Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW mengajar anak dan menantunya doa ketika hampir tidur dengan zikrullah yang katanya lebih baik daripada mendapat khadam? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapannya adalah benar, bahawa Nabi SAW pernah mengajarkan kepada anak dan menantunya, satu doa dan zikrullah yang dibaca ketika hampir tidur. Sesiapa yang mengamalkan zikir tersebut adalah lebih baik daripada mendapat khadam. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali R.A bahawa:

أَنَّ فَاطِمَةَ عَلَيْهَا السَّلاَمُ، شَكَتْ مَا تَلْقَى مِنْ أَثَرِ الرَّحَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَانْطَلَقَتْ فَلَمْ تَجِدْهُ، فَوَجَدَتْ عَائِشَةَ فَأَخْبَرَتْهَا. فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ بِمَجِيءِ فَاطِمَةَ، فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْنَا وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْتُ لِأَقُومَ فَقَالَ: عَلَى مَكَانِكُمَا. فَقَعَدَ بَيْنَنَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى صَدْرِي وَقَالَ: أَلاَ أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَانِي؟ إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا تُكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، وَتُسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَتَحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

Maksudnya: “Fatimah A.S mengeluh kerana kesan (luka dan penat menggunakan) alat pengisar yang ada pada dirinya. Lalu, ada tawanan perang yang datang kepada Nabi SAW (sebagai tahanan). Beliau pun berangkat namun tidak mendapati Baginda SAW. Beliau mendapati Aisyah, lalu mengkhabarkan kepadanya. Ketika Nabi SAW datang, Aisyah mengkhabarkan kepada Baginda tentang kedatangan Fatimah. Nabi SAW datang kepada kami dan kami telah bersedia di tempat tidur kami (untuk tidur), maka aku hendak bangun, namun Baginda bersabda: ‘Tetaplah di tempat kamu berdua.’ Baginda duduk di antara kami berdua sehinggakan aku dapat merasakan kedua kaki Baginda yang sejuk di dadaku. Baginda bersabda: ‘Mahukah kamu berdua aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu telah bersedia untuk tidur, bertakbirlah (Allahu Akbar) sebanyak 34 kali, bertasbihlah (Subhanallah) sebanyak 33 kali, dan ucapkanlah hamdalah (Alhamdulillah) sebanyak 33 kali kerana ia lebih baik bagi kamu berdua daripada seorang pembantu.’

Riwayat al-Bukhari (3705)

Sesungguhnya, arahan Nabi SAW ini adalah antara yang sepatutnya kita amalkan, tetapi ramai di kalangan kita meninggalkan amalan tersebut. Maka, rugilah kita bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat. Jadikanlah amalan ini sebagai kelaziman bagi kita. Amin ya rabbal ‘alamin.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply