Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kisah yang boleh dijadikan teladan berkenaan sedekah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’: 39)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kisahkan berkenaan seorang doktor perubatan dari Arab Saudi yang dikenali sebagai Dr Khalid al-Jubair untuk memberi rawatan kepada penduduk Morocco.

Dr Khalid al-Jubair berkata: Aku pernah dihantar oleh al-Amir Sultan ke Morocco untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit di sana. Bilamana aku sampai, aku dapati tempat rawatan tidak sempurna dan banyak kekurangan.

Aku mengkhabarkan hal tersebut kepada al-Amir Sultan dan beliau menyuruhku supaya berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Antara yang aku rawat itu, ada seorang penduduk Maghribi yang memberitahu kepadaku, terdapat seorang ahli korporat yang kaya di Morocco, yang amat pemurah.

Lantas, aku pun pergi ke rumahnya dan bercakap dengannya. Serta merta beliau memanggil keraninya dan mengarahkan supaya menyelesaikan semua kehendak dan keperluan yang diperlukan bermula sewa bangunan sehingga kepada kos rawatan.

Perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah beliau berkata kepadaku, “Tolong ceritakan kepada sesiapa sahaja, bahawa tidaklah aku keluarkan untuk sedekahkan sejumlah wang kecuali Allah akan menggandakan kepadaku. Sebagai contoh, jika aku sedekah pada hari ini 1 Juta, maka pada akhir minggu, aku akan memiliki 3 Juta. Ceritalah. Hal ini bukan berlaku sekali kepadaku, bahkan boleh dikatakan, itulah yang sering berlaku. Aku tidak menganggap diriku kecuali pemegang harta yang Allah amanahkan.

Aku mempunyai empat orang anak. Setiap orang, aku beri kepada mereka sebuah syarikat atau kilang, dan mereka mendapat keuntungan yang banyak. Adapun wakaf yang aku lakukan, pernah aku wakafkan bangunan untuk pesakit dialisis di mana rawatan mencuci buah pinggang perlu dilakukan setiap dua hari sekali. Kemudian aku juga mewakafkan 20 hospital yang lain untuk dijadikan sebagai pusat rawatan. Begitulah yang aku lakukan. Dan semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepadaku.”

Inilah kisah yang ajaib, yang membenarkan sabda Rasulullah SAW:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.”

Riwayat Muslim (2588)

(Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 110-112)

Inilah bukti yang nyata dan kisah yang perlu diambil prihatin dan cakna oleh kita yang bahawa bersedekah dan infak itu banyak kebaikan. Mudah-mudahan kita menjadi golongan seperti itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply