Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith Nabi SAW yang menyatakan setiap pendakwaan manusia diterima?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمِ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Seandainya setiap dakwaan manusia diterima, nescaya setiap orang akan mendakwa harta dan darah orang lain adalah miliknya. Oleh itu pendakwa perlu mendatangkan bukti dan sumpah bagi yang mengingkarinya”

Riwayat al-Baihaqi (10/252) dalam al-Sunan dan selainnya sebegini. Sebahagian lafaznya ada di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Hadis Hasan.

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Pertama: Islam adalah agama yang memiliki konsep yang sempurna bagi kehidupan umatnya. Ia melindungi darah, kehormatan dan harta setiap individu. Dalam Islam, kita tidak boleh menuduh atau mengganggu orang lain sesuka hati. Jika berlaku dakwaan seperti, “kamu berhutang dengan saya sebanyak dua juta” atau tuduhan, “kamu membunuh anak saya” kesemua dakwaan tersebut, Islam ada cara penyelesaiannya.

Kedua: Dalam al-Wafi menyebut: “Kehakiman adalah rujukan asası dalam menyelesaikan perselisihan dan perbalahan, serta merupakan hukum muktamad di dalam merealisasikan hak dan menjaminnya supaya dapat dinikmati oleh pemiliknya, maka Islam telah meletakkan kaedah dan peraturan yang menghalang orang yang rosak jiwanya daripada melampau dan bermaharajalela disamping menjaga umat ini daripada dipersia-siakan dan dizalimi. Sebaik-baik contoh kepada perkara ini ialah hadis di atas yang mensyaratkan terang dan kuatnya hujah bagi memastikan kebenaran tuduhan dan kemestian beramal dengannya. Hadis ini juga menetapkan apakah hujah yang mesti dikemukakan oleh pendakwa dan tertuduh, yang mana dengannya hakim dapat mengetahui kebenaran serta mengeluarkan hukum berdasarkan hujah tersebut.”

Ketiga: Ibn Munzir berkata: “Ijma’ ulama menyatakan yang dikehendaki dengan bayyinah ialah persaksian, kerana persaksian akan menyingkap kebenaran dan biasanya akan menunjukkan kebenaran dakwaan. Persaksian adalah jalan ke arah menyingkap dan menzahirkan kebenaran kerana ia bergantung kepada penyaksian dengan mata dan menghadiri (atau berada) di tempat kejadian.”

Bayyinah iaitu persaksian yang diperlukan adalah berbeza berdasarkan jenis dakwaan dan kesan langsung daripadanya. Jenis persaksian yang sabit ditetapkan dalam Syariat Allah ada empat:

Persaksian terhadap zina, iaitu persaksian empat orang saksi lelaki dan tidak diterima penyaksian orang perempuan.

Persaksian terhadap pembunuhan dan kesalahan-kesalahan yang hukumannya telah ditentukan oleh syara’ selain zina, seperti mencuri, minum arak, menuduh orang berzina dan di dalam fiqh dinamakan sebagai hukum hudud. Disyaratkan dalam penyaksian tersebut dua orang saksi lelaki dan tidak diterima penyaksian perempuan.

Sebahagian fuqaha seperti ulama mazhab al-Syafie memasukkan persaksian terhadap hak yang tidak ada hubungan dengan harta benda seperti nikah kahwin, talak, dan seumpamanya ke dalam bahagian ini. Oleh itu, mereka berkata: “Mesti ada dua orang saksi lelaki untuk mensabitkan perkara-perkara tersebut.”

Persaksian untuk mensabitkan menetapkan hak harta” benda, seperti jual beli, hutang, sewa dan seumpamanya. la memerlukan kepada persaksian dua orang lelaki atau seorang lelaki beserta dua orang perempuan untuk diterima.

Sebahagian fuqaha seperti mazhab Hanafi menganggap termasuk di dalam persaksian bahagian ini kesemua jenis hak kecuali hudud dan qisas sebagaimana yang telah dijelaskan.

Persaksian terhadap sesuatu urusan yang berkaitan dengan wanita dan kebiasaannya tidak dapat dilihat seperti kelahiran, dara, penyusuan, dan seumpamanya. Bahagian ini diterima persaksian kaum wanita, meskipun tanpa penyertaan kaum lelaki. Kadang-kadang diterima persaksian seorang perempuan sahaja seperti yang dipegang oleh mazhab Hanafi.

Keempat: Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa Imam Abu Hanifah berkata: “Sumpah itu diperlakukan dalam masalah talaq, nikah, dan pembebasan hamba. Jika tidak mahu bersumpah, maka tuduhannya dipenuhi”. Dan dia berkata: “Dalam masalah kesalahan jenayah tidak boleh digunakan sumpah (sebagai bukti)”.”

Kelima: Hikmah wujudnya peraturan yang menyatakan pendakwa perlu mengemukakan bukti dan tertuduh perlu mengemukakan sumpah ialah kerana asas dakwaan pihak pendakwa tidak kuat. Ini kerana dakwaannya bercanggah dengan zahir atau hukum asal. Oleh itu, pihak pendakwa perlu mengemukakan hujah yang kuat iaitu bukti. Sementara itu, pihak tertuduh mempunyai asas yang kuat kerana dia berpegang kepada hukum asal iaitu al-Bara’ah (tidak bersalah sehingga terbukti bersalah). Oleh itu, hujah yang lemah iaitu sumpah pihak tertuduh sudah memadai untuk menafikan dakwaan.

Bukti dianggap hujah yang kuat sementara sumpah dianggap hujah yang lemah kerana pihak yang bersumpah mungkin berbohong untuk mempertahankan dirinya. Berbeza dengan saksi yang menjadi bukti pihak pendakwa. Ini kerana saksi tidak disangsikan disebabkan dia memberi keterangan untuk kepentingan orang lain. Ini dinyatakan oleh sebuah hadis yang telah dinyatakan sebelum ini:

فَأَقْضِيَ لَهُ عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ

Maksudnya: “Lalu saya membuat keputusan memihak kepadanya berdasarkan keterangan (saksi) yang saya dengar.”

Riwayat al-Bukhari (6867)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445

Leave a Reply