Soalan:

Assalamualaikum Datuk bolehkah kita membakar bahan wangian seperti bukhoor di dalam masjid atau surau adakah itu sunnah sebab saya tidak  pernah lihat perkara begini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Mu’jam al-Lughah al-’Arabiah al-Mua’siroh Buhkhoor ialah apa yang dibakar daripadanya adalah kayu gaharu dan seumpamanya, ia mengeluarkan bau yang harum apabila dibakar. Harumannya dapat dirasakan apabila kayu gaharu dan seumpamanya itu dibakar. (Lihat Mu’jam al-Lughah al-’Arabiah, 1/165)

Amalan membakar bukhoor, meskipun mungkin dianggap agak asing dalam kalangan sesetengah masyarakat Melayu, sebenarnya telah menjadi satu tradisi yang dipegang teguh oleh masyarakat Arab. Mereka menggunakannya sebagai sumber pewangi di dalam rumah atau masjid. Bukhoor adalah sebuah wangi yang khas dalam budaya Arab, yang digunakan untuk memberikan suasana yang tenang dan menyenangkan serta menghapuskan bau yang tidak diingini. Oleh itu, walaupun ia mungkin kelihatan tidak biasa bagi sesetengah pihak, amalan membakar bukhoor mempunyai  sejarah dan makna yang mendalam dalam budaya dan agama bagi orang  Arab.

Penggunaan bukhoor adalah sesuatu yang sudah dikenali oleh masyarakat Arab sebelum dan selepas Islam, dan telah disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar bahawa beliau menyatakan:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا اسْتَجْمَرَ اسْتَجْمَرَ بِالْأَلُوَّةِ، غَيْرَ مُطَرَّاةٍ وَبِكَافُورٍ، يَطْرَحُهُ مَعَ الْأَلُوَّةِ ثُمَّ قَالَ هَكَذَا كَانَ يَسْتَجْمِرُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Ibnu Umar apabila ingin berwangi maka dia akan berwangi dengan kemenyan, tanpa mencampurkan dengan bahan lain, atau berwangi dengan kafur, atau mencampurkan kafur dan kemenyan. Dia berkata: “Beginilah Rasulullah SAW berwangi.”

Riwayat Muslim (2254)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  bahawa antara tindakan wajib yang perlu kita lakukan terhadap rumah-rumah Allah adalah menjaga kebersihannya daripada segala bentuk kotoran dan najis. Selain itu, kita perlu menguruskannya  dengan rapi, serta membersihkan setiap unsur yang boleh mengotorkan tempat suci ini, walaupun hanya sekecil mana pun kesannya. Selain daripada itu, adalah sesuatu yang sangat dianjurkan untuk mengharumkan masjid dengan menggunakan kayu gaharu atau bahan wangi-wangian yang lain, yang dapat memberikan bau yang menyegarkan . Ini adalah kerana masjid mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting,dengan tindakan ini ia dapat meningkatkan daya tarik masjid, dan menjadikannya tempat yang lebih dihargai oleh orang ramai, serta menambahkan keindahannya.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

 أمَرَ رسولُ اللهِ ﷺ بِبِناءِ المساجِدِ في الدُّورِ، وأنْ تُنظَّفَ وتُطَيَّبَ

Maksudnya: Rasulullah SAW memerintahkan untuk membangunkan masjid di tempat yang banyak rumahnya dan juga memerintahkan untuk membersihkan serta memberikan wangian padanya.

Riwayat Abu Daud(455), Tarmizi(594) dan Ibn Majah(758)

Al-Mulla Ali al-Qari menukikan dalam kitabnya Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih bahawa Ibn Hajar dalam isu ini beliau menyatakan: Mengharumkan masjid dengan bukhoor adalah disunatkan, berbeza dengan pendapat Malik yang menghukumkannya sebagai makruh. Begitu juga al-Sya’bi mengatakan perbuatan tersebut merupakan sunnah.(Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih,2/604)

Syaikh al-Albani menyatakan bahawa: Abdullah R.A mengharumkan masjid ketika Umar R.A duduk di atas mimbar, dan sebahagian dari salaf gemar mengharumkan masjid dengan za’faran (zafran) dan wangi-wangian.(Lihat Jami’ Turath, 8/15)

Justeru, kami ingin mengatakan bahawa penggunaan bukhoor di dalam masjid adalah satu amalan sunah yang diamalkan oleh para salaf, ia juga selaras dengan nas-nas hadith yang menganjurkan untuk mengharumkan masjid dengan wangi-wangian. Amalan ini bukan hanya menciptakan suasana yang menyenangkan, tetapi juga meneruskan tradisi yang telah lama diamalkan dalam budaya Islam sebagai salah satu cara menjaga dan menguruskan tempat ibadah yang suci.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply