Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah makan babi peliharaan diperbolehkan dalam Islam? Ini kerana ada sebahagian orang beranggapan daging babi peliharaan boleh sahaja dimakan sebagaimana haiwan ternakan yang lain. Mohon nasihat dan penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’ Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-An‘am: 145)
Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.
Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).
Bukan itu sahaja, jual beli babi juga termasuk dalam perkara yang tidak dibenarkan. Ini kerana Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.
Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’”
Riwayat al-Bukhari (2236)
Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menghalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).
Maka, jelaslah bahawa larangan memakan daging babi ini sudah sudah ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan menjadi ketetapan dalam Islam. Atas sebab apa pun, makan daging babi tetap tidak dibenarkan sama ada peliharaan ataupun tidak.
Namun di sana terdapat keadaan atau faktor yang membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang dilarang, termasuklah memakan daging babi — tidak kira babi liar mahupun peliharaan. Syeikh al-Sa‘di ketika mensyarahkan surah al-An‘am, ayat 145 di atas, menjelaskan bahawa perkara-perkara yang diharamkan ini meskipun ia diharamkan, akan tetapi bagi sesiapa yang dalam keadaan terpaksa iaitu adanya keperluan mendesak atau darurat untuk makan sesuatu daripadanya, di mana dia tidak lagi memiliki sesuatu yang halal (yang boleh dimakan), dan dia khuatir dirinya akan binasa (mati). Sedangkan dia tidak ingin memakannya jika bukan dalam keadaan terpaksa atau darurat, dan dia juga tidak melampaui batasan dengan makan melebihi sekadar apa yang diperlukan (untuknya terus hidup). Maka, Allah memaafkan sesiapa yang berada dalam situasi atau keadaan tersebut. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/277)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pengharaman memakan daging babi dan bahagian-bahagiannya yang lain adalah berdasarkan kepada nas al-Quran dan dalil-dalil yang lain, tanpa membezakannya daripada jenis liar mahupun peliharaan. Kesemuanya adalah diharamkan untuk dimakan, bahkan turut diharamkan untuk berjual beli dengannya.
Bukan itu sahaja, sekalipun para ulama berselisih pendapat mengenai kenajisan babi sama ada ia tergolong dalam kategori najis mutawassitah ataupun najis mughallazah, tetapi mereka tidak menafikan kenajisannya. Justeru, bagaimana mungkin kita dibenarkan untuk memakan sesuatu yang sememangnya dihukumkan sebagai najis ketika hidupnya lagi?! Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #852 Khilaf Ulama Berkenaan Cara Membersihkan Jilatan Babi.[1]
Tambahan lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa daging babi adalah tidak elok untuk dimakan kerana berkemungkinan memberi mudarat kepada pemakannya seperti risiko jangkitan parasit dan lain-lain. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #34: Sebab Daging Babi Diharamkan untuk Dimakan.[2] Justeru, perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/852-khilaf-ulama-berkenaan-cara-membersihkan-jilatan-babi/. Diakses pada 6 September 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/34-sebab-daging-babi-diharamkan-untuk-dimakan/. Diakses pada 6 September 2023.
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445