Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kadang-kadang bila kita beli nasi berlaukan ayam seperti nasi ayam, ayamnya berbau busuk sebab ayam lama. Jadi, apakah hukum kita makan ayam tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memakan daging yang sudah busuk kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, dibolehkan untuk memakan daging yang sudah busuk tetapi hukumnya adalah makruh, dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan pemakannya. Sekiranya ia membahayakan atau memudaratkan pemakannya, maka hukumnya adalah haram.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan di dalam I‘anah al-Talibin (2/403) bahawa makruh untuk memakan ikan yang sudah busuk, iaitu yang sudah berubah menjadi busuk. Hukum makruh ini adalah jika ia tidak membahayakan, namun jika membahayakan atau terdapatnya mudarat (kepada pemakannya) maka hukumnya adalah haram. Hal ini sebagaimana juga dihukumkan sebagai makruh untuk memakan daging selain ikan yang sudah busuk.

Pendapat kedua, memakan daging yang sudah berbau atau busuk, tidak kira daging ayam, daging kambing, dan daging haiwan lainnya, hukumnya adalah haram, baik ia membahayakan pemakannya ataupun tidak. Ini sebagaimana disebutkan di dalam al-Hawi al-Kabir (15/147) bahawa:

وَأَكْلُ اللَّحْمِ إِذَا نَتِنَ يَحْرُمُ

Maksudnya: “Hukum memakan daging apabila ia sudah busuk adalah haram.

Dalil yang dijadikan sebagai asas perbincangan berkenaan memakan daging yang sudah busuk adalah hadith daripada riwayat Abu Tha‘labah al-Khusyani bahawa Nabi bersabda:

إِذَا رَمَيْتَ بِسَهْمِكَ فَغَابَ عَنْكَ فَأَدْرَكْتَهُ فَكُلْهُ مَا لَمْ يُنْتِنْ

Maksudnya: “Apabila engkau melepaskan anak panahmu, lalu haiwan yang diburu itu hilang dari pandanganmu, dan setelah itu dapat ditemukan, maka makanlah ia selama mana belum busuk.

Riwayat Muslim (1931); Abu Daud (2861) dan Ahmad (17779)

Al-San‘ani ketika mensyarahkan lafaz “فَكُلْهُ مَا لَمْ يُنْتِنْ” dalam hadith di atas menyatakan, maksudnya dengan berubahnya dengan cara mereput (dan mengeluarkan bau busuk) dan seumpamanya. Dikatakan bahawa larangan daripada memakan daging (haiwan buruan) yang sudah busuk adalah merujuk kepada hukumnya makruh tanzih dan bukannya haram. Demikianlah juga bagi seluruh daging dan makanan yang sudah busuk, dihukumkan sebagai makruh untuk memakannya dan bukannya haram melainkan dikhuatiri ia memberi mudarat. (Lihat al-Tahbir li Idhah Ma‘ani al-Taisir, 7/10).

Begitu juga Abdullah al-Bassam menjelaskan lafaz “daging/haiwan buruan yang sudah busuk” dalam hadith di atas adalah merujuk kepada apa yang sudah berubah rasanya, dan ia tidak akan menjadi begitu (iaitu mengeluarkan bau busuk) melainkan selepas ia rosak (tidak lagi elok). Apabila ia sudah rosak, maka hilanglah manfaatnya dan memudaratkan. Jadi, di dalamnya mengandungi dalil yang menunjukkan kepada makruh memakan daging busuk. Tambahan lagi, turut dinyatakan di dalam Syarh al-Iqna‘ bahawa makruh memakan daging yang busuk, dan pendapat ini disebutkan oleh sekelompok ulama. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 7/44).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan (tidak mengapa) tetapi makruh hukumnya untuk memakan daging ayam yang busuk dan begitu juga dengan daging-daging halal lain yang sudah busuk, dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan pemakannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Sekiranya ia membahayakan atau memudaratkan pemakannya, maka hukumnya adalah haram. Ini selari dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Tambahan pula, sebahagian ulama membolehkan dan menghukumkan sebagai makruh untuk memakan daging busuk jika tidak memudaratkan, atas dasar ia tetap dikira sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa daging yang sudah rosak dan busuk dihukumkan sebagai suci (dan bukannya najis) mengikut pendapat mazhab (al-Syafi‘i).  Akan tetapi ada satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang menyatakan bahawa daging busuk itu dikira sebagai najis. Namun, pendapat tersebut adalah syaz dan tersangat lemah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445

Leave a Reply