Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara hafazan al-Quran pada zaman tabi’in?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

(Surah al-Qamar: 17)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata, “Kalaulah tidak bahawa Allah SWT memudahkan dan melancarkan lidah manusia nescaya tiada seorang pun di kalangan makhluknya mampu untuk bercakap dengan kalam Allah SWT.”

Selepas Rasulullah SAW wafat, para sahabat pula yang mengambil peranan sebagai guru kepada generasi tabiin. Istilah Tabiin ialah generasi yang sempat bertemu dengan sahabat serta memeluk Islam. Mereka banyak menimba ilmu daripada para sahabat secara agama talaqqi. Ini bermakna, tabiin adalah penuntut ilmu dari para guru yang menerima asuhan dan didikan dari Rasulullah SAW.

Keistimewaan ilmu mereka juga tidak kurang hebatnya kerana mereka adalah penyambung kelangsungan ajaran Islam kepada generasi selepasnya. Mereka meneruskan usaha murni Rasulullah SAW dalam mengembangkan Islam ke seluruh dunia terutamanya al-Quran. Oleh itu, terdapat ramai di kalangan para tabiin yang mengikut jejak para sahabat dalam memelihara al-Quran dengan menghafaznya.

Seratus tahun pertama hijrah, seluruh umat Islam membaca dan menghafaz al-Quran mengikut apa yang diajar oleh para sahabat dan tabiin. Al-Zurqani dalam bukunya yang terkenal, telah menyebut bahawa golongan tabiin yang masyhur dalam pengajian al-Quran di Madinah al-Munawwarah adalah seperti Said bin al-Musayyib, Urwah, Salim, Umar Ibn Abdul Aziz, Sulaiman bin Yasar, Ata’ bin Yasar, Ibn Shihab al-Zuhri, Abdul Rahman bin Hurmuz dan Muaz bin al-Harith yang dikenali dengan Muaz al-Qari. Manakala di Makkah al-Mukarramah antaranya ialah Ata’ bin Abi Rabah, Mujahid, Tawus, Ikrimah, Ibn Abi Mulaikah dan Ubaid bin Umair.

Selain itu, di kota-kota Islam lain adalah seperti di Basrah iaitu Ammar bin Abdul Qais, Abu al-Aliyah, Abu Raja’, Nasr bin Asim, Yahya bin Ya’mur, Jabir bin Zaid, al-Hasan al-Basri, Muhammad Ibn Sirin, Qatadah bin Da’amah al-Sadusi dan lain-lain.

Di Kufah pula ialah Alqamah, al-Aswad, Masruq, Ubaidah, al- Rabi’ bin Khaitham, al-Harith bin Qais, Ammar bin Surahbil, Amru bin Maimun, Abu Abdul Rahman al-Sulami dan Zhir bin Hubasyah.

Manakala al-Mughirah Ibn Syihab al-Makhzumi dan Khulaid bin Said adalah dua tokoh tabin yang masyhur dalam pengajian al-Quran di kota Syam.

Pada zaman merekalah berkembangnya pusat-pusat pengajian Islam seperti madrasah, Ribat, maktab dan sebagainya. Namun begitu, sistem pengajian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW masih lagi diikuti di sebahagian tempat.

Faktor utama generasi tersebut begitu berminat dan bersungguh- sungguh menghafal al-Quran kerana pengutusan mushaf yang dikirim oleh Uthman bin Affan RA ke kota-kota Islam tersebut. Penghantaran mushaf ini disertakan juga dengan seorang guru dan pendakwah yang memberi tunjuk ajar dan sebagai panduan kepada penduduk setempat untuk membaca al-Quran dengan tepat dan betul. Selain itu juga dapat menghindarkan perselisihan bacaan yang mungkin tercetus di kalangan umat Islam sebelum itu.

Guru al-Quran yang dihantar oleh Uthman bin Affan RA bertindak sebagai pengajar dan pembimbing agar apa yang terkandung dalam rasm mengikut qiraat yang sahih dan mutawatir. Sebagai contoh Zaid bin Thabit mengajar al-Quran untuk penduduk Madinah, Abdullah bin al-Saib membimbing penduduk Mekah, al-Mughirah bin Abi Syihab mengajar penduduk Syam, Abu Abdul Rahman al-Sulami guru kepada penduduk Kufah dan Amir bin al-Qais menjadi rujukan kepada penduduk Basrah. Ketika ini orang yang menghafaz al-Quran amatlah ramai di kota-kota tersebut.

Qurra al-Sab’ah atau tujuh pakar Quran muncul hasil daripada didikan dan buah tangan golongan tabiin. Mereka amat masyhur dalam dunia Islam dan bacaan al-Quran sekarang dibaca mengikut rwayat mereka. Qurra sab’ah yang dimaksudkan ialah Nafi’, Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaie. Pemilihan mereka berdasarkan kepada kemantapan ilmu qiraat yang dimiliki dan kemasyhuran mereka dari kota-kota Islan iaitu Madinah, Mekah, Basrah, Kufah dan Syam. Orang yang bertanggungjawab memilih tujuh qurra tersebut ialah Ibn Mujahid yang meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah.

Dengan selesainya susunan Qurra sab’ah, perkembangan menghafaz al-Quran di kalangan umat Islam semakin luas dan menggalakkan. Setiap abad dan kurun selepas Qurra sab’ah, umat Islam amat mengambil berat dalam hafazan al-Quran dan bilangan mereka setiap ketika amatlah ramai.

Pada masa selanjutnya, anak-anak orang Islam telah pandai menulis dan membaca. Pembelajaran secara hafazan dilakukan dengan guru membaca ayat-ayat al-Quran kepada pelajar (imla’) dan pelajar menulisnya di atas Lauh’ atau papan batu.

Setelah itu, guru akan melihat tulisan pelajarnya dan membetulkan jika ada kesalahan. Seterusnya guru membacakannya sekali lagi diikuti dengan pelajar, kemudian pelajar akan pergi ke tempat lain dan membacanya sehingga hafaz. Apabila telah menghafaz ayat-ayat i itu dengan fasih, pelajar akan datang semula kepada guru dan membaca di depan guru (tasmi”). Jika ada kesalahan pada bacaan tersebut, guru akan membetulkannya dan jika tiada kesalahan, maka ayat-ayat itu akan dipadam dan ditulis ayat baru untuk dihafaz.

Cara pengajaran al-Quran pada peringkat ini dengan mengajar ayat-ayat pendek dan diulangi berkali-kali bersama guru hingga terlekat dalam ingatan mereka. Mereka diajar tanpa diberi penjelasan tentang maksud ayat-ayat dan kadang-kadang diberi sedikit sebanyak pengertian dan huraiannya demi untuk menambahkan lagi keberkatan dan benih-benih keIslaman, takwa dan keikhlasan di jiwa kanak-kanak kerana pada peringkat tersebut merupakan peringkat paling sesuai untuk mengingati sesuatu.

Corak pembelajaran dan pengajaran al-Quran pada zaman ini tidak jauh bezanya dengan apa yang diamalkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Apa yang membezakannya adalah penggunaan alat tulis yang lebih moden seperti ‘Lauh’ atau papan batu. Malah ketika ini, wujud kesedaran mengenai kepentingan penghafazan al-Quran menyebabkan pembelajaran dan pengajarannya dilakukan dengan lebih intensif. (Lihat Tips Hafazan al-Quran, hlm. 40-44)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply