Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat syarat bagi seseorang yang ingin berpoligami?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Walaupun dibenarkan kepada mereka untuk berkahwin lebih daripada satu, tetapi mereka dikenakan syarat, antaranya:
- Berlaku adil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”
(Surah al-Nisa’: 2)
Bahkan ketika itu, haram baginya berkahwin lebih daripada satu. Adapun maksud adil di sini, iaitu pembahagian dari sudut kesamaan di antara isteri-isterinya pada nafkah, pakaian, tempat tinggal, perhiasan serta beberapa kemudahan yang lain yang mesti dalam kemampuan suaminya. Adapun adil dari segi cinta dan kasih sayang, ia bukanlah taklif dan tidak dituntut kerana manusia tidak mampu melaksanakannya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
- Kemampuan untuk infak kepada isteri-isterinya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.”
(Surah al-Nur: 33)
Ayat ini menunjukkan perintah Allah SWT berkahwin, adapun siapa yang mampu berkahwin sedangkan dia tidak mendapati sebarang bentuk keuzuran untuk dia menjaga kehormatannya, juga dari sebarang bentuk keuzuran kahwin, siapa yang tidak mendapati apa yang ia mahu kahwin dengannya dari mas kahwin dan juga tidak mampu baginya yakni suami untuk infak kepada isterinya. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 6/286)
Sebenarnya, kami nasihatkan kepada suami yang ingin berpoligami agar sentiasa mengingatkan perintah Allah SWT dengan sebaik-baiknya iaitu keadilan serta kemampuan. Di samping itu, amat perlu mempunyai akhlak yang baik, sikap penyabar yang tinggi, bertanggungjawab dan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT.
Ingatlah, pesanan Rasulullah SAW sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya (tidak berlaku adil), pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”
Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445