Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami siapakah Waraqah bin Naufal dan adakah dia termasuk di kalangan orang yang beriman?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
(Surah al-Nahl: 125)
Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai al-Qurasyi al-Asadi. Beliau adalah sepupu kepada Khadijah R.Anha, isteri Nabi SAW.
Beliau adalah salah seorang daripada empat orang, yang berkumpul pada hari perayaan Quraisy terhadap berhala-berhala mereka. Mereka berbicara sesama mereka dan bersepakat bahawa Quraisy telah menyimpang daripada agama Ibrahim A.S, dan bahawasanya tidak ada erti menyembah berhala.
Mereka pun pergi mencari agama Ibrahim yang sebenar. Mereka itu ialah Waraqah bin Naufal, ‘Ubaidullah bin Jahsy, Uthman bin al-Huwairith, dan Zaid bin ‘Amr bin Nufail.
Kemudian, Waraqah telah memeluk agama Nasrani dan membaca apa yang dia temui daripada kitab-kitab terdahulu. Justeru, dia telah tetap berada dalam agama Nasrani dan menjadi salah seorang ulamanya. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 8/557)
Kisahnya menjadi masyhur ketika permulaan turunnya wahyu. Setelah itu, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-de Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan berkata: “Selimutkan aku, selimutkan ainu Ma mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda.
Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku bera benar bimbangkan diriku. Khadijah R.Anha berkata:
كَلَّا وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ اللهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ الـمَعْدُومَ، وَتَـقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَـوَائِبِ الحَقِّ
Maksudnya: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.”
Riwayat al-Bukhari (3) dan Muslim (160)
Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya.
Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril AS) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Jika sekiranya aku masih hidup pada ketika itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku” Tidak lama Kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu. [Riwayat al-Bukhari, no.3]
Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan kedudukan Waraqah adalah cukup istimewa. Ini kerana, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَسُبُّوا وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلَ فَإِنِّي قَدْ رَأَيْتُ لَهُ جَنَّةً أَوْ جَنَّتَيْنِ
Maksudnya: “Janganlah kamu mencela Waraqah bin Naufal. Sesungguhnya aku melihat baginya satu syurga atau dua syurga.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4211). Beliau mengatakan bahawa ia sahih berdasarkan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim dan dipersetujui oleh Imam al-Zahabi. Imam al-Suyuti juga dalam al-Jami‘ al-Saghir (9775) menilai hadith ini sebagai sahih.
Al-Munawi menukilkan daripada al-Iraqi yang menyebutkan: “Hadith ini menguatkan hadith lain yang disampaikan oleh beberapa ulama bahawa Waraqah masuk Islam pada permulaan turunnya wahyu.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Shaghir, 2/953). (Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 393-394)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran: 8)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445