Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato’ Seri terangkan tafsir ayat 7, surah Ali-Imran? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

(Surah Ali Imran: 7)

Dalam ayat di atas, Allah SWT memaklumkan bahawa dalam al-Quran terdapat ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat. Pemakluman ini adalah untuk menolak golongan Nasrani yang menyelewengkan maksud beberapa ayat al-Quran yang zahirnya menunjukkan kelebihan Nabi Isa A.S berbanding manusia yang lain seperti firman Allah SWT tentang Baginda:

 وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَىٰ مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِّنْهُ ۖ

Maksudnya: “Kalimah perintah ciptaan-Nya, yang disampaikan kepada Maryam, dan dengan tiupan roh daripada-Nya.”

(Surah al-Nisa’: 171)

Orang-orang yang cenderung kepada kesesatan dan kebatilan seperti golongan Nasrani akan mengikut hawa nafsu dengan mengambil dan berpegang dengan ayat mutasyabihat untuk mememesongkan ayat-ayat tersebut kepada tujuan yang salah. Mereka dalam masa yang sama meninggalkan ayat muhkamat yang tidak ada kekeliruan di dalamnya. Mereka melakukan demikian kerana ingin meletakkan manusia dalam fitnah agama dan menyesatkan para pengikut mereka. Mereka berhujah dengan al-Quran yang menyebut bahawa Nabi Isa A.S adalah roh Allah SWT dan kalimah-Nya yang disampaikan kepada Siti Maryam A.S tetapi dalam masa yang sama meninggalkan firman Allah SWT yang muhkamat:

 إِنْ هُوَ إِلَّا عَبْدٌ أَنْعَمْنَا 

Maksudnya: “Nabi Isa A.S tidak lain hanyalah seorang hamba yang Kami berikan nikmat kenabian kepadanya.”

(Surah Al-Zukhruf: 59)

Mereka melakukan demikian kerana ingin mentakwilkan ayat al-Quran kepada perkara yang bukan hakikatnya dan menyelewengkannya mengikut apa yang nafsu mereka inginkan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/5)

Tiada sesiapa yang mengetahui maksud sebenar bagi ayat mutasyabihat kecuali Allah SWT Sebahagian daripada sahabat Rasulullah SAW seperti Ubay bin Kaab, Aisyah dan  Ibn Umar R.Anhuma menghentikan ayat tersebut kepada lafzul jalalah iaitu pada kalimah Allah SWT Ia membawa maksud bahawa tiada yang mengetahui takwilan ayat mutasyabihat kecuali Allah SWT Adapun orang-orang yang tinggi ilmunya berkata bahawa mereka beriman kepadanya kerana Allah SWT menyifatkan mereka sebagai golongan yang menyerahkan diri kepada Allah SWT secara mutlak. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/153)

Sebahagian daripada sahabat RA pula seperti Ibn ‘Abbas RA dan kebanyakan ahli tafsir pula menyatakan bahawa ayat tersebut tidak terhenti pada lafzul jalalah tetapi pada orang-orang yang tinggi ilmunya. Justeru, ayat tersebut bermaksud bahawa tiada yang mengetahui takwilan ayat mutasyabihat kecuali Allah SWT dan orang-orang yang tinggi ilmunya. Kata-kata orang yang tinggi ilmunya bahawa mereka beriman kepada ayat mutasyabihat adalah tidak menafikan pengetahuan mereka tentang takwilan ayat. Mereka menjadikan ayat muhkamat sebagai asas dan meyakini bahawa kedua-dua bentuk ayat tersebut datang daripada sisi Allah SWT Kedua-duanya benar dan saling membenarkan antara satu sama lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/154)

Hikmah di sebalik kewujudan ayat mutasyabihat adalah untuk menjadi ujian bagi manusia dan seterusnya membezakan di antara orang yang benar imannya dengan orang yang lemah keyakinannya. Ia juga adalah untuk menerangkan kelebihan orang-orang yang tinggi ilmunya dalam mengkaji dan menyelidik kerana mereka mengetahui dan memahami apa yang difirmankan oleh Allah SWT walaupun tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar. Oleh kerana itu Allah SWT berfirman bahawa tiada yang mengambil pengajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir. Orang yang mampu memahami, berfikir dan mentadabbur makna ayat dengan cara yang betul adalah orang yang mempunyai akal yang sejahtera dan kefahaman yang benar. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/153)

Kemudian Allah SWT menyebut tentang doa orang-orang yang tinggi ilmunya agar menetapkan mereka di atas petunjuk dalam memahami ayat mutasyabihat. Mereka berdoa agar Allah SWT tidak memesongkan hati mereka daripada kebenaran kepada menyelewengkan ayat mutasyabihat sesudah Allah SWT memberi petunjuk. Mereka memohon agar dikurniakan kepada mereka limpah rahmat kekal dalam petunjuk daripada sisi-Nya kerana Allah SWT adalah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 2/7) Mereka menyambung doa dengan menyebut tentang Allah SWT yang akan menghimpunkan manusia pada hari kiamat untuk menerima balasan yang tidak ada syak padanya dan Allah SWT tidak akan memungkiri janji-Nya. Ia adalah doa untuk menimbulkan rasa takut dalam diri supaya tidak menjadi orang yang terpesong hatinya dan ditarik rahmat oleh Allah SWT pada hari tersebut. (Lihat Tafsir al-Manar, 3/190)

Semoga dengan sedikit tafsiran yang ringkas ini dapat memberi kefahaman kepada kita dalam tadabbur dan menekuni al-Quran al-Karim.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply