Soalan: 

Assalamualaikum ustaz, saya ade soalan berkait dengan arak saya pemandu lori,saya bawa gas karbon dioksida(CO2). Antara pelanggan syarikat saya bekerja adalah kilang arak, soalan saya apakah hukum saya menghantar barang ‘karbon dioksida’ ke kilang arak? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Susungguhnya kejayaan itu hanya akan dicapai sekiranya meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT terutama perbuatan-perbuatan buruk  iaitu arak yang melibatkan segala sesuatu yang merosakkan akal fikiran  disebabkan kesan  mabuk  serta segala bentuk perjudian atau taruhan yang merugikan dan menguntungkan kedua belah pihak. Selain itu  juga penyembahan berhala, patung-patung berhala dan segala sesuatu yang disembah selain Allah. Termasuk juga suatu amalan kuno di mana orang mencari nasib atau keputusan dengan melempar anak panah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.243 )

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Tirmizi (1295)

Nas-nas di atas menunjukkan bahawa  setiap muslim diwajibkan untuk menjauhi arak kerana di dalamnya terdapat kerosakan yang lebih besar daripada manfaatnya. Selain itu juga, menjadi kewajiban untuk menjauhi segala hal yang terkait dengannya, seperti proses pembuatan, pengiriman, dan segala aspek yang berhubungan dengan arak.

Dalam menjawab pertanyaan di atas, kami ingin menegaskan bahawa segala hal yang terkait dengan arak adalah tidak dibenarkan. Hal ini disebabkan oleh larangan yang tegas yang terdapat dalam Al-Quran dan hadith  sepertimana yang telah dinyatakan sebelumnya. Dalam isu  ini, kami katakan bahwa apabila saudara  mengetahui bahawa gas yang  dihantar itu  digunakan untuk proses pembuatan arak, maka  tidak boleh menghantar gas tersebut ke perusahaan tersebut. 

Namun, sekiranya  gas tersebut digunakan untuk keperluan yang diizinkan oleh hukum Islam dan tidak digunakan untuk memproses arak, maka menghantar  gas tersebut adalah dibenarkan. Hal ini kerana Allah SWT memerintahkan kita untuk saling membantu dalam hal-hal yang baik bukan dalam hal-hal yang mendapatkan kemurkaanNya. Ini sebagaimana  yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 

(Surah al-Maidah: 2)

 Kaedah fiqh juga ada menyebut :

كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”

Syaikh Islam mengungkapkan pandangannya tentang hal ini: Jika kita membantu orang lain untuk melakukan perbuatan yang Allah larang, maka kita juga ikut berdosa. Ini kerana kita turut membantu dalam melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Nabi Muhammad SAW mengutuk minuman keras seperti arak, beserta segala hal yang terkait dengannya seperti memproduksi, mengangkut, menjual, membeli, memberi, meminum, dan bahkan menerima wang dari penjualannya. Orang-orang yang terlibat dalam aktiviti seperti ini juga ikut mendukung  minuman keras.

Demikian juga, kita dilarang keras menjual senjata kepada mereka yang akan menggunakannya dalam peperangan yang dilarang oleh agama, seperti melawan sesama Muslim atau dalam situasi pertikaian yang membawa kepada fitnah. (Lihat Majmu’ al-Fatawa,22/141)

Justeru, kami katakan, jika syarikat gas ini dimiliki oleh individu Muslim, maka disarankan untuk menjauhi segala jenis urusan jual beli dengan syarikat yang menghasilkan minuman keras. Namun, jika syarikat tersebut dimiliki oleh individu non-Muslim, kami menggalakkan agar saudara berbincang dengan pihak majikan untuk mencapai kata sepakat agar dapat menghormati pekerja Muslim yang berpegang kepada prinsip-prinsip agama. Ini bagi mengelakkan daripada membantu dalam perkara-perkara yang terlarang seperti penghasilan arak.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply