Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang menceraikan isterinya dalam keadaan nifas?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Takrif Nifas

Kami mulakan dengan dengan takrif nifas. Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong kesemua rahim daripada kandungan sekalipun yang keluar itu dalam bentuk alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-sekurang suci (selepas kelahiran) iaitu selama 15 hari. Sekiranya seseorang melihat darah setelah kelahiran selepas selang masa 15 hari dan ke atas, maka hal yang demikian tidak dianggap sebagai nifas. (Lihat Hasyiyah Qalyubi, 1/112)

Imam Hajar al-Haitami berkata: Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan walaupun dalam bentuk mudghah (segumpal daging) atau alaqah (segumpal darah)dan ianya berlaku sebelum berlalu tempoh 15 hari (daripada kelahiran). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/383)

Takrif Talak

Talak dari sudut bahasa bermaksud lepas dan terlepas. Manakala dari sudut Syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Ia juga ditakrifkan sebagai menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini seperti yang disebut oleh al-Dusuqi. Talak juga bermaksud mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut, atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 230; al-Durr al-Mukhtar, 3/226; al-Mughni, 16/192; Mughni al-Muhtaj, 3/279)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Hal ini berdasarkan hadith riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Dawud (2178)

Jenis -Jenis Talaq

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dibahagikan talaq kepada tiga bahagian:

Pertama: Talaq Sunni

Iaitu talaq yang dilakukan ketika isteri dalam keadaan bersih daripada haid dan nifas, tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talaqnya. Talaq ini bertetapan dengan ajaran Syarak bagi suami yang terpaksa menjatuhkan talaq sama ada talaq satu atau talaq tiga serentak.

Kedua: Talaq Bid’i

Iaitu talaq ketika isteri dalam keadaan haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci tetapi telah disetubuhi oleh suaminya, maka talaq dalam keadaan itu dinamakan talaq bid’i. Hukumnya adalah haram dan berdosa, dan jatuh talaqnya kerana bertentangan dengan bentuk talaq yang disyariatkan.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma: “Bahawa beliau (Ibn ‘Umar) menceraikan isterinya yang sedang haid pada zaman Rasulullah SAW. Umar bin al-Khattab pun bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal tersebut, lalu Rasulullah SAW bersabda:

مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ، ثُمَّ تَحِيضَ ثُمَّ تَطْهُرَ. ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ، وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ العِدَّةُ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ.

Maksudnya: “Perintah dia (Ibn ‘Umar) untuk kembali rujuk kepada isterinya. Hendaklah dia menahannya sehingga suci, kemudian haid dan suci lagi. Kemudian, jika dia mahu, dia boleh kekal dengannya selepas itu. Dan jika dia mahu, dia boleh menceraikannya sebelum menyetubuhinya. Itulah ‘iddah yang diperintahkan Allah apabila kamu menceraikan isteri.”

Riwayat al-Bukhari (5251), Abu Daud (2182) dan al-Nasa’ie (3390)

Sebab diharamkan talak Bid’i ini adalah kerana ia memberi kemudaratan kepada isteri disebabkan panjangnya tempoh ‘iddah kerana waktu haid tidak termasuk di dalam ‘iddah. Begitu juga, diharamkan menceraikan isteri yang disetubuhi ketika suci kerana kemungkinan akan mengandung.

Ketiga: Talak yang tidak disifatkan dengan Sunni dan Bid’i, iaitu:

Antaranya: menceraikan perempuan masih kecil yang belum datang haid; atau wanita putus haid; atau mengandung yang nyata; atau tidak pernah disetubuhi oleh suami; atau meminta cerai secara khulu’. Talak dalam keadaan ini bukan Sunni dan bukan Bid’i. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak menyebabkan kemudaratan kepada isteri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/125)

 

Beberapa Pandangan Ulama Tentang Talak Bid’i

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika seorang suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang sedang dalam keadaan haid, nifas atau suci tetapi telah menyetubuhinya, maka menurut kebanyakan ulama’, talaknya haram secara Syar’i. Menurut ulama Hanafiyyah, hukumnya adalah makruh tahrim, dan ini yang disebut sebagai talak bid’i. Ulama Malikiyyah hanya mencukupkan keharaman talak pada saat isteri dalam keadaan haid dan nifas sahaja, sementara selain dua keadaan tersebut, dihukumkan makruh.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6922)

Walaupun haram mentalak isteri ketika dalam keadaan nifas, namun menurut kebanyakan ulama, talak tersebut adalah sah. Sedangkan menurut Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, ulama Zahiriyyah dan ulama Syiah Imamiyyah, menceraikan isteri dalam keadaan nifas hukumnya haram sekaligus talaknya tidak sah. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Talak jatuh dengan kesepakatan ulama empat mazhab ketika isteri sedang haid, atau dalam keadaan suci tetapi suami telah menyetubuhinya. Ulama’ Syiah Imamiyyah, ulama Zahiriyyah, Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa haram talak ketika haid, nifas dan suci tetapi suami telah menyetubuhinya, dan talak seperti ini (talak bid’i) tidak jatuh talak.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6923)

Penutup

Peri pentingnya kita mempelajari hukum-hakam munakahat termasuklah dalam bab talaq. Hal ini penting agar segala tindakan kita sentiasa menepati syarak. Justeru, janganlah sekali-kali kita abaikan untuk menuntut ilmu. Ini kerana, jika kita benar-benar memahami yang terkait dengan talaq kita tidak melakukan talaq dalam keadaan yang diharamkan atau yang makruh. Semoga dengan pencerahan di atas, kita diberi panduan ilmu dengan taufik dan hidayah daripada-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply