Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Rakan-rakan saya ada menganjurkan satu game, Fantasy Premier League di mana kami akan create team sendiri berdasarkan player-player yang ada dalam EPL. Bagi menyertai league ini, terdapat yuran penyertaan akan dikenakan sebanyak RM50. Di akhir season EPL, pemain yang mengumpul markah tertinggi akan menerima hadiah. Hadiah bagi pemenang-pemenang adalah dengan menggunakan yuran penyertaan tersebut. Jadi, adakah dibolehkan mengenakan caj yuran penyertaan tersebut? Adakah ia boleh dikira sebagai judi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan mengenai Fantasy Premier League (FPL). Ringkasnya, Fantasy Premier League atau FPL ialah permainan pengurus bola sepak di mana pemain membina pasukan pemain Liga Perdana mereka sendiri menggunakan bajet yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, FPL adalah permainan untuk pencinta bola sepak yang dimainkan dengan membina versi mereka sendiri, pasukan yang terdiri daripada pemain Liga Perdana. Pemain akan mencipta nama pasukan mereka sendiri, membeli dan mengatur pemain, untuk mereka strategi bagi mendapatkan mata sebanyak mungkin setiap minggu. Secara umumnya, pemain permainan diminta menjadi pengurus kelab bola sepak.

Cara bermain FPL dimulakan dengan mencipta akaun di fantasy.premierleague.com. Kemudian, anda boleh daftar masuk  menggunakan  alamat email  google anda, akaun Facebook atau Twitter. Anda juga boleh mengakses permainan FPL melalui aplikasi Liga Perdana yang boleh didapati secara percuma di Google Play Store atau App Store. Selepas berjaya  mendaftar masuk, pemain permainan akan diminta untuk mencipta pasukan dan memilih pemain bola sepak untuk pasukan mereka. Pemain akan diberi modal sebanyak £100 dan memilih 15 pemain yang terdiri daripada dua penjaga gol, lima pemain pertahanan, lima pemain tengah dan tiga penyerang. Untuk mula bermain, setiap pemain yang sudah mempunyai pasukan mesti mendaftar untuk liga yang dicipta oleh orang lain. Biasanya komuniti atau kumpulan rakan membuat liga mereka sendiri untuk mereka bermain.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu contoh-contoh/gambaran-gambaran pertandingan yang melibatkan yuran penyertaan sebagaimana yang difahami melalui kenyataan pengarang al-Fiqh al-Manhaji, di antaranya ialah:

Gambaran Pertama: Hadiah pertandingan ditaja oleh kerajaan atau orang lain. Ia tidak mengambil dari wang atau yuran peserta. Contohnya: “Sekiranya kamu berdua bertanding, aku akan memberi hadiah.”

Gambaran Kedua: Hadiah ditaja oleh salah seorang peserta yang bertanding. Contohnya: “Marilah bertanding denganku sekiranya kamu menang aku akan memberikan kamu hadiah dan sekira kamu kalah, kamu tidak perlu memberikanku hadiah.”

Gambaran Ketiga: Kesemua peserta membayar penyertaan dan bayaran itu akan dijadikan hadiah kepada pemenang.

Gambaran Keempat: Gambaran pertandingan ini sama seperti gambaran yang ketiga, namun terdapat muhallil (orang yang tidak dikenakan bayaran) dan muhallil itu diberikan hadiah yang serupa dengan peserta lain sekiranya ia menang.

Dari segi hukumnya, gambaran-gambaran di atas menunjukkan situasi yang berbeza dan gambaran yang ketiga terkandung di dalamnya unsur-unsur yang diharamkan iaitu perjudian (al-Maisir), manakala selebihnya pula diharuskan oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/156).

Bahkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali-37/2018 yang bertarikh: 12 September 2018/2 Muharam 1440 berkenaan “Fatwa Pertandingan dan Wang Pertandingan,” telah memutuskan bahawa:

Hukum pertandingan adalah harus sekiranya hadiah datang dari pihak ketiga (yang tidak menyertai pertandingan) dan yuran yang dibayar oleh peserta hanya digunakan untuk kepentingan peserta itu sendiri dengan nilai yang setara seperti untuk makan, minum dan kos pengurusan yang lain.

Namun semua pertandingan hendaklah tidak membawa kepada perkara-perkara yang haram atau meninggalkan kewajipan agama seperti pertandingan yang mendedahkan aurat, meninggalkan solat, memperbodohkan akal, menjatuhkan maruah, merosakkan moral, menimbulkan permusuhan, merosakkan alam sekitar dan seumpamanya.

Adapun penganjuran pertandingan yang membabitkan yuran ke atas peserta untuk dijadikan hadiah sama ada keseluruhan yuran atau sebahagiannya adalah haram kerana wujudnya elemen atau unsur perjudian.

Namun pertandingan yang membabitkan pertaruhan berbayar (yuran pertandingan) atau apa-apa nilai harta adalah diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Hendaklah tidak bergantung kepada nasib semata-mata yang tidak berasaskan kepada ilmu atau kemahiran yang diiktiraf syarak. Ini seperti pertandingan teka nombor, gores dan menang, pertandingan berat ikan yang dipancing, pertandingan teka pasukan bola yang menang, lempar dadu dan seumpamanya.
  2. Terdapat tidak kurang satu pertiga (1/3) dari peserta (muhallil) yang berkelayakan dan berdaya saing menyertai pertandingan tanpa dikenakan bayaran pertaruhan. Misalnya jika 30 pasukan bola sepak bertanding, 10 daripadanya hendaklah dikecualikan dari dikenakan yuran pertandingan.

Jika kedua-dua atau salah satu syarat di atas tidak dipenuhi, maka pertandingan tersebut adalah dilarang.[2]

Kemudian, berkenaan ganjaran atau hadiah dalam sesuatu pertandingan atau peraduan, terdapat satu garis panduan telah dikeluarkan, di mana di dalamnya dinyatakan:

  • Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.
  • Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta sama ada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.
  • Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang dikenakan untuk sms dan seumpamanya.
  • Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.
  • Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.
  • Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas. (Lihat Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, (terbitan JAKIM), hlm. 15).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa hadiah yang diambil daripada yuran penyertaan termasuklah yang berlegar sesama sendiri adalah tidak dibenarkan. Bahkan tindakan menjadikan/menggunakan wang penyertaan sebagai hadiah tidak menepati garis panduan ganjaran atau hadiah dalam sesuatu pertandingan atau peraduan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Hal ini kerana wujudnya elemen atau unsur perjudian di dalamnya.  Sedangkan perjudian diharamkan dalam syariat berdasarkan kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Namun, sekiranya hadiah kepada pemenang disediakan oleh pihak yang lain (pihak ketiga) dan bukannya daripada wang penyertaan atau wang yang dikumpulkan daripada para peserta, maka ia diharuskan dan tidak mengapa. Manakala yuran yang dibayar oleh peserta pula hanya digunakan untuk kepentingan peserta itu sendiri dengan nilai yang setara seperti untuk makan, minum dan kos pengurusan yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

[1] Lihat https://www.idntimes.com/sport/arena/yogama-wisnu-oktyandito/fantasy-premier-league-cara-bermain-sistem-poin?page=all. Diakses pada 6 September 2023.

[2] Lihat https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/94-fatwa-pertandingan-dan-wang-pertandingan. Diakses pada 6 September 2023.

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply