Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berkahwin dengan isteri saya selama 6 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Manakala ibu dan bapa mertua saya mempunyai seorang anak angkat lelaki yang dijaga sejak dari bayi dan kini telah berumur 17 tahun. Ketika masih kecil, syarat-syarat susuan TIDAK dipenuhi.

Jadi saya ingin bertanya, apakah status batas hubungan isteri saya dengan anak angkat tersebut (implikasi aurat). Adakah perlu untuk isteri menutup aurat sepenuhnya di dalam rumah ketika menerima kunjungan anak angkat tersebut? Mohon pencerahan dari ustaz Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya anak angkat adalah anak yang bukan terhasil dari nasab keturunan seseorang itu sendiri. Dari sudut anak tersebut secara nasabnya adalah anak kepada orang lain namun diambil sebagai anak angkat kerana beberapa sebab tertentu seperi contoh pasangan yang sudah lama berkahwin namun tidak direzekikan anak dan sebagainya.

Dari sudut undang-undang setempat, Malaysia secara umumnya membenarkan pengambilan anak angkat. Ini seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).

Manakala di sisi Islam, pengambilan anak angkat ini disebut sebagai التبني yang bermaksud seseorang itu mengambil anak orang lain sebagai anak buat dirinya. Begitu juga istilah lain yang hampir sama dengannya yang disebut sebagai ادعاء. Ini seperti yang disebutkan di dalam firman Allah S.W.T :

وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ

Maksudnya : “Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkat kamu itu sebagai anak-anak (kandung) kamu.”

Surah Al-Ahzab (4)

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata : ‘’Dan Allah tidak menjadikan mereka yang kamu dakwa sebagai anak kamu itu adalah anak kandung kamu. Dalam keadaan dia adalah anak selain kamu yang menjadi anak kamu dengan dakwaan kamu’’. (Lihat Tafsir Al-Thabari, 20/206).

Sebahagian ulama tafsir menyebutkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah tatkala Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab binti Jahsy R.Anha yang merupakan bekas isteri kepada Zaid bin Harithah, kemudian ada suara-suara sumbang dari kalangan musyrikin yang mengatakan bahawa Muhammad telah berkahwin dengan isteri kepada anaknya sendiri. Lalu turunlah firman Allah SWT yang menjelaskan bahawa anak orang lain yang kita dakwa sebagai anak kita, hakikatnya bukanlah anak kandung kepada kita.

Justeru di sisi syarak, hukum mengambil anak angkat dalam makna menasabkan anak angkat itu kepada bapa angkat dan menjadikan anak angkat mewarisi harta peninggalan bapa angkat adalah haram. Ini kerana, Islam hanya mengiktiraf perkara tersebut menerusi hubungan melalui nasab semata-mata.

Isu Kemahraman

Antara isu yang penting berkenaan dengan pengambilan anak angkat ini adalah berkenaan dengan batasan pergaulan dan perhubungan sebaik sahaja anak ini mencecah usia baligh. Dari sudut hubungan anak angkat perempuan dengan bapa angkat dan juga anak angkat lelaki dengan ibu angkat. Secara asasnya, anak angkat yang telah sampai usia baligh yang berlainan jantina dengan ibubapa mereka merupakan ajnabi (orang asing) kepada mereka. Ini kerana mereka pada umumnya tidak mempunyai hubungan nasab (keturunan) dengan ibubapa angkat mereka.

Dalam isu ini, kita hendaklah jelas berkenaan pendefinisian mahram terlebih dahulu. Dari sudut bahasa mahram adalah :

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kaasyifah al-Saja,, hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi SAW Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Mahram hanya berlaku menerusi tiga perkara iaitu nasab, susuan, dan juga musaharah (perkahwinan). Justeru, setiap individu yang tidak ada sebarang hubungan pertalian menerusi ketiga sebab ini adalah bukan mahram bagi seseorang dan membawa kepada banyak implikasi hukum.

Oleh yang demikian, berbalik kepada isu anak angkat ini maka kita nyatakan bahawa sekiranya mereka telah mencapai usia baligh, maka ada beberapa implikasi kemahraman dari sudut perhubungan dengan ibubapa angkat mereka.

Pertama, sekiranya anak angkat itu seorang perempuan, maka dia wajib menutut seluruh auratnya kecuali muka dan tapak tangannya di hadapan bapa angkat.

Kedua, dia tidak boleh untuk bersentuhan kulit dengan bapa angkat tersebut.

Ketiga, mereka juga tidak boleh untuk berdua-duaan di sesuatu tempat tanpa ada mahram bagi lelaki atau mahram bagi dirinya. Keadaan ini sama juga sekiranya anak angkat tersebut merupakan seorang lelaki dengan ibu angkatnya.

Kami akhiri dengan doa dan munajat kepada-Nya semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan di dunia dan akhirat:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply