Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri, saya ingin bertanya apakah perlu dilakukan oleh seorang anak sekiranya ayahnya sentiasa melakukan maksiat dan bagaimana cara teguruan yang sesuai oleh anak kepada ayahnya? Terima kasih Dato.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mentaati kedua-dua ibu bapa merupakan kewajipan seorang anak kepada ibu bapanya kerana ia merupakan perintah Allah SWT yang mana boleh kita lihat berdasarkan firmannya:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ ‎﴿١٤﴾‏ وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan

(Surah Luqman:14-15)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agamanya, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam saat yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia secara ma’ruf (baik). Ambillah iktibar dari kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh hikmah sehingga akhirnya menjadikan ibunya boleh menerimanya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/402).

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ‏”‏ ‏.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏”‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebagai seorang anak menjadi satu kewajipan ke atasnya untuk mentaati kedua-dua ibu bapa walaupun seburuk apapun mereka. Ketaatan kepada ibubapa hendaklah pada perkara-perkara yang makruf sahaja. Namun sekiranya mereka menyeru kepada perkara yang bercanggah dengan perintah dan larangan Allah SWT maka dalam situasi tersebut tidak dibolehkan untuk mentaati mereka. Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik).”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Dalam isu ini kami katakan cara yang terbaik  bagi seseorang  untuk menegur perkara mungkar yang dilakukan adalah dengan menggunakan bahasa yang lembut  dan uslub yang baik sebagaimana firman Allah SWT:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

(Surah Taha: 44)

Rasulullah SAW bersabda melalui hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لَا يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لَا يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاه.

Maksudnya: Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.”

(Riwayat Muslim: 2165)

Selain itu seseorang perlu memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat kepada ibu bapa. Lebih baik jika nasihat yang diberikan itu mencerminkan pelbagai jenis kebajikan dan perbuatan baik. Sekiranya dia merasakan bahawa ibu bapa tidak menerima nasihatnya, tidak ada halangan untuk mencari pandangan dan meminta tolong dari saudara lelaki atau bapa saudara, atau meminta imam di masjid, atau individu yang mempunyai kedudukan untuk memberi nasihat.

Hendaklah nasihat yang disampaikan itu dilakukan secara bersendirian dan tidak di depan orang ramai. Ini bertujuan untuk menjaga nama baik seseorang yang terlibat dalam apa-apa kesalahan atau maksiat, terutamanya jika ia merupakan ahli keluarga kita. Telah dinyatakan oleh Imam al-Syafi’e  melalui syairnya:

تَعَمَّدْنِي بِنُصْحِكَ فِي انفِرَادِي           وَجَنِّبْنِي النَّصِيحَةَ فِي الجَمَاعَةْ

 فَإِنَّ النُّصْحَ بَيْنَ النَّاسِ نَوْعٌ            مِنَ التَّوْبِيخِ لَا أَرْضَى اسْتَمَاعَهْ

 وَإِنْ خَالفْتَنِي وَعَصَيْتَ قَوْلِي           فَلَا تَجْزَعْ إِذَا لَمْ تُعْطِ طَاعَهْ

Berilah nasihat kepadaku ketika aku sendiri,

         Jauhilah memberikan nasihat di khalayak yang ramai

Sesungguhnya nasihat di tengah-tengah manusia itu termasuk sesuatu

         Perlecehan yang aku tidak suka mendengarkannya

Jika engkau menyelisihi dan menolak sarananku

        Maka janganlah engkau marah jika kata-katamu tidak aku turuti

(Lihat Mu’jam al-Hikam wa al-Amsal Fi Syi’ri al-’Arabi,10/340)

Justeru, kami ingin menegaskan betapa pentingnya kebijaksanaan dalam memberikan nasihat, kerana nasihat yang disampaikan tanpa kebijaksanaan tidak akan diterima dengan baik.  Berdoa lah kepada Allah SWT dengan memohon agar ahli keluarga yang sering terlibat dalam kemaksiatan diberikan petunjuk oleh-Nya, agar mereka kembali patuh kepada perintah Allah SWT.

Semoga Allah memberi kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply