Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan mafhum dan maksud uruf atau adat serta dalil syarak dalam pengambilan uruf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Uruf pada istilah fiqh ialah:

عَادَةُ جُهُوْرِ قَوْمٍ فِي قَوْلِ أَوْ فِعْلٍ

Maksudnya: “Adat kebiasaan sesuatu kaum pada percakapan atau perbuatan mereka.” (Lihat al-Fiqh al-Islami fi Thaubihi al-Jadid oleh al-Zarqa, hlm. 557)

Daripada definisi ini dapat difahami bahawa uruf tidak wujud melainkan apabila uruf itu benar-benar berlaku di antara manusia di tempat tertentu, ataupun biasa berlaku di mana sebahagian besar penduduk mengerjakan uruf ini dan mematuhinya sebagaimana kebiasaan orang sekarang di negara Syria bahawa mahar yang disebut dalam akad nikah untuk perempuan dua pertiga daripadanya diserahkan dengan segera sedangkan yang satu pertiga lagi ditangguhkan setelah wafat atau bercerai. Maka wajib wujud kebiasaan bersama antara kebanyakan rakyat dalam pembentukan uruf dan ini tidak terjadi melainkan dalam keadaan terus-menerus atau paling sedikit telah berulang-ulang. Jika tidak, bererti ia hanya merupakan tindakan peribadi yang bukan uruf.

Dalil-dalil Syara’ Berkaitan Pengambilan Uruf:

Ulama’ berdalil mengenai kedudukan uruf dalam pembinaan hukum hukum feqh berasaskan athar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal yang diucapkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud:

مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ قَبِيحٌ.

Maksudnya: “Apa yang orang Islam melihat kebaikan maka ia dianggap baik di sisi Allah dan apa yang mereka lihat keburukan maka ia dianggap buruk di sisi Allah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3602)

Fuqaha secara umum dan ulama-ulama mazhab Hanafi khususnya, memakai uruf sebagai timbangan yang cukup besar dalam penetapan hak-hak atau penafiannya di kalangan orang ramai pada berbagai segi dari muamalat dan bentuk-bentuk urusan (tasarruf). Bahkan mereka menganggap uruf dan adat sebagai asas yang penting dan sumber yang luas.

Di dalam kaedah Fiqhiyyah menyebut:

الْعَادَةُ مُحَكَمَةٌ

Maksudnya: “Adat itu boleh dijadikan hukum. “ (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/388)

Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: “Adat yang umum atau khusus boleh menjadi hukum bagi mensabitkan hukum syar’ie yang tiada nas atas khilaf dengan khususnya itu.” (Lihat Syarah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, hlm. 219)

Jika tiada nas yang menyalahinya pada asal atau ada tetapi bersifat umum, maka adat tersebut boleh dijelaskan mengikut penerangan- nya. Asal kaedah ini ialah ucapan Ibn Mas’ud:

مَا رَأَهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ قَبِيحٌ.

Maksudnya: “Apa yang orang Islam melihat kebaikan maka ia dianggap baik di sisi Allah dan apa yang mereka lihat keburukan maka ia dianggap buruk di sisi Allah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3602)

Al-Sarakhsi berkata: “Prinsip ini adalah ma’ruf (diketahui ramai), dan apa yang dikenali oleh orang ramai dan tidak ada nas yang membatalkannya, maka ia adalah harus.” (Lihat al-Mabsut, 12/45)

Di sini dinyatakan bahawa uruf balad (setempat atau negeri tertentu) juga boleh diambil kira sebagai perundangan yang sewajarnya diterima pakai. (Lihat Kalimah Allah Isu dan Penyelesaiannya, hlm.48-50)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply