#2872: Kesan Melakukan Kemungkaran dan Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang rakan yang sangat terbiasa melakukan kemungkaran dan maksiat sehingga dia susah untuk meninggalkannya, lalu merasakan dirinya tidak layak lagi untuk masuk ke dalam syurga. Adakah ini antara kesan jika seseorang itu sering melakukan kemungkaran dan maksiat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya pada perbuatan mungkar dan dosa yang dilakukan oleh seseorang itu mempunyai kesan yang besar dan musibah yang menimpa pelakunya, bahkan ia terkadang boleh memberikan kesan kepada mereka yang berada di sekelilingnya.

Antara kesan yang khusus terhadap dirinya sahaja adalah:

Pertama, ditutup baginya pintu ilmu. Perkara ini dapat difahami daripada nas-nas syara‘ yang banyak mengaitkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan ilmu, yang mana ia menjadi kunci bagi seseorang itu untuk membezakan antara yang betul dan juga yang salah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Anfal: 29)

Selain itu, maksiat juga boleh menyebabkan tertutupnya pintu rezeki. Ini jelas berdasarkan sebuah riwayat daripada Thauban maula Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya.”

Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22386), dan Ibn Hibban (872)

Di samping itu, kemungkaran yang dilakukan tersebut boleh menjadi punca urusan hidupnya menjadi sukar. Imam Ibn al-Qayyim menukilkan sebuah athar daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

‌إِنَّ ‌لِلْحَسَنَةِ ضِيَاءً فِي الْوَجْهِ، وَنُورًا فِي الْقَلْبِ، وَسَعَةً فِي الرِّزْقِ، وَقُوَّةً فِي الْبَدَنِ، وَمَحَبَّةً فِي قُلُوبِ الْخَلْقِ، وَإِنَّ لِلسَّيِّئَةِ سَوَادًا فِي الْوَجْهِ، وَظُلْمَةً فِي الْقَبْرِ وَالْقَلْبِ، وَوَهْنًا فِي الْبَدَنِ، وَنَقْصًا فِي الرِّزْقِ، وَبُغْضَةً فِي قُلُوبِ الْخَلْقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan kebaikan itu akan memancarkan sinar (kegembiraan) di wajah dan cahaya dalam hati, keluasan dalam rezeki, kekuatan di badan, dan kecintaan di hati-hati makhluk. Dan sesungguhnya keburukan itu akan memancarkan kekelaman pada wajah, menimbulkan kegelapan dalam kubur dan juga hati, lemah di badan, berkurangan rezeki dan dijadikan hati-hati makhluk benci kepadanya.” (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’, hlm. 54)

Tambahan lagi, kemungkaran dan maksiat yang dilakukan akan melahirkan kemungkaran yang lain pula, sehinggakan pelaku tersebut akan menjadi amat sukar untuk meninggalkan kemungkaran dan keluar dari lembah maksiat tersebut. Imam Ibn al-Qayyim menukilkan kalam Salaf:

إِنَّ مِنْ عُقُوبَةِ السَّيِّئَةِ السَّيِّئَةُ بَعْدَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya balasan bagi suatu perbuatan buruk itu adalah lahirnya perbuatan buruk lain selepasnya.” (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’, hlm. 55)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إنَّ ‌الْمُؤْمِنَ ‌إذَا ‌أَذْنَبَ ذَنْبًا كَانَتْ نُكَتُهُ سَوْدَاءَ فِي قَلْبِهِ، فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ، صَقَلَتْ قَلْبَهُ، فَإِنْ زَادَ زَادَتْ حَتَّى تُغْلِقَ قَلْبَهُ، فَذَلِكَ”الرَّانُ” الَّذِي قَالَ اللَّهُ جَلَّ ثَنَاؤُهُ: ﴿كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ﴾‏

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mu’min itu jika dia melakukan satu dosa, maka akan timbul titik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat, berhenti melakukannya dan beristighfar, maka akan digilap kembali hatinya. Jika dia tambah melakukan dosa, bertambahlah titik hitam sehingga meliputi hatinya. Inilah Ran (الرَّانُ) yang disebutkan dalam firman Allah: ‘Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan’ (Surah al-Mutaffifin: 14).”

Riwayat Ahmad (7939), al-Tirmizi (3334), Ibn dan Majah (4244)

Imam Ibn al-Qayyim menukilkan kalam sebahagian Salaf yang menafsirkan ayat tersebut: “Ia merujuk kepada dosa yang datang selepas dosa.” (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’, hlm. 60)

Kemungkaran dan maksiat bukan sahaja memberikan kesan kepada pelakunya sahaja, bahkan mereka yang berada di sekelilingnya juga terkesan dengan perbuatannya itu, sama ada jirannya, mereka yang tinggal berhampiran dengannya, kawasan tempat dia menetap juga ditimpakan ke atasnya kesan atas sebab perbuatan maksiat tersebut.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ‎

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah al-Rum: 41)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas berkata, ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/98)

Ini juga jelas seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

Maksudnya: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

(Surah al-Syura: 30)

Diriwayat juga sebuah hadith daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فِي هَذِهِ الأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَتَى ذَاكَ؟ قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتِ الْخُمُورُ

Maksudnya “‘Di akhir zaman nanti akan ada (peristiwa) khasaf (di mana orang-orang ditenggelamkan ke dalam bumi), fenomena masyakh (diubah rupanya) dan Qazaf (dilempar dengan batu),’ lalu seorang lelaki dari kalangan kaum muslimin bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bila perkara itu terjadi?’ Baginda menjawab: ‘Ketika para penyanyi dan alat-alat musik telah muncul dan telah diminum minuman-minuman keras.”

