Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam beberapa bulan lagi, saya akan pencen dan menjadi pesara. Saya selalu memikirkan bagaimana sebaiknya dalam mengisi masa persaraan saya bersama isteri dan keluarga.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mengucapkan tahniah kerana saudara telah melalui tempoh alam pekerjaan dengan jayanya dan anda juga telah tuaikan hasilnya. Sudah tentu anda mempunyai banyak pengalaman dan liku-liku kehidupan yang boleh dilihat semula untuk terus mmeperbaiki kehidupan yang lebih baik pada masa-masa yang mendatang.

Keduanya, dalam Islam tiada istilah persaraan kerana hidup mesti diteruskan. Cumanya, fasa ini berbeza dengan fasa ketika anda di alam pekerjaan secara rasmi. Justeru, gunakanlah sambungan masa yang ada dengan cara yang berbeza tetapi sentiasa menapak ke hadapan.

Ketiga, kami syorkan beberapa perkara dalam membuat planning dan kehidupan masa hadapan. Antaranya:

  • Pastikan amalan dan perintah Tuhan yang wajib ke atas anda disempurnakan dengan sebaik mungkin. Contohnya, jika anda belum lagi mengerjakan ibadat haji, maka fikirlah secara serius untuk melaksanakan ibadat haji.
  • Jika sekiranya ada lebihan duit sedikit, maka boleh melaksanakan ibadah umrah terlebih dahulu sebagai mukaddimah persaraan yang kita akan hadapi.
  • Apa-apa ibadat qadha’ seperti solat dan zakat mahu pun puasa hendaklah di selesaikan terlebih dahulu agar kita menemui Tuhan kita dalam keadaan selamat tanpa sebarang hutang.
  • Jika memperolehi KWSP maka, zakatlah dengan segera kerana ia merupakan tanggungan dan kewajipan kepada kita. Ini fatwa yang dikemukakan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
  • Selesaikan segala hutang-hutang dalam usia yang senja ini serta tekad untuk bebaskan segala hutang dan tidak lagi membina hutang-hutang yang baru.
  • Ubah gaya kehidupan untuk banyakkan kaki melangkah ke masjid, jadilah member dan ahli jemaah masjid yang tetap.
  • Bina hubungan yang akrab dengan jiran dan rakan taulan dan mungkin seminggu sekali atau dua kali bersantai dengan mengeteh di tempat yang sesuai dengan mengutamakan ibadat solat.
  • Sudah sampai membina hubungan kekeluargaan dengan lebih erat lagi. Wujudkan gathering keluarga serta sambungkan silaturrahim kerana ia sudah tentu akan memberi hubungan yang akrab dan lebih mesra dengan kaum keluarga.
  • Wakafkan setiap hari sejuzuk daripada masa untuk membaca al-Quran sehingga khatam.
  • Jinakkan diri ke majlis halaqah ilmu sama ada harian atau mingguan kerana ia membawa sebuah kehidupan yang baru.
  • Jika ada rezeki yang lebih, sertakan diri dengan NGO kemanusiaan untuk pergi melihat dunia ketiga yang susah dan sukar dalam meniti kehidupan untuk diberi bantuan. Ini sudah tentu akan menginsafkan seseorang.
  • Adakan waktu untuk menziarahi orang sakit, kubur dan rakan taulan yang lama yang sudah tidak dihubungi kerana ia membawa kepada ingat-mengingat kesudahan kita.
  • Banyakkan zikrullah, istighfar, selawat atas Nabi SAW, bertaubat dan lain-lain.

Akhir kalam, saya doakan semoga hidup kita baik di dunia dan lebih baik di akhirat kelak. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply