Rasulullah SAW memberi pilihan kepada mereka.
  • Rasulullah SAW berpoligami kerana memberi kemuliaan kepada wanita serta qabilah mereka kerana ada hubungan dengan Rasulullah SAW. Hatta, kita melihat dan mendengar betapa gembiranya orang Mesir apabila Rasullah SAW berkahwin dengan Mariah al-Qibtiyyah.
  • Dengan sebab wanita yang menjadi isterinya ada hubungan dengan Rasulullah SAW, maka, mereka dapat mengutip mutiara ilmu dari mulut Rasulullah SAW yang akhirnya disebarkan kepada ummah, makin ramai isteri, maka makin banyaklah ilmu berkembang dari Ummahat al-Mukminin. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 2/24)
  • Kami katakan juga bahawa Rasulullah SAW berpoligami bukan semata-mata menunaikan hajat syahwat sahaja. Ini kerana, kalaulah itu menjadi keutamaan sudah pasti dia akan memilih isteri-isterinya adalah anak-anak dara yang cantik-cantik dan yang muda-muda. Tetapi yang dikatakan anak dara hanya seorang sahaja iaitu Aisyah R.Anha.

Justeru, kami katakan perkahwinan Rasulullah SAW secara poligami sama ada untuk menjinakkan serta menta’lifkan kaum dan jiwa-jiwa manusia atau untuk kemuliaan bagi mereka atau untuk memberi bantuan kepada mereka atau sebagai penyelesaian berkenaan dengan hukum seperti kisah Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab yang menjadi janda kepada Zaid bin Harithah sedangkan Zaid anak angkat Rasulullah SAW atau maksud-maksud yang besar.

Kami akhiri dalam menajwab soalan ini dengan menukilak pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani yang berkata, “Dan yang terhasil daripada kalam ahli ilmu pada hikmah di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan isterinya ada 10 wajah:

  • Supaya ada di kalangan isteri Baginda SAW dapat melihat sisi kehidupan batin dan dalam rumahnya. Justeru, dapat menafikan sangkaan orang Musyrikin yang Rasulullah SAW sebagai penyihir atau lainnya.
  • Untuk memuliakan qabilah-qabilah Arab dengan sebab persemendaan tersebut dengan Rasulullah SAW.
  • Menambahkan kasih sayang mereka dan hubungan mereka dengan Rasulullah SAW.
  • Menambahkan lagi taklif di mana isteri Baginda SAW akan menjadi penyampai kepada ummah.
  • Meramaikan kaum keluarga dari sebelah isteri-isterinya maka bertambahlah pendokong Baginda SAW untuk memerangi musuh-musuhnya.
  • Boleh menukilkan segala hukum syarak yang tidak mungkin diketahui oleh lelaki kerana apa yang berlaku bersama isteri kadang-kadang bersifat dalam rumah.
  • Boleh mengetahui bagaimana akhlak Rasulullah SAW yang sebenarnya yang baik terutamanya di rumah. Bayangkan, Rasulullah berkahwin dengan Ummu Habibah sedangkan ayahnya (ketika itu Abu Sufyan) memusuhi Baginda SAW. Begitu juga dengan Safiyyah yang telah dibunuh bapanya, bapa saudaranya dan suaminya dalam peperangan. Kalaulah tidak kerana keunggulan dan kesempurnaan akhlak Bgainda SAW, nescaya isteri Baginda SAW tersebut akan melarikan diri dan tak akan ada rasa kasih sayang kepada Baginda SAW. Sebaliknya, terbukti mereka adalah Ummahat al-Mukminin yang unggul.
  • Berlaku carik adat dan luar biasa dengan banyaknya bersetubuh sedangkan Baginda SAW kurang makan dan minum serta banyak berpuasa serta sambung puasa. Bahkan, Baginda SAW memerintahkan orang yang tidak mamou menanggung dalam perkahwinan agar berpuasa dan menyebutnya yang puasa dapat memecahkan nafsu syahwat. Maka, kekallah perkara mencarikkan adat ini kepada Rasulullah SAW.
  • Bagaimana wanita menjadi benteng yang Nabi SAW bentengkannya serta melaksanakan segala hak-haknya. (Lihat Fathu Bari, 9/115)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply