#3073: Benarkah Ramai Raja Mengkagumi Akhlak Baginda SAW?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kehidupan, peribadi dan akhlak Baginda SAW amat istimewa serta raja-raja merasa kagum?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menajwab persoalan di atas, kami merujuk kepada buku karya guru kami al-Akidah al-Islamiyyah oleh Dr Mustafa Sa’id al-Khin. Antara lain katanya:

Mereka yang mempelajari kehidupan Rasulullah dan mengkaji akhlak Baginda akan beriman dan akur sepenuhnya bahawa Baginda adalah utusan Allah yang bersifat maksum dan sentiasa diberi perhatian sepenuhnya oleh Allah untuk ditampilkan kepada manusia sebagai seorang yang sempurna, rasul yang menyampaikan dan satu-satunya insan yang terhimpun pada dirinya segala sifat kelakian sejati. Firman Allah SWT:

لقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik.”

(Surah al-Ahzab: 21)

Dan firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau benar- benar mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Dalam buku riwayat hidup yang menceritakan keperibadian Rasulullah menyatakan bahawa semua sifat tersebut tidak mungkin terdapat kecuali pada rasul yang dipilih oleh Allah untuk membawa risalah-Nya dan menyampaikannya kepada manusia.

Dalam buku al-Syafa fi Ta’rif Huquq al-Mustafa karangan Qadhi ‘lyadh memuatkan ciri-ciri keistimewaan Nabi Muhammad dan sifat-sifat peribadi Baginda yang tidak terdapat keseluruhannya kecuali menerusi beberapa buah buku.

Menurut pengarang al-Mawaqif, sifat-sifat mulia dan keperibadian tertinggi yang terdapat pada Nabi Muhammad merupakan antara dalil yang menjadi bukti kesahihan risalah Baginda.

Beliau menyatakan bahawa dalil kedua yang dipersetujui oleh al-Jahiz dan al-Ghazali ialah pendalilan dengan keadaan Baginda sebelum menjadi nabi, ketika berdakwah dan sesudahnya, akhlaknya yang mulia, hukum-hakamya yang bijaksana, keberaniannya yang mampu menyekat bilangan pahlawan yang ramai, jika tidak kerana keyakinannya dengan pemeliharaan Allah terhadapnya daripada manusia, pada ‘adatnya semua itu tidak akan berlaku dan Baginda tidak akan ada apa-apa. Namun semua peristiwa telah mewarnai diri Bagida dan sesiapa menelitinya akan mendapati bahawa walaupun setiap satunya tidak menunjukkan kenabiannya namun secara keseluruhan ia tidak akan terdapat kecuali pada para nabi. (Lihat Al-Mawaqif, hlm. 356)

Antara catatan yang terdapat dalam buku riwayat hidup Rasulullah tentang sifat-sifat dan akhlak mulia Baginda, sama ada sebelum menjadi nabi atau selepasnya.

Banyak raja-raja menyaksikan tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW. Antaranya, Raja Rom Hercules dan juga persaksian al-Julandiy, Raja ‘Umman atas kenabian Muhammad.

Nabi Muhammad mengutus Amru bin al-‘As menyeru al-Julandiy kepada Islam. Al-Julandiy berkata, “Aku telah ditunjukkan Nabi yang ummi ini. Dia tidak menyuruh sesuatu kebaikan, melainkan dialah yang pertama melakukannya. Dia tidak menegah sesuatu kemungkaran, melainkan dialah yang pertama meninggalkannya, apabila menang dia tidak angkuh, apabila tewas dia tidak berhenti, dia menunaikan janji dan melaksanakannya. Aku bersaksi bahawa dia adalah Nabi. (Lihat al-Isobah oleh Ibnu Hajar tentang al-Julandiy, 1/262)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *