Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Mak rendam pakaian yang terkena jeluak baby sekali dengan pakaian bersih dengan sabun. Selepas itu, saya tidak pasti mak tonyoh atau tidak itu sewaktu basuh tangan. Sebabnya pada lampin tak hilang warna kesan jeluak tu. Jadinya, semua pakaian sudah jadi kotor ke ustaz? Adakah perlu dibasuh semula pakaian itu? Penyidai yang sidai kain itu pula kena sembur dengan air juga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif jeluak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jeluak adalah berbunyi sewaktu hendak muntah atau diertikan juga sebagai muntah (kerana terlalu kenyang).[1] Jadi, jeluak ialah nama lain bagi muntah.

Berkenaan hukumnya pula, muntah atau jeluak ini dihukumkan sebagai najis, jika ia keluar dari perut dalam keadaan sudah berubah sifatnya daripada sifat makanan (asalnya); dari segi rasa, warna dan bau. Ini adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan salaf dan khalaf, di antaranya imam empat mazhab, al-Zahiriyyah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan ramai lagi. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/60; Mughni al-Muhtaj, 1/79; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/102).

Dalam erti kata lain, muntah dihukumkan sebagai najis mutawassitah (pertengahan), dan wajib menghilangkannya dengan basuhan air mutlak sebagaimana najis mutawassitah yang lain. Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm (1/32) menyebutkan:

وَإِذَا قَاءَ الرَّجُلُ غَسَلَ فَاهُ وَمَا أَصَابَ الْقَيْءُ مِنْهُ لَا يَجْزِيهِ غَيْرُ ذَلِكَ

Maksudnya: “Jika seseorang lelaki muntah, maka hendaklah dibasuh mulutnya dan kawasan yang terkena muntah tersebut, tidak memadai jika tidak dibuat seperti itu.”

Mengenai najis mutawassitah, Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135).

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada seperti mana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25; Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa cara membersihkan muntah atau jeluak yang terkena pada pakaian adalah dengan menggunakan air sehingga hilang ‘ain dan sifat-sifatnya seperti mana membersihkan najis mutawassitah. Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika pakaian yang terkena jeluak bayi itu direndam sekali bersama pakaian bersih dengan sabun, maka jika air yang digunakan untuk merendamnya kurang daripada dua qullah, maka ia dikira telah menajiskannya. Namun, jika air yang digunakan untuk merendamnya itu dua qullah atau lebih, maka ia tidak menajiskannya selagi mana tidak berubah rasa, bau dan warna.

Walau bagaimanapun, biasanya pakaian yang direndam dengan air sabun, akan dibilas semula dengan air bersih. Justeru, jika semua baju itu dibilas semula dengan air bersih sehingga hilang kesan mahupun sifat-sifat najis itu (iaitu rasa, bau dan warna), maka ia sudah dikira suci dan memadai. Bagi membilasnya, sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya seperti mana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199).

Adapun kesan warna yang tinggal (berbaki) pada kain lampin selepas ia dicuci dan dibersihkan adalah tidak mengapa dan tetap dianggap sebagai suci kerana ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Justeru, tidak perlu dibasuh semula pakaian itu mahupun pakaian-pakaian lain yang bersamanya dan begitu juga penyidai kain.

Perbahasan mengenai cara membersihkan dan menyucikan najis mutawassitah, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=jeluak. Diakses pada 7 September 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 7 September 2023.

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply