Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami berkenaan sedekah atau infak ayat 10 daripada surah al-Munafiqun?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ ‎

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”

(Surah al-Munafiqun: 10)

Al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang yang beriman kepada-Ku dan Rasul-Ku, infaqkanlah apa yang Kami rezekikan kepada kamu semua sebelum datang kematian pada salah seorang dari kamu, (di mana ketika itu) barulah dia berkata, “Tuhan, tolong undurkan kematianku, supaya aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh dengan mengerjakan segala perintah-Mu.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 25/91)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘فَأَصَّدَّقَ’, yakni supaya hamba dapat bersedekah dengan membayar zakat dan yang lainnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/593)

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa mulianya sedekah pada pandangan orang yang berada dalam sakaratul maut. (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 154-155)

Imam Al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami’ Al-Bayan, Surah al-Munafiqun ayat 10 merangkumi beberapa persoalan. 

  • Pertama, perintah menyegerakan zakat atau amal ibadah yang terdapat padanya kekhususan waktu. Zakat atau sedekah wajib merupakan amal yang harus ditunaikan sebelum ajal atau kematiannya. 
  • Kedua, permintaan kembali ke dunia untuk beramal soleh. Imam Tirmizi meriwayatkan dari al-Dhahak bin Muzahim dari Ibnu Abbas berkata, ” Barang siapa yang sudah berkemampuan berzakat atau haji, tetapi tidak menunaikannya, maka ia akan meminta hidup kembali sebelum kematian menghampirinya.
  • Ketiga, makna ayat tersebut bersifat umum untuk setiap perkara yang wajib. Imam Ibnu Abbas memberikan penjelasan bahawa yang dimaksudkan dengan infaq di dalam surah al-Munafiqun ayat 10 adalah khusus untuk infaq wajib. Termasuk di dalamnya ialah zakat.

Sementara ulama lain memasukan haji dalam mafhum ayat tersebut. Ini kerana, haji juga merupakan sesuatu yang wajib dan mempunyai waktu khusus dalam pelaksanaannya.

  • Keempat, perintah menunaikan kewajipan sangat ditekankan bagi setiap orang beriman. Imam Ibnu Abbas berkata, perintah menyegerakan kewajipan yang termaktub  dalam ayat ini sangat ditekankan kepada ahli tauhid.

Orang-orang beriman tidak berharap akan hidup kembali. Ini kerana, mereka di alam kubur telah merasakan kenikmatan yang luar biasa. Bagi mereka, kembali ke dunia, sama saja seperti kembali ke alam kehinaan.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil peluang dan masa selagi hayat dikandung badan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya terutamanya sedekah dan infak kerana pahala dan balasannya besar di sisi Allah SWT. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply