Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Bagaimana untuk sediakan hati untuk menunaikan umrah? Saya jarang dapat mengalirkan air mata mengingatkan rezeki dapat ke sana nanti? Saya risau hati saya keras. Mohon nasihat.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379)

Cara terbaik untuk melembutkan hati adalah dengan zikir dan ayat-ayat Allah SWT dan berdoa semoga Allah SWT melembutkan hati manusia.

Antara ayat al-Quran yang dikisahkan melembutkan hati seseorang adalah berdasarkan peristiwa Saidina Umar al-Khattab RA, iaitu ayat yang dirampas oleh Saidina Umar daripada adiknya. Bila ayat ini dibaca, hatinya terus menjadi lembut lalu memeluk Islam (ayat tersebut adalah ayat 1-5 surah Taha):

طه ‎﴿١﴾‏ مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ ‎﴿٢﴾‏ إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ ‎﴿٣﴾‏ تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى ‎﴿٤﴾‏ الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

Maksudnya: “Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.

(Surah Taha: 1-5)

Imam al-Nawawi menyebut berkenaan dengan beberapa persediaan sebelum seseorang itu menunaikan ibadat haji mahu pun umrah. Antara mukadimah yang dinyatakan:

Hendaklah bertaubat. Katanya, setelah keazamannya telah mantap maka dia hendaklah memulakan dengan bertaubat daripada segala dosa, maksiat dan segala perkara yang dibenci oleh agama. Dia hendaklah melepaskan diri daripada apa yang dituntut oleh orang yang dizaliminya, melangsaikan secepat mungkin segala hutangnya dan mengembalikan barang amanah yang disimpannya. Begitu juga, meminta halal di antaranya dengan orang lain yang biasa dan selalu dia berhubung atau bersahabat. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 5)

Taubat menurut tafsiran Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din adalah makna yang terangkum di dalamnya tiga unsur, iaitu: Ilmu, keadaan dan amalan. Ilmu adalah yang pertama, keadaan adalah yang kedua dan amalan pula adalah yang ketiga. Perkara pertama merupakan kemestian bagi perkara kedua, perkara kedua merupakan satu kemestian bagi perkara ketiga. Kemestian ini berdasarkan ketentuan Allah SWT di dalam alam. Taubat mempunyai empat rukun, iaitu:

  • Meninggalkan dosa dengan segera.
  • Berazam tidak mahu kembali melakukannya semula.
  • Sesal dan takut kepada Allah SWT.
  • Jika melibatkan manusia, hendaklah memohon maaf daripadanya.

Banyakkan zikrullah kerana ia dapat melembutkan hati sebagaimana firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: ““(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah al-Ra’du: 28)

Begitu juga, banyakkan istighfar kepada Allah SWT kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari seratus kali.”

Riwayat al-Nasaie (6/114) dan Ibn Majah (3815)

Akhir kalam, sentiasalah munajat dan berdoa kepada-Nya kerana Allah SWT lah yang melembutkan hati, membalikkannya dan memberi kepada kita segala-galanya. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Leave a Reply