Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah ucapan terakhir Nabi SAW sebelum wafat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah Ali ‘Imran: 144)
Ibn al-Musayyib menyebutkan bahawa Umar R.A berkata, “Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi ketika mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka, yakinlah aku bahawa Rasulullah SAW telah wafat.” (Lihat Rahiq al-Makhtum, hlm. 469)
Diceritakan oleh Aisyah R Anha bahawa Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam bejana yang berisi air yang terdapat di hadapannya. lalu mengusapkan kedua tangannya ke wajahnya seraya mengucapkan:
لا إله إلا الله، إِنَّ لِلْمَوْتِ سكرات
Maksudnya “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Sesungguhnya kematian itu adalah sakarah (seolah-olah mabuk akibat sakit yang amat).”
Sebaik sahaja selesai bersugi, Rasulullah SAW mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak pandangannya ke bumbung. Ketika itu bibirnya bergerak. Aisyah R.Anha merapatkan kepadanya dan mendengar Rasulullah SAW menyebut:
اغْفِرْ لي وَارْحَمْنِي وَالْحِقْنِي بالرفيق الأعلى
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, dan himpunkan aku dengan Teman yang tertinggi (Allah SWT).”
Rasulullah SAW mengulangi kalimah yang terakhir itu sebanyak tiga kali, sehinggalah tangannya terkulai jatuh dan Baginda SAW pun bertemu dengan Teman yang tertinggi. (Lihat Sahih al-Bukhari, 6/13 dan 7/121; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 431)
Inilah riwayat yang sahih berkenaan ucapan terakhir Baginda SAW dan bukan sebagaimana disebut.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445