Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Dr. Soalan saya adalah, apa hukumnya jika saya bekerja untuk kedai makan yang saya sedia tahu kedai tersebut menggunakan pelaris? Ini kerana penggunaan pelaris adalah melibatkan jin dan ia adalah haram kerana syirik. Jika saya sedia tahu kedai tersebut menggunakan pelaris, apakah hukum saya bekerja dengan kedai itu? Terima kasih Dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.”(Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129)

Menurut Ibn al-Jauzi pula: Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan.(Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Diriwayatkan daripada Abi Bakrah Nafi’ Bin Harith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

(Riwayat al-Bukhari (6919)

Menjawab bagi persoalan di atas kami kemukakan terlebih dahulu definisi pelaris. Menurut Kamus Dewan, pelaris ditakrifkan sebagai ilmu hikmat atau jampi penawar dan lain-lain, yang boleh menjadikan jualan dan sebagainya laris. Dalam Kamus Pelajar pula, pelaris bermaksud mantera dan sebagainya yang dapat menjadikan sesuatu itu laris.[1]

Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal yang bertujuan untuk melariskan jualan atau menolak bala. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam nas-nas  hadith sepertimana yang telah  diriwayatkan daripada Ibn  Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.

Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)

Al-Tibi pula berkata: Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakkal kepada Allah. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121 )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلاَ أَتَمَّ اللَّهُ لَهُ وَمَنْ عَلَّقَ وَدَعَةً فَلاَ وَدَعَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya: “Siapa yang menggantungkan tangkal, nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya dari tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20090), al-Hakim dalam al-Mustadrak (7501) dan Ibn Hibban (6096)

Oleh yang demikian penggunaan tangkal atau jampi dengan niat untuk meningkatkan dan melariskan jualan adalah suatu tindakan yang  yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ini kerana dalam Islam, melakukan perkara seperti ini adalah dianggap sebagai syirik, yang merupakan salah satu dosa besar yang ditegah  oleh syara’.

Dalam Islam kita dituntut untuk menghindari amalan seperti ini dan menggantikannya dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT. Perniagaan yang dijalankan mematuhi nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam akan dirahmati dan diberkati  Allah SWT.

Dalam isu ini, kami katakan hendaklah saudara menjauhi pekerjaan di tempat-tempat yang melibatkan amalan-amalan yang bertentangan dengan ketentuan syara’. Tujuan utamanya adalah memastikan bahawa pendapatan saudara adalah bersumberkan dari sumber yang halal serta mendapat keberkatan dari Allah SWT. Ini merupakan  langkah penting dalam memastikan bahawa saudara menjalani kehidupan yang dipenuhi dengan rezeki yang halal dan diberkati.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Diriwayatkan daripada  Nu’man bin Basyir R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas, sedangkan antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar. Perkara itu tidak diketahui oleh ramai orang. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang samar-samar itu bererti dia telah menyelamatkan agama dan maruah dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)

Justeru, kami menasihati supaya sentiasa berhati-hati dalam memilih tempat kerja dan menjadikan ketetapan-ketetapan syara’ sebagai panduan utama dalam setiap keputusan. Dengan cara ini, saudara akan dapat meraih kejayaan  dan memperoleh keredhaan  Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.

Semoga penjelasan ini memberikan kita kefahaman tentang syirik dan lebih berhati-hati dalam tingkah laku kita supaya tidak tergolong dalam golongan yang mensyirikkan Allah SWT. Akhir kalam kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelaris

Diakses pada 4 September 2023

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply