Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya baru lepas operation, dan dibahagian luka masih ada lubang dan masih ada darah. Dr. masih cuci dan tutup dengan kapas. Adakah sah jika saya mandi wajib walaupun tertutup dengan kapas? dan jika perlu tayamum adalah perlu buka kapas dulu? tapi masalahnya macam mana nak tayamum sebab luka operation di belakang bahu. mohon pencerahan ustaz.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2382: Mandi Wajib Bagi Pesakit Yang Terlantar Selepas Pembedahan[1]

#1635: Mandi Wajib Bagi Diabetik Yang Memakai Flash Glucose Monitor (FGM)[2]

Rukun Tayammum

Terdapat 3 rukun tayammum:

  • Berniat. Tempat niat di dalam hati. Oleh itu seseorang hendaklah berniat dalam hatinya perbuatan tayammum tersebut, malah sunat melafazkannya dengan kata, sahaja aku mengharuskan solat, solat fardhu, solat sunat dan seumpamanya yang hendak dilakukannya. Apabila seseorang bertayammum dengan niat mengharuskan yang fardhu, dia boleh melakukan beberapa amalan sunat yang lain bersamanya.
  • Menyapukan debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga siku dengan dua kali tepukan, yakni menepukkan dua tangan ke atas debu tanah yang suci dan menyapukannya ke seluruh muka. Kemudian menepukkannya lagi ke atas debu tanah tersebut dan menyapukannya pula pada kedua-dua belah tangannya hingga siku dengan cara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan dan tapak tangan kanan menyapu tangan kiri.
  • Tertib menurut cara yang telah disebutkan. Ini kerana tayammum menggantikan wudhu’ yang tertib adalah antara rukunnya.

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan, saudara hendaklah mandi wajib dengan sepenuhnya kecuali di tempat yang ada luka tersebut. Oleh kerana luka tersebut masih dalam rawatan doktor, maka ganti pada tempat tersebut hendaklah anda tayammum mengikut mazhab Syafi’i. Pendapat yang kedua menyatakan anda berhak tayammum sahaja. Maka, dalam situasi saudara kami cenderung kepada yang pertama iaitu mandi wajib dahulu dan hanya menggantikan tempat yang tidak dikenakan air dengan tayammum. Tayammum ini hanya melibatkan muka dan tangan hingga ke siku sahaja, maka tidaklah memudaratkan luka tersebut kerana ia dibahagian belakang bahu.

Jika sukar, kita boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Maliki dengan hanya tayammum dan tidak wajib menggabungkan kedua-duanya. Inilah juga yang saya nyatakan tadi sebagai pendapat yang kedua.

 Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun :16)

Namun, saudara perlu mengambil wuduk seperti biasa ketika mahu menunaikan solat kerana bahu bukan dari bahagian anggota wuduk dan hanya sampai di siku sahaja.

Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kesembuhan dan ketabahan buat saudari dalam melayari episod kehidupan ini. 

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh yang sentiasa mematuhi titah-perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” 

(Surah al-Kahf: 10)

Wallahu a’lam

 

[1] https://maktabahalbakri.com/2382-mandi-wajib-bagi-pesakit-yang-terlantar-selepas-pembedahan/

[2] https://maktabahalbakri.com/1635-mandi-wajib-bagi-diabetik-yang-memakai-flash-glucose-monitor-fgm/

 

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply