Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa orang yang pakar dalam bab agama pun perlu mengambil tauliah dalam sesebuah negeri?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

(Surah al-Taubah: 122)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)

Soalan ini hampir sama dengan soalan sebelum ini yang telah kami jawab di bawah tajuk Sekatan Dakwah. Justeru, kami syorkan supaya rujuk di situ. Untuk tambahan kami katakan bahawa para ulama adalah pewaris nabi-nabi tetapi keperluan untuk mendapat tauliah bukan semata-mata kerana ilmu, tetapi aliran pemikiran serta bagi pensabitan dan pengesahan kemampuan ilmu seseorang itu. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang masyhur:

Ketika Rasulullah SAW menghantar Saidina Muaz bin Jabal R.A ke negara Yaman, baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz berdasarkan sabdanya yang berikut:

كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ.

Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: ‘Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah’. Baginda bersabda: ‘Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah?’ Maka jawab Muaz: ‘Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW.’ Baginda bertanya lagi: ‘Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?’ Jawab Muaz: ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Tirmizi (1327)

Hadis tersebut menunjukkan Rasulullah SAW sedang menguji kelayakan Saidina Muaz dalam menyampaikan dakwah. Setelah berpuas hati dengan manhaj Saidina Muaz dalam berhukum iaitu mendahulukan al-Quran kemudian al-Sunnah dan seterusnya ijtihad, maka baginda pun mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Maka sebab itulah permohonan Tauliah Mengajar perlu melalui beberapa proses tapisan untuk melihat kelayakan, kemahiran, kemampuan dan penguasaan ilmu seseorang sebelum diberikan Tauliah.

Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply