Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat doa apabila seseorang sampai atau hampir sampai ke negerinya dan adakah warid doa dari Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, memang sabit doa yang diajar apabila sampai kepada negeri. Antaranya:

Daripada Anas R.A, katanya:

أقْبلْنَا مَعَ رَسولِ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم حَتَّى إِذا كُنَّا بِظَهْر الْمَدِينَةِ قَالَ: آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ ‏،‏‏ فَلَمْ يَزَلْ يَقُولُ ذَلِكَ حَتَّى قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ.

Maksudnya: “Kami pulang bersama Rasulullah SAW hingga sampai di Kota Madinah, lantas Baginda berdoa dengan menyebut: Kami kembali bertaubat, beribadat) آیبون تائبون عابدون لربنا حامدون kepada Tuhan kami dan memuji-Nya) Baginda kekal menyebut doa tersebut hingga kami sampai ke Kota Madinah.”

Riwayat Muslim (1345)

Apabila seseorang itu sampai di negerinya, alangkah baiknya dia berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ أَهْلِهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan- nya, kebaikan penduduknya dan kebaikan yang terdapat padanya. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatannya, kejahatan penduduknya dan kejahatan yang terdapat padanya.”

Dan sebahagian mereka berpendapat bahawa disunatkan untuk berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ لَنَا بِهَا قَرَارًا وَرِزْقًا حَسَنًا، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا جَنَاهَا، وَأَعِذْنَا مِنْ وَبَالِهَا، وَحَبِّبْنَا إِلَى أَهْلِهَا، وَحَبِّبْ صَالِحِي أَهْلِهَا إِلَيْنَا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah pada kami dengannya sebagai tempat yang tetap dan rezeki yang baik. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami dengan rezeki kebun-kebunnya” dan jauhkanlah kami daripada sebarang wabak penyakit. Kasihkanlah kami kepada penduduknya dan kasihkanlah orang- orang soleh di kalangan penduduknya kepada kami.”

Sesungguhnya kami telah meriwayatkan hadith ini dan aku telah jelaskannya di dalam kitab al-Azkar.” (Lihat al-Azkar (him. 371), Kitab al-Azkar merupakan karya pengarang yang menghimpunkan zikir-zikir Nabi SAW sama ada duniawi, ukhrawi dan agama. Sedangkan kitab yang datang selepasnya dianggap mengambil manfaat daripada kitab al-Azkar ini. Amat wajar bagi setiap orang untuk memiliki kitab ini. Dengan sebab itu, ada yang berkata: “Juallah rumah, belilah kitab al-Azkar.”)

Sesungguhnya, doa merupakan senjata bagi orang yang beriman dan otak ibadat. Janganlah kita meninggalkan doa kerana ini merupakan perintah Allah SWT dan amalan Rasulullah SAW. Kami kahiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

 

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Leave a Reply