Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar tok imam menyebut dalam bahasa Arab bahawa meluruskan barisan termasuk mendirikan solat. Tapi ada kalanya saya dengar disebut dengan kesempurnaan solat.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

(Surah Saf: 4)

Berdasarkan kepada dapatan kami bahawa kedua-dua riwayat sama ada perintah meluruskan barisan saf solat termasuk dalam mendirikan solat dan juga termasuk dalam kesempurnaan solat adalah sabit dalam hadith.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan arahan Nabi SAW agar meluruskan saf sebelum ditunaikan solat, antaranya adalah:

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat”

Riwayat Muslim (433)

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam mendirikan solat”

Riwayat al-Bukhari (723)

Ini adalah sebahagian daripada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan lafaz Nabi SAW dalam memperbetulkan saf para sahabat sebelum Baginda SAW memulakan solat. Akan tetapi, sekiranya seseorang imam itu menggunakan lafaz yang lain, maka ia tidak menjadi masalah selagimana ucapan tersebut sampai kepada tujuan iaitu meluruskan saf. Selain itu juga, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini memberi galakan agar memperbetulkan (meluruskan) saf-saf (sebelum menunaikan solat) dan hadith ini juga menunjukkan keharusan bercakap di antara iqamah dan juga solat. Ini adalah pandangan mazhab kita (mazhab al-Syafie) dan juga mazhab jumhur ulama walaupun sebahagian ulama melarangnya (iaitu bercakap selepas iqamah). Namun begitu, pandangan yang tepat adalah diharuskan sama ada percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan solat dan selain daripada solat. (Lihat al-Minhaj, 157/4)

Makna Meluruskan Saf

Imam al-Iraqi ada menukilkan pandangan para ulama dalam memahami makna meluruskan saf, iaitu (Lihat Tharh al-Tathrib, 326/2):

  • Bagi mendapatkan istiqamah dan I’tidal pada zahir sebagaimana yang dituntut pada batin.
  • Supaya tidak diganggu syaitan dan ia akan merosakkan solat dengan waswas.
  • Memberi satu gambaran atau keadaan yang baik.
  • Supaya dapat diisi lebih ramai makmum sekiranya makmum terlalu ramai dan ia akan menjadi sempit jika tidak dirapatkan serta diluruskan saf.
  • Agar setiap makmum itu tidak disibukkan dengan melihat di antara satu sama lain akan perkara yang boleh menganggu mereka.

Betapa pentingnya meluruskan saf sehingga para sahabat menitikberatkannya. Ini kerana perintah Rasulullah SAW kepada jemaah solat:

Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (717)

Marilah sama-sama kita mendirikan solat dengan sempurnanya. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply