Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mempelajari ilmu dan ingin menjadi ulama yang mampu untuk mengajar dalam pelbagai ilmu. Justeru, persoalan saya apa yang sepatutnya saya hafaz dan belajar?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas kepada anda yang sanggup mewaqafkan sejuzuk masa anda dalam mencari ilmu dan juga makrifah. Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan kelebihan hafazan:

Hafazan adalah perkara penting bagi pelajar tolibul ilm, sebab itu Imam al-Rahabi dalam Matan al-Rahabiah (hal. 4) berkata:

فَاحْفَظْ فَكُلُّ حَافِظٍ إِمَامٌ

Maksudnya: Maka hafazlah, kerana setiap orang yang menghafaz layak menjadi imam.”

Begitu juga, kami nyatakan di sini bahawa kelebihan menghafaz masa kecil mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kelebihan Hafaz Masa Kecil:

Sebenarnya menghafaz masa kecil banyak memberi kesan dan ingatan yang kuat takala dewasa. Dalam Jami’ Bayan al-Ilmi menyebut beberapa contoh antaranya:

  • Ibrahim bin Alqamah berkata: “Apa yang aku hafaz ketika kecil atau muda seolah-olah aku melihat pada kertas.
  • Al-Hasan bin Ali menasihatkan anak cucunya: “Belajarlah kamu ketika kamu kecil nescaya kamu menjadi orang yang hebat pada esok hari. Siapa yang tak dapat menghafaz hendaklah menulis dan mencatatnya.”
  • Abu Ubaidillah Naftawaih berkata: “Aku dapati diriku lupa bila aku belajar masa tua dan tidak lupa bila aku belajar masa kecil.”
  • Luqmanul Hakim berkata kepada anaknya: “Hai anakku, tuntutlah ilmu semasa kecil kerana ia sukar ketika dewasa.”

Apakah yang dihafaz?

Bagi menjawab persoalan ini, penulis teringat kepada satu ungkapan menarik daripada seorang ulama Islam. Katanya:

اِقْرَأْ خَيْرَ مَا تَجِدُ، وَاكْتُبْ خَيْرَ مَا تَقْرَأُ، وَاحْفَظْ خَيْرَ مَا تَكْتُبُ

Maksudnya: “Bacalah buku yang terbaik yang ada pada kamu. Tulis apa yang terbaik daripada bacaan kamu, dan hafaz apa yang terbaik daripada tulisan kamu.”

Berdasarkan kenyataan di atas, bukan semua maklumat perlu dihafaz. Tetapi menurut Islam perkara yang dihafaz adalah perkara yang dapat memberi manfaat dan diperlukan sebagai hujah dalam hukum agama.

Antara perkara yang wajar dihafaz adalah:

  1. Al-Quran
  2. Hadis Nabi SAW, khususnya berkaitan dengan hukum dan adab-adab.
  • Matan Arba’in al-Nawawiyyah oleh Imam Nawawi.
  • Mukhtasar Abi Jamrah.
  • Arbain Sihah oleh Syeikh Muhammad Abdul Latif al-Farfur.
  • Bulugh al-Maram oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.
  • Al-Muntaqa’ oleh Ibnu Taimiyyah al-Jad.
  1. Matan-matan, sama ada:
  2. Tauhid
  • Jauharatu al-Tauhid
  • Matan Sanusiah
  • Ummu al-Barahin
  • Al-Aqidah al-Wasitiyyah
  • Al-Aqidah al-Tahawiyyah
  1. Fiqh
  • Matan Ghayah wa al-Taqrib
  • Tanbih
  • Matan Abi Syuja`
  • Zad al-Mustaqni` fi Ikhtisar al-Muqni` oleh al-Hajjawi
  1. Ilmu Mustalah Hadis
  • Matan Baiquniyyah
  • Fathu al-Mughith
  • Alfiyah al-Iraqi
  1. Nahu
  • Matan al-Ajrumiyyah
  • Matan Bina’
  • Alfiyah Ibn Malik
  1. Qiraat
  • Matan al-Syatibi, iaitu Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani
  • Matan al-Jazari
  1. Mutiara kata atau hikmah
  • Hikam oleh Ibn Ataillah
  • Al-Muhasabah oleh al-Muhasibi
  • Taj al-Arus oleh Ibnu Ataillah
  • Minhaj al-Abidin oleh Imam al-Ghazzali
  1. Syair Arab
  • Diwan oleh Imam al-Syafie
  • Raudhatu al-`Uqala oleh Ibn Hibban al-Busti.
  1. Faraid
  • Matan al-Rahabiah oleh Imam al-Rahabi
  • Matan al-Burhaniah oleh Muhammad al-Burhani
  1. Usul fiqh
  • Syarh al-Waraqat oleh Imam al-Haramain
  • Maraqi al-Su`ud al-Fiqh oleh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti
  • Al-Isyarah fi usul al-Fiqh oleh Sulamain bin Khalaf al-Andalusi
  • Al-Asybah wa al-Nazair oleh Umar bin Ali bin al-Mulaqqin
  • Jam`u al-Jawami` oleh Muhammad bin Abi Syarif al-Maqdisi

Bukan semata-mata menghafaz tetapi yang lebih penting dari itu memahami serta menghayati ilmu yang kita kuasai dan kita hafazkannya. Semestinya, kita beramal dengan ilmu dan bukan semata-mata hanya di dalam dada dan ingatan kita. Alangkah hebatnya salafussoleh dan ulama dahulu, mereka menghafaz dan mereka juga mengamalkan ilmu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply