Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya tidak tahu mengapa saya rasa kekok dan malu untuk sentiasa senyum dan cuba rapat dengan kedua orang tua saya. Saya berpendapat mungkin kerana usia saya yang semakin meningkat dewasa, saya semakin malu untuk menunjukkan kasih sayang kepada mereka. Disebabkan masalah itu juga, saya merasa bersalah dan berdosa kepada orang tua saya. Bolehkah Dr berikan sedikit nasihat dan cara bagaimana untuk saya merapatkan hubungan dengan ibu bapa saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Ayat di atas menjelaskan berkenaan perintah Allah SWT untuk berbuat baik kepada ibu bapa oleh anak-anak. Wasiat ini dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah agar manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932, Tafsir Ibn Kathir, 5/64)

Begitu juga, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

Sifat malu merupakan sifat yang terpuji dan dengannya seseorang itu akan terhindar dari perbuatan tercela. Sabda Nabi SAW:

 وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”

Riwayat al-Bukhari (9)

Berkenaan isu ibubapa, kami telah jawab dalam beberapa artikel:

#2332: Doa untuk Ibu Bapa[1]

#1494: Abaikan Ibu Kerana Dihalau dari Rumah[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sifat malu merupakan sifat yang baik dan menjadi kebiasaan apabila meningkat dewasa, kita lebih berasa malu dan hormat kepada ibu bapa. Akan tetapi, sebaiknya kita kawal perasaan malu itu agar tidak menjadikannya sebagai batasan dalam kita bergaul bersama mereka. Justeru, nasihat kami buat saudara antara cara yang boleh kita lakukan adalah:

  • Mengajak mereka solat berjemaah dirumah/ masjid
  • Menonton televisyen bersama bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
  • Jika ada rezeki lebih, bawalah mereka makan di luar.
  • Buat aktiviti bersama keluarga kerana ini menambahkan lagi rasa sayang sesama keluarga seperti beriadah, bertanam dan sebagainya.
  • Selalu mendoakan kesejahteraan buat ibu bapa kita.

Kami menutup dengan doa:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

(Surah al-Isra’: 24)

Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/2332-doa-untuk-ibu-bapa/

[2] https://maktabahalbakri.com/1494-abaikan-ibu-kerana-dihalau-dari-rumah/

 

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply