Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh contohkan kepada kami mawaqif suami isteri yang solehah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan mauqif memberi maksud prinsip atau pendirian juga sebagai ketegasan para ulama dalam menegakkan kebenaran. Hal ini biasanya berlaku apabila pertembungan antara para ulama dan pemerintah yang mengikut nafsu serakah mereka. Pujangga berkata:

مَاتَ الرِّجَالُ وَلَمْ تَمتْ الْمَوَاقِفُ

Maksudnya: “Lelaki-lelaki boleh mati, tetapi mauqif dan prinsip tidak akan mati.”

Ramai tokoh memuji mereka yang berprinsip, antaranya:

  • Roberto Rosselini berkata: Orang yang mempunyai prinsip yang tidak dapat diganggu gugat sama seperti kenderaan yang bergerak di atas rel.
  • Pujangga berkata: Kesulitan adalah gejala wajar daripada sebuah kehidupan yang bererti. Setiap orang yang progresif selalu dikelilingi oleh kesulitan.

Ini menandakan betapa prinsip dan mauqif akan dikenang sepanjang zaman dan menjadi kemuliaan serta izzah bagi siapa yang memilikinya, sebaliknya mereka yang menggadaikan prinsip dan tiada pendirian serta menjual maruah diri akan dihina sepanjang zaman.

Sebenarnya suami isteri yang soleh dan solehah sudah pasti mempunyai keperibadian yang baik serta prinsip yang utuh. Mereka sekali-kali tidak menggadaikan prinsip, khususnya hubungan dengan Tuhan dan menegakkan syiar agama Allah. Mereka sanggup menghadapi sebarang tribulasi dan ujian semata-mata kerana Allah SWT. Qudwah dan uswah mereka sudah pasti Baginda Rasulullah SAW. Lihatlah nas bagaimana Rasulullah SAW memberi kata dua kepada para isterinya:

 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya yang indah, maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan Aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.”

(Surah al-Ahzab: 28)

Al-Maraghi berkata: Wahai Rasul! Katakanlah kepada isteri-isterimu, pilihlah salah satu di antara pilihan ini, sama ada kamu memilih kelazatan duniawi kenikmatan dan kesenangan-Nya, dan untuk itu kamu tiada tempat lagi di sisiku. Jika itu pilihan kamu aku berikan kepada kamu apa yang diwajibkan Allah SWT sebagai seorang suami kepada isterinya, iaitu mut’ah (nafkah sementara) ketika mereka bercerai yang berupa pakaian. Oleh sebab itu, perkara ini amat berbeza mengikut kesesuaian kemampuan ekonomi untuk kesenangan dan penghiburan hati mereka akibat berlakunya perceraian.

Penulis teringat kisah Imam al-Syahid Hasan al-Banna yang disebut dalam kitab Tarbiyatu al-Aulad bagaimana suatu ketika pada bulan Ramadan hampir menjelangnya hari raya, al-Syahid Hasan al-Banna mahu berkelana dalam menyampaikan misi dakwahnya di perkampungan yang jauh, sedangkan anaknya Saiful Islam sedang sakit tenat. Lantas isterinya dengan rendah diri berkata: “Wahai suamiku, jika anda menangguhkan musafir semata-mata kerana anak sakit dan kita boleh menyambut hari raya bersama, alangkah baiknya!” Maka dalam keadaan tegas, al-Banna dengan penuh prinsip berkata: “Hai isteriku, nyawa anak kita di tangan-Nya. Jika Dia mengambilnya, saya reda dan datuknya kenal di mana kuburnya. Jika dia sembuh, maka kita ucapkan Alhamdulillah.”

Kata Syeikh Abdullah Nasih Ulwan: “Cukup dengan kisah ini menjadi bukti dan kebanggaan ummah sekalipun tiada lagi kisah lain dalam sejarah Islam untuk menggambarkan betapa tingginya nilai dakwah yang wujud pada sanubari dan damir hati pejuang Islam seperti Hasan al-Banna ini.

Mauqif yang sama dikemukakan oleh ramai tokoh, sama ada suami atau isteri dalam menegakkan syiar agama Allah. Inilah yang sepatutnya dijulang berbanding dengan hanya berkongsi hidup dalam kemewahan harta benda sahaja.

Penulis mengemukakan di sini beberapa kisah ringkas sebagai suri teladan dalam menggambarkan sikap dan sifat serta prinsip mereka yang berjaya dalam kehidupan, antaranya:

  • Seorang wanita solehah sudah berusia 50 tahun dalam keadaan bisu tetapi sentiasa berpuasa dan mendirikan solat malam. Pada suatu malam, wanita ini bangkit solat dengan suara yang didengar, kemudian terjaga suaminya merasa kehairanan dan gembira kerana mendengar suara isterinya. Selepas itu, beliau mendengar isterinya mengucap dua kalimah syahadah seterusnya berdoa dan meninggal dunia di atas sejadahnya.
  • Seorang isteri yang bermusafir dari Mesir dengan suaminya melalui kapal laut pergi menunaikan ibadah haji. Ketika perjalanan pulang, berlaku ombak besar dan kapal yang dinaikinya pecah serta karam di lautan. Ketika penumpang bertungkus-lumus naik ke atas untuk menyelamatkan diri, si suami bergegas turun ke bawah dan mendapati isterinya sedang memakai pakaian menutup aurat kerana menjaga maruah diri dan perintah Tuhan. Selepas itu, beliau berkata kepada suaminya: Adakah anda reda kepadaku? Suaminya menjawab: Ya. Akhirnya, isteri tersebut mati lemas. Lihatlah betapa hebatnya mereka dalam mentaati perintah Allah SWT.
  • Al-Hakim menceritakan dalam al-Mustadrak bahawa Muawiyah Ibn Abi Sufyan menghantar lapan puluh ribu dirham kepada Aisyah R.Anha dan ketika itu Saidatina Aisyah sedang berpuasa dan berpakaian lusuh. Maka Saidatina Aisyah terus membahagi-bahagikan wang itu kepada fakir miskin sehingga habis dan tidak tinggal satu dirham pun padanya. Lalu pembantu rumahnya bersuara kepadanya: “Wahai puan, tidak mungkinkah puan menggunakan satu dirham untuk membeli daging buat puan berbuka puasa.” Lalu Aisyah menjawab: “Ah, kalaulah engkau mengingatkan aku tadi, tentu akan kulakukan sedemikian.” (Lihat Baiti Jannati, hlm. 109-114)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply