Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum penggunaan kosmetik yang mengandungi synthetic beeswax? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Definisi Synthetic Beeswax

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi dan pengenalan ringkas mengenai synthetic beeswax. Secara ringkasnya, Lilin Lebah Sintetik (synthetic beeswax) ialah lilin yang dihasilkan secara sintetik yang dihasilkan secara amnya untuk tidak dapat dibezakan daripada lilin lebah semulajadi dari segi komposisi dan sifat. Kandungan utamanya terdiri daripada campuran ester bernombor genap, asid rantai lurus dan alkohol yang mengandungi 16-36 atom karbon.[1]

Lilin lebah sintetik mempunyai banyak kelebihan berbanding lilin lebah semulajadi. Ia digunakan khas dalam kosmetik vegan dan produk penjagaan diri seperti pencuci muka, balm bibir, maskara dan krim.

Penjagaan kulit: Lilin lebah sintetik menggunakan sifat emoliennya. Ia adalah agen pelembap yang baik yang memerangkap kelembapan pada permukaan kulit dan memastikan ia terhidrat sepanjang hari. Lilin lebah sintetik juga memberi kesan anti-penuaan yang mengurangkan garis-garis halus dan kedutan pada kulit.

Produk kosmetik: Ia digunakan sebagai agen pengikat. Ia berinteraksi dengan baik dengan semua bahan berasaskan minyak dan mengekalkannya bergaul dengan baik dan membentuk produk yang stabil. Tambahan pula, lilin lebah sintetik juga memberikan produk teksturnya yang pekat dan berkrim.

Di samping itu, lilin lebah sintetik mempunyai kandungan utama alkohol dan asid lemak yang digabungkan dan ditapis untuk menghasilkan bahan seperti lilin ini. Selain itu, lilin lebah sintetik juga mungkin mengandungi bahan yang diperbuat daripada arang batu dan petroleum.

Selain itu, lilin lebah sintetik adalah bahan yang selamat dan baik untuk kulit. Walau bagaimanapun, jika ia diperbuat daripada bahan berasaskan petroleum ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti kerengsaan kulit. Adalah lebih baik untuk melakukan ujian tampalan sebelum aplikasi penuh. Walaupun ia adalah wax (lilin), bahan ini adalah non-comedogenic yang bermaksud ia tidak menyumbatkan pori atau menyebabkan jerawat. Akhir sekali, lilin lebah sintetik juga vegan dan halal.[2]

Hukum produk kosmetik yang mengandungi Synthetic Beeswax

Dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, lilin lebah sintetik atau dipanggil juga sebagai synthetic beeswax adalah produk lilin (wax) yang dihasilkan secara sintetik melalui campuran beberapa bahan seperti kimia seperti alkohol, asid lemak dan lain-lain bagi meniru lilin lebah semulajadi.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa penggunaan lilin lebah sintetik atau dipanggil sebagai synthetic beeswax adalah tidak mengapa dan diharuskan dengan syarat ia bukan berasaskan bahan-bahan bernajis dan selamat daripada racun serta tidak memudaratkan penggunanya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Akan tetapi jika ia mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan penggunanya seperti racun dan seumpamanya, maka penggunaannya adalah tidak dibenarkan. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Begitu juga jika ia mengandungi bahan-bahan bernajis tetapi tidak memudaratkan penggunanya, maka ia haram untuk digunakan sebagai kegunaan dalaman — untuk makan dan minum. Akan tetapi jika untuk kegunaan luaran — seperti krim untuk sapuan luaran — maka kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakannya, dengan syarat selepas itu ia dibasuh dengan air bersih.

Ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan para ulama, di antaranya al-Ramli yang menjelaskan bahawa seseorang itu harus menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak bernajis pada anggota badannya atau pakaiannya. Kemudian, dia membersihkannya — yakni sabun tersebut daripada badan dan pakaiannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/384-385; Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, 1/278).

Selain daripada itu, ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali berpendapat, apa sahaja yang dicelup dengan sesuatu yang mutanajjis (yakni yang terkena najis), boleh dibersihkan (disucikan) dengan membasuhnya sebanyak tiga kali. Justeru, jika seseorang lelaki atau perempuan mewarnakan rambut dengan hinna’ (inai) yang mutanajjis, lalu membasuhnya sebanyak tiga kali, maka ia kembali menjadi suci. Namun, jika pewarnaan itu menggunakan sesuatu bahan yang najis, maka ia tidak dikira suci melainkan setelah hilangnya ain najis itu, rasa dan juga baunya, serta air yang keluar adalah jernih. Akan tetapi warna yang tinggal adalah dimaafkan kerana sesuatu kesan (iaitu warna) yang susah untuk dihilangkan, kekalnya itu tidak memudaratkan (yakni tidak mengapa). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282). Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1722: Penggunaan Darah dalam Produk Krim Kosmetik.[3]

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan agar menyemak terlebih dahulu produk kosmetik yang ingin digunakan sama ada produk itu berdaftar atau tidak. Ini kerana produk yang berdaftar lebih terjamin dari segi keselamatan dan tidak membahayakan kesihatan. Apatah lagi dikhuatiri produk yang tidak berdaftar mengandungi bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan jika diambil tanpa pengawasan.

Bagi membuat semakan bagi produk tersebut, bolehlah melayari laman web BPFK di www.bpfk.gov.my dan menyemak sama ada produk itu berdaftar melalui enjin carian ‘Product Search’. Pangkalan data ini mengandungi data bagi produk-produk yang berdaftar dengan PBKD sejak tahun 1985 dan notifikasi produk kosmetik. Pengguna boleh menggunakan product search dengan menyemak nombor pendaftaran produk, nama produk, pemegang pendaftaran produk atau nama pengilang. Jika produk tersebut berdaftar dengan PBKD, maklumat produk akan disenaraikan. Sekiranya produk tersebut tidak berdaftar, hasil carian akan menunjukkan ‘No Record’ dan anda adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil produk tersebut. Ini disebabkan keselamatan dan kualiti produk tersebut belum dinilai dan ia mungkin menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

[1] Lihat https://www.ewg.org/skindeep/ingredients/706405-SYNTHETIC_BEESWAX/. Diakses pada 7 September 2023.

[2] Lihat https://cosmetics.specialchem.com/inci-ingredients/synthetic-beeswax. Diakses pada 7 September 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1722-penggunaan-darah-dalam-produk-krim-kosmetik/. Diakses pada 7 September 2023.

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply