Soalan:

Salam Dr, saya nak tanya apakah hukum kalau kita gunakan kad kredit konvensional dengan niat untuk membuat bayaran bulanan pada masanya? Sebab caj riba hanya akan dikenakan jika terlepas tarikh. dan jika bayar pada masanya tiada riba yang akan dikenakan. Mohon bantuan Dr. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ Dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Surah Ali-Imran : 130)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Diriwayatkan daripada al-Sha’bi R.A berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.”

Riwayat al-Nasa’i (5105)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa amalan riba’ merupakan punca kepada penderitaan dan kesengsaraan bagi mereka yang amat memerlukan (harta) dan kesusahan hidup. (Lihat  Tafsir al-Maraghi, 2/926)

Menjawab bagi persoalan di atas kami takrifkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan kad kredit. Kad Kredit menurut Bank Negara Malaysia boleh didefinisikan sebagai merujuk instrumen pembayaran yang ditetapkan yang menunjukkan kemudahan kredit atau pembiayaan yang diberikan oleh pengeluar kad kepada pemegang kad dan apabila apa-apa jumlah kredit yang digunakan oleh pemegang kad masih belum diselesaikan sepenuhnya pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan, jumlah yang belum diselesaikan akan dikenakan faedah, keuntungan atau caj lain.[1]

Berdasarkan Resolusi No. 63 (1/7) di dalam persidangan Majma’ Fiqh al-Islami al-Duwali, mentakrifkan kad kredit sebagai satu dokumen diberikan oleh pengeluarnya (bank) kepada seseorang individu atau entiti (pemegang kad) dengan ikatan kontrak di antara mereka yang membolehkan pemegang kad membeli barang-barang atau perkhidmatan daripada penjual yang mengiktiraf kad tanpa perlu membuat pembayaran segera kerana jaminan pembayaran yang dibuat oleh pengeluar kad. Pembayaran dibuat melalui akaun  pengeluar kad (bank)  di mana selepas itu caj akan dikenakan ke atas pemegang kad pada selang waktu yang ditentukan. Sebahagian pengeluar mengenakan kadar faedah (riba) pada jumlah baki yang belum dilangsaikan selepas satu tempoh tertentu dari tarikh (hutang tersebut) yang dituntut manakala sebahagian pengeluar tidak mengenakan sebarang kadar faedah.[2]

Dalam isu ini kami  katakan sebarang urusan jual beli menggunakan kad kredit konvensional adalah dibenarkan, dengan syarat bahawa bayaran perlu dilakukan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Hal ini bertujuan untuk menghindari dari dikenakan faedah (interest). Seperti yang kita tahu, ia dianggap sebagai riba yang diharamkan dalam hukum syara’.

Justeru, sebagai umat islam hendaklah menjauhi segala urus niaga yang melibatkan riba kerana telah jelas dalam nas-nas al-Quran dan hadith tentang pengharamannya. Kami syorkan supaya bertukar kepada kad kredit islamik agar  dapat menghindari dari terjebak dengan riba.

Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[3]

Dikesempatan ini juga suka juga kami nasihati bahawa penting juga untuk diperhatikan bahawa setiap transaksi yang dilakukan perlu mematuhi prinsip-prinsip keadilan dalam perjanjian jual beli. Ini termasuk ketelusan dalam kadar faedah atau yuran yang mungkin dikenakan dalam transaksi tersebut.

Selain itu, dalam menjalankan urusan jual beli menggunakan kad kredit, penting bagi semua individu untuk memahami peraturan agama dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Yang demikian bagi memastikan transaksi tersebut berada dalam batasan yang dibenarkan oleh Islam

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

[1] https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/Kad+Kredit.pdf

Diakses pada 5 September 2023

[2] Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/2055.html

Diakses pada 5 September 2023

[3] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply