Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai bela kucing dan kucing keluar masuk rumah. Adakah kucing najis? Kerana dikatakan kena bela kucing di luar rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi kucing

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas mengenai kucing terlebih dahulu. Kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.

Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya. Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521).

Kucing ialah haiwan yang suci

Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa hukum asal setiap haiwan itu adalah suci (yakni bukan najis) melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, kucing termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Selain itu, kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Terdapat sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda mendekatkan sebekas air kepada seekor kucing sehinggalah ia meminumnya. Kemudian Baginda berwuduk daripada lebihan air tersebut.[2] Al-Syaukani menyebutkan bahawa berlaku perselisihan dalam kalangan ulama dalam hadith ini pada ‘Abd Rabbih iaitu Abdullah bin Sa‘id al-Maqburi. Selain itu, al-Daraqutni juga ada meriwayatkan hadith Aisyah ini daripada jalur lain, yang di dalamnya terdapat perawi Bernama al-Waqidi. Begitu juga, diriwayatkan daripada jalur-jalur yang lain, yang kesemuanya ada keraguan.

Hadith ini menunjukkan kepada sucinya mulut kucing dan air lebihan yang diminumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Syafi‘i dan al-Hadi. Manakala Abu Hanifah pula berpendapat, ia adalah najis sepertimana binatang buas. Akan tetapi diberi keringanan (rukhsah) padanya, maka air lebihan yang diminum oleh kucing hukumnya adalah makruh — untuk digunakan (Lihat Nail al-Autar, 1/53), dan tidak makruh menggunakannya sekiranya tidak ada air lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/269-270). Walau bagaimanapun, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172). Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. (Lihat al-Mughni, 1/39).

Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma‘ para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).

Oleh itu, secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i, bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing — termasuklah mereka yang memeliharanya. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:

وَخَرَجَ بِالـمَأْكُولِ غَيْرُهُ كَالحِمَارِ وَالـهِرَّةِ فَشَعْرُهُ نَجِسٌ لَكِن يُعْفَى عَن قَلِيلِهِ بل وعَن كَثِيرِهِ فِي حَقٍّ مَن ابتلى به كالقصاصين

Maksudnya:Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kucing termasuk dalam haiwan yang suci  dan bukannya najis. Lebih-lebih lagi kucing merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia. Begitu juga diharuskan untuk memeliharanya di dalam rumah jika tujuannya menepati kehendak syarak seperti membelanya untuk menghalau sebahagian haiwan perosak seperti tikus dan seumpamanya. Apatah lagi perbuatan memelihara kucing itu sendiri tidak bertentangan dengan taharah (kebersihan/kesucian) kerana kucing itu sendiri dihukumkan sebagai suci sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini.

Seterusnya diwajibkan ke atas orang yang membela kucing untuk memberinya makan yang mencukupi dan diancam dengan ancaman yang keras bagi sesiapa yang mengurungnya tanpa memberinya makan dan minum sehingga ia mati.[3] Begitu juga orang yang memelihara kucing juga hendaklah berjaga-jaga dan menjaga rumahnya daripada air kencing dan tahi kucing kerana kedua-duanya dihukumkan sebagai najis mutawassitah. Berkenaan cara membersihkan najis mutawassitah, bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[4]

Oleh itu, kami mencadangkan kepada orang yang membela kucing untuk menyediakan tempat khas kucing-kucing itu buang air di satu ruangan khusus yang jauh daripada ruangan solat dan ruangan utama agar tidak timbulnya syak atau perasaan waswas, serta jauh daripada bau yang tidak menyenangkan.

Begitu juga memeliharanya di luar rumah, hendaklah dipastikan ia tidak mengganggu jiran-jiran yang lain seperti membuang najis merata-rata, meninggalkan bau yang tidak menyenangkan atau seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahf: 10)

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.

[2] Riwayat al-Daraqutni dalam sunannya (218) dan beliau menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan. (Lihat Tanqih al-Tahqiq oleh Ibn ‘Abd al-Hadi, 1/94-95)

[3] Hal ini adalah sebagai sabit dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya (2365)

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 23 Ogos 2023.

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply