Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sepatutnya pendakwah berinteraksi dengan harta dalam menyampaikan dakwah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ ‎﴿١﴾‏ قُمْ فَأَنذِرْ ‎﴿٢﴾‏ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ ‎﴿٣﴾‏ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ ‎﴿٤﴾‏ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ ‎﴿٥﴾‏ وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ ‎﴿٦﴾‏ وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ ‎

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Surah al-Muddathir (1-7)

Pada hemat kami, nas ini menunjukkan betapa pendakwah amat memerlukan sifat dan sikap yang baik, tegas, berani, mengagungkan Allah SWT, meninggalkan sifat-sifat yang mazmumah di samping bersabar. Salah satu daripada ayat daripada perbahasan di atas ialah وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ yang memberi maksud “Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Menjawab persoalan di atas, seorang pendakwah sewajarnya mempunyai harta bagi memudahkan urusan dakwahnya sama ada pergi ke tempat sasaran berdakwah mahu pun beberapa keperluan untuk menjinakkan mad’u seperti memberi makan, minum dan sedikit daripada hadiah kerana ini boleh mendekatkan mad’u kepada pendakwah.

Sekali pun harta penting, tetapi harta juga boleh menjadi serampang dua mata, sama ada baik atau pun buruk. Ia bergantung kepada nawaitu dan niat pendakwah. Jika ini menjadikan dakwah dalam mencari laba, maka biasanya berakhir dengan hal yang tidak baik serta dakwahnya mungkin tidak berkesan. Justeru, ramai pendakwah dan para ulama berdoa kepada Allah SWT agar dijadikan harta pada tangannya tetapi jangan harta bertakhta dalam hatinya.

Kita hendaklah menanamkan sifat ikhlas jika mendapat sedikit rezeki yang diberi kepada kita, maka terimalah dengan redha dan kita menganggap sebagai rezeki yang baik. Jika sekiranya tidak diberi kepada kita, maka pahala di sisi Allah SWT cukup besar selama mana kita sentiasa menzahirkan keikhlasan pada hati kita. Inilah yang dituntut oleh Allah SWT kepada kita. Benarlah firman Allah SWT:

 وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.

Surah al-Bayyinah (5)

Justeru, dengan niat yang ikhlas, sabar dalam menyampaikan ilmu dan dakwah di samping mengharapkan keredhaan Allah SWT serta doa kepada-Nya, maka sudah pasti dakwah akan berjaya dan pendakwah tidak rebah dengan godaan dunia. Maka, sudah pasti pendakwah dapat kebahagiaan hidup diduni dan akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply