Soalan:
Assalamualaikum tuan, maaf mengganggu,saya hendak bertanya, Jika seseorang sakit seperti patah tulang yang menyebabkan dia kena balut tangan untuk sementara sebelum balutan dibuka di sebahagian besar tangan hingga siku(hanya jari2 sahaja yg tidak dibalut) .Perlukah dia mengambil wuduk untuk bahagian lain yang boleh dan bertayammum pada bahagian yang berbalut ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).”
(Surah al-Maidah: 6)
Firman Allah SWT lagi :
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Haj: 78)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini ulama dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e, dan Hanbali bersepakat bahawa adalah dibolehkan bagi pesakit untuk menyapu atas balutan yang tercedera pada anggota badan ketika melakukan wuduk, mandi wajib, atau bertayammum. Ini adalah kerana hukum syara’ membenarkan penutupan tempat yang tercedera tersebut bagi merawat kecederaan tersebut. Oleh itu, pesakit dibenarkan untuk menyapu bahagian tersebut semasa berwuduk.
Syarat Balutan Yang Sah
al-Mawardi menyatakan bahawa: “الْجَبَائِرُ”(balutan) dipakai ketika ada patah pada bahagian badan, manakala “اللُّصُوقُ”(plaster) ditampal apabila terdapat luka padanya. Oleh itu, jika sebahagian anggota badannya patah, maka dia perlu menutupinya dengan “الْجَبَائِرُ”.Jika pesakit boleh membuka balutan itu ketika dia ingin bersuci dan membolehkan air sampai ke bahagian yang dibalut itu, maka dia boleh ikat balutan tersebut sebagaimana yang dikehendaki.
Namun sekiranya Jika dia tidak mampu membukanya ketika bersuci, kerana takut akan memudaratkan lagi penyakitnya,maka dia hendaklah memenuhi dua syarat supaya boleh melakukan “مَسْحُ” (sapuan) di atasnya dengan sah. Antara syaratnya ialah seperti berikut:
- Pesakit hendaklah mengekalkan balutan itu ketika dalam keadaan suci. Jika dia dalam keadaan “مُحْدِثًا” (tidak suci), maka “مَسْحُ” (sapuan) tidak sah atas balutan tersebut, seperti dalam kes “خُفَّيْنِ” (stokin) yang tidak dibenarkan melakukan “مَسْحُ” (sapuan) ke atasnya kecuali jika seseorang memakainya dalam keadaan suci.
- Pembalut anggota yang patah yang juga dikenali sebagai “شَدُّ الْجَبَائِرِ,” ia hendaklah tidak boleh dibalut melebihi daripada keperluan, iaitu bahagian yang mengandungi anggota yang patah atau yang perlu dirawat dan sedikit lebihan balutan dengan kadar yang diperlukan sahaja. (Lihat al-Hawi al-Kabir,1/278)
Dalam isu ini Kami katakan di sini ada 3 cara yang diutarakan pendapat oleh para ulama dan fuqaha.
- Pandangan pertama iaitu pandangan mazhab Syafi’i yang masyhur iaitu hendaklah seseorang itu mengambil wudhuk dengan sempurna dahulu sebelum dilakukan proses menyimen tulang yang patah. Kemudian, selepas itu, bolehlah dia sapu ke atas anggota tersebut setiap kali berwudhuk.
- Pandangan Kedua: Seseorang itu hendaklah melakukan seperti di atas dan setiap kali untuk membasuh kepada tangan yang disimen, hendaklah diganti dengan tayammum dan kemudian teruskan membasuh baki wudhuk seterusnya.
- Pandangan ketiga: dengan cara berpindah kepada tayammum tanpa perlu berwudhuk. Ini kerana, hukum tayammum sendiri telah menggantikan tempat wudhuk tersebut. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi:
إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ أَوْ يَعْصِبَ عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِر جَسَدِهِ
Maksudnya: “Dia sepatutnya bertayammum sahaja dan membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapunya dan basuh seluruh badannya.”
Riwayat Abu Daud (336)
Hal yang demikian juga selaras dengan kaedah fiqhiyyah:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ
Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”
Sebagai kesimpulannya, kami ingin nyatakan bahawa pesakit boleh melakukan tayammum pada anggota yang dibalut, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Namun, untuk anggota yang tidak dibalut, pesakit tetap perlu menggunakan air secara normal untuk melakukan wuduk seperti yang diajar dalam syariat Islam. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”
Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)
Semoga dengan penjelasan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahua’lam
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445