Riwayat al-Tirmizi (2212)

Pernah suatu ketika, diceritakan dalam sebuah hadith daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rab‘i bahawa jenazah seseorang diusung melintasinya, seraya Rasulullah SAW bersabda:

 مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ‏.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟‏ فَقَالَ:‏ الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا، وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلاَدُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ

Maksudnya: “Dia sedang berehat dan yang lain berehat daripadanya. Mereka (para sahabat RAnhum) bertanya: Apa yang dimaksudkan dengan ‘Dia sedang berehat dan yang lain berehat daripadanya’? Rasulullah SAW bersabda: Seorang hamba yang beriman berehat daripada kesusahan dunia dan keperitan serta kembali kepada rahmat Allah SWT. Manakala bagi hamba yang kafir pula maka semua manusia, negara, pokok dan haiwan berehat daripada kejahatan yang dilakukan olehnya.”

Riwayat al-Bukhari (6513) dan Muslim (950)

Terdapat banyak lagi kesan yang lahir daripada perbuatan maksiat dan kemungkaran, yang mungkin tidak dapat kami sebutkan keseluruhannya di sini. Bagaimana jelas dan nyata sekali bahawa segala kemungkaran ini tidaklah menatijahkan sesuatu melainkan perkara-perkara yang tidak baik.

Meskipun begitu, kami sarankan agar saudara yang bertanya sentiasa memberikan peringatan kepada kawan tersebut agar dia bertaubat dan meninggalkan kemungkaran yang dilakukan. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak menjadikan kehidupan ini melainkan sebagai suatu ujian buat manusia, sepertimana yang disebutkan di dalam firman-Nya:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

(Surah al-Mulk: 2)

Boleh jadi dengan ujian kemaksiatan dan kemungkaran yang menimpa seseorang itu sebenarnya menjadi sebab dia kembali kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ketaatan dan memohon keampunan.

Ibn al-Qayyim ketika membahaskan tentang kemungkaran dan maksiat, beliau mengatakan bahawa ianya boleh jadi memberi manfaat kepada seseorang hamba, dengan syarat dia bertaubat setelah melakukan maksiat tersebut dan disertai dengan melakukan ketaatan yang banyak. Dan inilah sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh sebahagian Salaf ketika mereka berkata: “Boleh jadi seseorang hamba yang melakukan dosa dimasukkan ke dalam syurga, dan boleh jadi seseorang hamba yang melakukan ketaatan dimasukkan ke dalam neraka.”

Jika ditanyakan, bagaimana mungkin ia berlaku seperti itu? Jawabnya: Apabila dia melakukan dosa, ianya seakan sentiasa berada dihadapan matanya sehingga dia menjadi patah hati dengan dosa yang dia lakukan, lalu dia bertaubat, memohon keampunan, menyesali perbuatannya. Ini menjadi sebab dia dibebaskan (daripada belenggu dosa dan kemungkaran). Adapun apabila dia melakukan kebaikan, ianya seakan sentiasa berada dihadapan matanya sehingga dia berasa ujub, takabbur dan juga merasakan dirinya baik. Lalu ia menjadi sebab kemusnahannya. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/307)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, betapa ramainya di kalangan kita yang melakukan maksiat tetapi akhirnya dia menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya. Dalam banyak keadaan, seseorang terlanjur melakukan maksiat dan berasa patah hati, merasakan dirinya berada di dalam genggaman Allah SWT dan di bawah kekuasaan-Nya. Lalu dia sentiasa bertaubat kepada Allah SWT seakan kemaksiatan yang dilakukannya sentiasa berada di depan matanya, dia menyesal dan banyak memohon pengampunan.

Terkadang ada juga orang yang melakukan ketaatan dan menganggap dirinya terogolong dalam kalangan orang-orang yang taat kepada Allah, lalu timbul perasaan ujub dan angkuh. Dan seseorang yang tidak merasakan dirinya berada di bawah kekuasaan Allah ini menyebabkan amalan agamanya terhapus.

Maka Allah SWT yang Maha Bijaksana, terkadang menguji hambanya dengan suatu dosa untuk memperbaikinya (dengan kembali kepada Allah). Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ ‎

Maksudnya: “Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”

(Surah Taha: 122)

Yakni selepas dia melakukan dosa, kemudian dia bertaubat. Maka Allah SWT memilihnya lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 3/66)

Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada tergolong dalam kalangan mereka yang melakukan kemungkaran dan maksiat, dan sentiasa kembali kepada Allah SWT untuk bertaubat serta menyesali dosa-dosa lama yang dilakukan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِزَّنِي بِطَاعَتِكَ وَلَا تُذِلَّنِي بِمَعْصِيَّتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, muliakanlah aku dengan ketaatan kepada-Mu, dan janganlah Engkau hinakan aku dengan kemaksiatan kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *