#2952: Benarkah Hidupan Air yang Halal Hanya Ikan Sahaja?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Betulkah dalam mazhab Hanafi, mereka berpendapat hanya ikan sahaja daripada jenis haiwan air atau hidupan laut yang halal dimakan? Mohon penjelasan ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan berada di dalamnya. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama — untuk berada di atas darat. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150). Haiwan air kesemuanya adalah halal untuk dimakan tanpa perlu kepada sembelihan melainkan terdapat nas yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69); al-Nasa’i (59)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/230; 2/199).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh bahawa ulama mazhab Hanafi berpendapat, jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[1] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).

Manakala jumhur ulama pula berpendapat, bangkai hidupan air adalah halal dimakan tidak kira daripada jenis ikan mahupun selainnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) haiwan/hidupan air itu terbahagi kepada dua jenis.

Pertamanya, haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i).

Keduanya, hidupan air  yang tidak dalam bentuk kebiasaan ikan (sebagaimana yang biasa dikenali) maka terdapat tiga pendapat masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i mengenai kehalalannya sebagaimana disebutkan oleh pengarang dalam al-Tanbih, begitu juga al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya turut menyatakan bahawa terdapat tiga pendapat mengenainya.

Pendapat pertama iaitu pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan. Ini adalah sebagai dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan Ikhtilaf al-‘Iraqiyyin kerana sebetulnya perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Pendapat kedua, haram memakannya dan ini juga adalah mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat ketiga menyatakan, jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan seumpamanya, maka ia juga turut halal dimakan. Jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya tidak dimakan dagingnya seperti babi air dan anjing laut, maka ia juga haram dimakan. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal mengikut apa yang kami telah sebutkan berdasarkan dalil yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ketiga ini, tidak halal dimakan haiwan yang menyerupai keldai, meskipun terdapat di daratan, keldai liar yang boleh dimakan. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Sabbagh, al-Baghawi dan selain kedua-duanya. Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya melainkan katak.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan, ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31-33).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa menurut mazhab Hanafi, hidupan laut/air yang halal dimakan hanyalah ikan dan jenis-jenisnya sahaja. Manakala jumhur ulama pula berpendapat, semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya selagi mana tidak memudaratkan pemakannya, dan inilah pendapat yang kuat menurut kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *