Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Untuk mendapat perlindungan dari fitnah dajjal laknatullah, adakah memadai untuk membaca 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir? mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab (hlm. 236-237) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.
- Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
- Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
- Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
- Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).
Antara ciri-ciri Dajjal adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…
Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…
Riwayat Muslim (7550)
Ibn al-Athir berkata: “Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening.” (Lihat Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203)
Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.
Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.
Cara Berlindung Dari Fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”.
Riwayat Muslim (1342) , Abu Dawud (4323) dan Ahmad (6/449)
Hal ini kerana, Imam al-Suyuti mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/403)
Imam al-Nawawi juga berkata: Ada yang menyebut bahawa hal demikian adalah kerana pada awal surah tersebut, terdapat beberapa ayat tentang kekuasaan Allah. Sesiapa yang mentadabburnya (membaca, memahami makna dan menghayatinya), maka dia tidak akan terpengaruh oleh fitnah Dajjal. Begitu juga pada akhir surahnya. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 4/477)
Dalam riwayat lain, juga daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنَ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir surah al-Kahfi, maka dia akan terlindung dari fitnah Dajjal.”
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10720) dan Ahmad (27516)
Al-Munawi berkata: Yakni, sesiapa yang membaca dan memahami maknanya, maka dia akan terhindar daripada fitnah Dajjal. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/199)
Berkenaan permulaan sepuluh ayat terakhir ( أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَن يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِن دُونِي أَوْلِيَاءَ), Al-Tibi berkata: Ia merupakan satu pemberitahuan tentang satu masa di mana akan keluar pada akhir zaman orang yang mendakwa tentang ketuhanan sama dirinya sendiri atau dimaksudkan dengan orang yang serupa dengannya pada perbuatannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/199)
Antara kandungan surah al-Kahfi adalah:
- Gambaran tentang al-Kitab al-Karim, bahawa ia adalah kitab yang benar, tidak ada kelemahan (kecacatan) di dalamnya. Al-Quran datang untuk memberikan berita gembira dan peringatan.
- Apa yang ada di muka bumi ini adalah merupakan perhiasan baginya. Allah SWT telah menciptakan setiap kejadian bagi menguji manusia dan melihat bagaimana manusia memanfaatkannya.
- Apa yang terjadi dalam kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) tidaklah besar jika dibandingkan dengan apa yang ada dalam setiap kerajaan langit dan bumi.
- Keterangan tentang seksaan dan hukuman yang diterima oleh orang kafir pada hari Kiamat nanti.
- Perumpamaan yang jelas tentang keadaan kaum mukminin yang fakir dan kaum musyrikin yang kaya.
- Akan diperlihatkannya tentang catatan amal seseorang kepada Allah SWT pada hari akhirat nanti, dan akan larilah orang yang derhaka kepada Allah SWT.
- Menceritakan permusuhan antara Iblis dengan Nabi Adam AS dan anak-anaknya.
- Kisah Nabi Nabi Musa AS dan Khidir AS.
- Kisah Zulqarnain dengan tembok Ya’juj dan Ma’juj, dan kisah bagaimana Zulqarnain membina tembok untuk menghalang Ya’juj dan Ma’juj melakukan kerosakan dunia.
- Gambaran tentang amalan musyrik adalah sesat dan akan sia-sia di akhirat kelak.
- Nikmat kesenangan yang akan diperoleh oleh orang yang beriman di akhirat kelak.
- Ilmu Allah SWT tidak akan habis. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4196)
Selain dengan membaca dan mentadabbur 10 ayat terawal surah al-Kahfi, kita juga dituntut untuk berdoa berlindung daripada fitnah Dajjal. Rasulullah SAW mengajar kita membaca doa berlindung daripada fitnah Dajjal selepas tahiyyat akhir:
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Riwayat Muslim (588)
Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)
Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)
Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)
Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut: “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa selain menjaga dan mentadabburi 10 ayat untuk dilindungi dari fitnah dajjal, kita juga dituntut:
- Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
- Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
- Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
- Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
- Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
- Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
- Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.
Selain itu, kita juga dituntut untuk sentiasa berdoa berlindung dengan fitnah dajjal setiap kali sebelum memberi salam tahiyyat akhir, iaitu dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445