Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah makna jika seseorang itu mimpikan seekor anjing yang sentiasa menempel dengannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Daripada Abu Qatadah bahawa Baginda SAW juga ada bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Dapatan kami menunjukkan para ulama ta’bir mimpi khilaf berkenaan mimpi melihat anjing dengan pelbagai pendapat. Antaranya:

  • Gambaran orang yang derhaka.
  • Gambaran ahli dunia.
  • Akan tetapi, jika dia melihat anjing buruan, maka, dita’bir dengan kebaikan.
  • Siapa yang bersandar kepada anjing pula, ia menunjukkan yang dia akan menang dengan menggunakan anjing.
  • Jika dia melihat anjing menyalak kepadanya, maka ini memberi maksud musuh dengan yang buruk dan cuba memperdayakannya.
  • Siapa yang bermimpi seolah-olah dia bertukar menjadi anjing, ia menunjukkan dia mendapat ilmu yang Allah SWT kurniakan kepadanya dan akhirnya ilmu tersebut merosakkannya serta tidak memberi manfaat kepadanya.
  • Jika dia melihat sekumpulan anjing yang menyalak kepadanya, ia menunjukkan berlaku pengkhianatan dan tipu daya yang akan terkena kepada orang tersebut.
  • Jika dia bermimpi melihat sekumpulan anjing yang sakit semuanya, ia menunjukkan bahawa penyakit akan kena kepada yang melihat tersebut.
  • Jika dia melihat anjing-anjing dalam perjalanan perburuan dan pulang ke kota, itu menandakan dukacita dan ketakutan telah hilang.
  • Jika dia melihat dalam mimpi yang dia membunuh anjing, ia menandakan kemenangan ke atas musuh.
  • Jika dia memburu menggunakan anjing, itu menandakan di amendapat apa yang dia cita-citakannya.
  • Jika dia melihat anjing menyakitkan dan menggigitnya itu sebagai petanda musibah besar yang berlaku disebabkan rakannya.
  • Jika seorang itu berjalan bersama anjing dalam keadaan tenang, ia menunjukkan bahawa dia akan bertemu lelaki yang baik, mudah, dan dia suka amat banyak kepada lelaki tersebut.
  • Jika dalam mimpi dia bergurau dengan anjing, itu menandakan dia mencampuri orang-orang bukan Islam.
  • Jika dia melihat anjing dari jenis Saluqi, ia sebagai tanda yang dia akan menang dan mendapat kebaikan dari pemerintah.
  • Jika dia melihat anjing kecil, warnanya putih, maka ia akan dikasihi oleh orang ramai, sebaliknya jika warna hitam, maka ia akan dibenci oleh orang ramai.
  • Jika dia melihat anjing betina, maka ia menandakan perempuan keguguran.
  • Jika dia melihat dalam mimpinya, anjing mengoyakkan pakaian itu menandakan musuh bercakap tentang maruahnya dengan keburukan.

Dan banyak lagi tafsirnya. Justeru, kami katakan yang paling penting berdoa kepada Allah SWT, sentiasa berfikiran positif, beriman dengan qadha dan qadar serta sentiasa mengislahkan diri. Kita tetap yakin dengan sesuatu berlaku berdasarkan kepada takdir Ilahi:

 قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Leave a Reply