Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jika kita ingin bertaubat dan sedar kita telah meninggalkan solat-solat fardhu terdahulu. Perlukan kita menqada’ seadanya? Bolehkah saya mengqadha’ satu waktu setiap kali selepas solat fardh kerana solat yang saya tinggalkan banyak. Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

 Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Qada’ solat fardhu adalah wajib berdasarkan nas di atas, bahkan tuntutan solat adalah amat serius. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”

Riwayat Tirmizi (2621), Ahmad (22987), Ibnu Majah (1079) dan Nasa’ie (463)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menggantikan solat fardhu adalah wajib. Oleh itu, cara saudara untuk mengqadakan solat selepas solat fardhu adalah cara yang sebaiknya dan mengurangkan kesukaran. Maka, nasihat kami qadha’lah solat fardhu yang ditinggalkan semampu yang boleh, moga-moga asbab saudara berusaha dalam menggantikan solat yang lalu, Allah mengampunkan dosa saudara yang terdahulu dan melimpahkan rahmat buat saudara.

Kami cadangkan carilah cara yang paling mudah dan senang untuk qadha’ solat, seperti saudara istiqamah ke masjid setiap kali solat fardhu sebelumnya gunalah untuk qadha’ solat atau solatlah qadha’ pada waktu di antara Maghrib dan Isyak ketika di masjid.. Maka, ia memudahkan diri anda. Begitu juga, jika ada pelunag menuju ke Mekkah melaksanakan ibadah umrah gunakan waktu di sana untuk mengqadha’ solat dengan sebanyak-banyaknya. 

Pada waktu malam juga, anda boleh ambil waktu satu dua jam untuk qadha’ solat. Hal ini, jika dapat dilakukan anda sebenarnya boleh mengahbisi qadha’ solat anda dalam tempoh dan waktu yang singkat. Semoga anda berjaya dalam menajdi golongan yang khusyuk dalam sembahyang serta memelihara solat. Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 41-42)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply