Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang pemakaian baju yang bertulisan “Every religion has its bible, every movement has its manifesto, this is OURS”. Mohon pencerahan Ustaz, terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Religion merupakan perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud agama. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia didefinisikan sebagai kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan, dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, atau kepercayaan pada yang Maha Kuasa. Hal ini meliputi kesemua agama yang mempercayai bahawa adanya Tuhan yang berkuasa, termasuklah Islam, Buddha, Kristian dan lain-lain. Di dalam bahasa Arab pula, religion disebutkan sebagai al-Din (الدِّينُ) yang bermaksud ketaatan.

Bible pula secara khususnya merujuk kepada kitab agama Kristian, manakala secara umumnya menunjukkan kepada mana-mana kitab suci bagi setiap agama.[1]

Adapun, ayat yang disebutkan dalam persoalan di atas “Every religion has its bible” merujuk kepada maksud yang lebih umum, iaitu “Setiap agama mempunyai kitab suci mereka yang tersendiri.” Ia merupakan slogan yang digunakan oleh sebuah syarikat kasut terkemuka di Malaysia sebagai suatu bentuk tarikan untuk memperkenalkan dan mengangkat identiti jenama mereka serta produk yang mereka niagakan.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami datangkan terlebih dahulu beberapa hujjah bahawa Islam sendiri mengakui kewujudan kitab lain selain al-Quran. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ ‎﴿٣﴾‏ مِن قَبْلُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ الْفُرْقَانَ ۗ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ ‎

Maksudnya: “Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).”

(Surah Ali ‘Imran: 3-4)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa, Allah SWT telah menurunkan Taurat kepada Musa bin Imran A.S, dan Injil kepada Isa putera Maryam A.S sebagai petunjuk bagi manusia pada zaman mereka, sebelum menurunkan Al-Quran. Kemudian Allah SWT menurunkan al-Quran yang membezakan antara petunjuk dan kesesatan, kebenaran dan kebatilan, penyelewengan dan kebenaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/3)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan satu bab tentang beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT, katanya: “”

Tidak dinafikan bahawa setiap agama mempunyai kitab suci mereka yang tersendiri yang dijadikan sebagai sandaran dan sumber utama amalan dan ibadah dalam kehidupan seharian mereka. Akan tetapi, umat Islam wajib menafikan kebenaran agama lain selain daripada agama Islam. Firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW:

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ‎﴿١﴾‏ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ‎﴿٢﴾‏ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ‎﴿٣﴾‏ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ‎﴿٤﴾‏ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ‎﴿٥﴾‏ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 1-6)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menzahirkan bahawa Baginda berlepas diri daripada amal perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, hal ini sebagai tanda pengingkaran terhadap perkara tersebut. Ini juga bagi menzahirkan kewajiban untuk menjauhi perbuatan mereka itu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/157)

Allah SWT juga telah menyebutkan dengan jelas bahawa satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT adalah agama Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan firman Allah SWT ‘وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah “Aku redha kamu pasrah kepada perintah-Ku, dan tunduk kepada ketaatan-Ku atas apa yang disyariatkan kepada kamu semua, berupa batas-batas-Nya, kewajiban-kewajiban-Nya dan tanda-tanda-Nya.” Dan firman Allah SWT ‘دِينًا’ (Agama bagimu), maksudnya adalah “Ketaatan kamu semua kepada-Ku.”

Jika seseorang berkata, “Tidakkah Allah SWT hanya meredhai Islam bagi Aaa-hamba-Nya kecuali selepas Dia menurunkan ayat ini?” Katakanlah, “Allah SWT sentiasa mereredhai bagi makhluk-Nya Islam sebagai agama, tetapi Dia masih memurnikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dalam darjat serta martabat Islam, darjat demi darjat, martabat demi martabat, dan keadaan demi keadaan, sehingga sempurna bagi mereka syariat-syariat dan tanda-tanda-Nya, dan mencapai darjat dan martabat yang paling tinggi.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/331)

Ini juga dikuatkan lagi dengan ayat-ayat yang lain, sepertimana dalam firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam.”

(Surah Ali ‘Imran: 19)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa, Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/25)

Dan juga firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

(Surah Ali ‘Imran: 85)

Imam al-Sobuni mengatakan, sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Rasulullah SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/137)

Berbalik kepada isu utama yang diajukan, kami melihat bahawa ayat yang ditulis di atas baju tersebut mempunyai unsur pengakuan bahawa bagi setiap agama itu kitab suci mereka yang tersendiri, dan kemudiannya mengatakan bahawa abagi setiap gerakan atau parti itu manifesto mereka yang tersendiri. Dan ia diakhiri dengan kata-kata “And this is OURS” yang bermaksud “Dan ini pula kami punya” bagi merujuk kepada produk yang dipromosikan oleh syarikat tersebut.

Pada dasarnya, kami fahami bahawa syarikat tersebut hanya menggunakan slogan ini bagi menzahirkan bahawa produk mereka itu adalah keistimewaan mereka sahaja, dan ianya tidak terdapat pada syarikat lain. Sebagaimana sesebuah kitab suci itu hanya khusus bagi agama tertentu dan tidak mungkin berkongsi satu kitab yang sama kerana perbezaan kepercayaan, dan juga tidak mungkin bagi sesebuah gerakan atau parti membawa satu perjuangan dan manifesto yang sama.

Maka hukumnya adalah harus dan tidak menjadi masalah jika seseorang itu memakai baju yang mempunyai tulisan tersebut, dengan syarat:

  • Tidak mempunyai kepercayaan bahawa setiap agama itu benar dan setiap kitab suci itu boleh diikuti, kecuali agama Islam dan al-Quran.
  • Menzahirkan penafian terhadap selain daripada Islam, kerana hanya Islam satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Meskipun begitu, sebaiknya untuk kita memilih pakaian yang selamat daripada sebarang keraguan atau spekulasi agar tidak timbulnya sebarang fitnah bahawa si pemakai mengakui kebenaran kitab suci agama lain. Islam sangat menitik berat ummatnya agar menjaga batasan syariat supaya tidak melakukan perkara yang melangkaui batasan agama seperti melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT serta melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada lembah kerosakan. Oleh itu, Rasulullah SAW melarang para sahabat untuk memakai sesuatu yang boleh menyerupai orang bukan Islam, seperti yang warid dalam hadith  daripada Ibnu Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani di dalam di dalam syarahnya menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian, tunggangan atau perilaku mereka maka dia adalah termasuk dari kalangan mereka. (Lihat Subul al-Salam, 2/646)

Jika pakaian yang menyerupai juga dilarang oleh Baginda SAW untuk ummat Islam pakai, maka lebih utama untuk dilarang jika pakaian tersebut mempunyai unsur pengiktirafan terhadap kesahihan agama lain.

Semoga dengan sedikit pencerahan ini, ummat Islam di Malaysia akan lebih cakna tentang isu pemakaian.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Bible. Disemak pada 6 Sept 2023.

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445

Leave a Reply