Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah status daging yang sudah busuk? Adakah ia tetap dikira sebagai suci atau dianggap sebagai najis sehingga perlu dibersihkan dan disucikan tempat penyimpanannya dan bahan-bahan lain yang menyentuhnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tidak dapat dinafikan daging yang disimpan lama boleh sahaja menjadi busuk atau rosak. Hal ini kerana sebahagian orang mungkin membeli daging terus dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan dalam peti sejuk, kemudian digunakan dan dimasak sedikit-sedikit. Kami nyatakan di sini terlebih dahulu, beberapa tanda-tanda daging yang sudah membusuk atau rosak:
Daging Mengering. Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengesyorkan bahawa mana-mana daging diproses tidak lebih dari dua hari selepas pembelian. Tiada had berapa lama daging boleh disimpan dengan selamat di dalam peti sejuk beku. Namun, daging yang telah lama dibekukan cenderung menjadi kering.
Melekit dan Berlendir. Tekstur daging adalah penting untuk diperhatikan. Ciri-ciri daging yang tidak sihat ialah permukaannya mula melekit dan berlendir. Sangat tidak digalakkan untuk makan daging jika anda melihat perubahan pada teksturnya.
Berbau. Jika daging yang anda simpan mula mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, buang segera dan jangan cuba memakannya. Hal ini kerana, ini adalah tanda daging busuk. Makan daging busuk boleh meningkatkan risiko mengalami gangguan sistem penghadaman.
Berwarna Pucat. Warna keabu-abuan tidak selalu bermakna daging lembu telah rosak. Walaupun begitu, anda masih perlu berhati-hati jika daging lembu berwarna pucat. Daging lembu boleh berubah warna kerana metmyoglobin,[1] tindak balas kimia yang berlaku apabila mioglobin dalam daging terdedah kepada oksigen. Menurut jurnal Microorganisms, keadaan ini boleh meningkatkan kejadian pembusukan.
Kehitaman. Daging hitam di dalam peti sejuk boleh menjadi tanda rosak. Buang daging dengan segera kerana ia boleh berisiko menyebabkan keracunan makanan jika ia masih dimakan.[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kebanyakan ulama berpendapat, daging yang sudah busuk tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis, tidak kira daging ayam, daging kambing, daging lembu dan daging haiwan lainnya. Meskipun warna dan bau daging tersebut sudah berubah, daging tersebut tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Namun, ada juga yang berpendapat, ia dianggap sebagai najis. Akan tetapi pendapat ini adalah syaz dan tersangat lemah.
Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa daging yang sudah rosak dan busuk dihukumkan sebagai suci (dan bukannya najis) mengikut pendapat mazhab (al-Syafi‘i). Akan tetapi ada satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang menyatakan bahawa daging busuk itu dikira sebagai najis, sebagaimana dinukilkan oleh al-Syasyi dan pengarang al-Bayan dalam bab al-At‘imah (iaitu bab yang menjelaskan mengenai makanan). Menurut Imam al-Nawawi, pendapat ini adalah syaz dan tersangat lemah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556).
Bahkan sebahagian ulama membolehkan untuk memakan daging yang sudah busuk kerana ia adalah suci. Mereka mengatakan bahawa boleh untuk memakan daging yang sudah busuk tetapi hukumnya adalah makruh, dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan pemakannya. Sekiranya ia membahayakan atau memudaratkan pemakannya, maka hukumnya adalah haram.
Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam I‘anah al-Talibin (2/403) bahawa makruh untuk memakan ikan yang sudah busuk, iaitu yang sudah berubah menjadi busuk. Hukum makruh ini adalah jika ia tidak membahayakan, namun jika membahayakan atau terdapatnya mudarat (kepada pemakannya) maka hukumnya adalah haram. Hal ini sebagaimana juga dihukumkan sebagai makruh untuk memakan daging selain ikan yang sudah busuk.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging yang sudah busuk atau rosak, tidak kira daging ayam, ikan, lembu dan lain-lain daripada haiwan yang halal dimakan adalah tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis, sekalipun ia mengeluarkan bau busuk dan tidak menyenangkan.
Hal ini kerana sesuatu yang berbau busuk atau tidak menyenangkan tidak semestinya ia dikira sebagai najis atau menjadi najis. Begitu juga sesuatu yang memudaratkan yang haram dimakan disebabkan kemudaratan yang terhasil daripadanya tidak memestikan ia turut dihukumkan sebagai najis. Apatah lagi pada asalnya makanan atau daging yang halal dimakan itu dihukumkan sebagai suci — yakni bukan najis. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).
Bahkan sebahagian ulama membolehkan tetapi makruh untuk memakan daging busuk jika tidak memudaratkan, atas dasar ia tetap dikira sebagai suci dan bukannya najis.
Oleh kerana itu, jika terdapat daging yang sudah busuk bercampur dengan bahan makanan lain dan disimpan dalam satu tempat penyimpanan yang sama, maka tempat penyimpanan dan bahan makanan yang lain tidak wajib disucikan. Hal ini kerana daging yang sudah busuk tersebut hukumnya tetap suci sehingga tidak menyebabkan najis pada bahan makanan yang lain mahupun tempat penyimpanannya.
Namun, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa sekalipun pada dasarnya tidak wajib membersihkan atau menyucikan tempat penyimpanan daging busuk atau tempat yang terkenanya sehingga meninggalkan bau yang kurang menyenangkan, akan tetapi sebagai seorang Muslim sebaik-baiknya bersihkanlah tempat tersebut hingga sekurang-kurangnya hilang bau yang tidak menyenangkan itu. Hal ini kerana ia lebih dekat dengan sifat seorang Muslim itu sendiri yang sukakan keindahan dan kebersihan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)
[1] Metmyoglobin adalah bentuk teroksida dari hemeprotein pembawa oksigen yang dikenali sebagai mioglobin. Metmyoglobin adalah penyebab warna coklat khas pada daging yang berlaku semasa daging itu menjadi tua. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Metmyoglobin. Diakses pada 5 September 2023).
[2] Lihat https://www.klikdokter.com/info-sehat/kesehatan-umum/perlu-hati-hati-ini-tanda-daging-sudah-tak-segar-dan-berbahaya. Diakses pada 5 September 2023.
Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445